Highlights

4 Hari Bergelar YATIM PIATU — “ARFAN Nampak Saja Okey, Tapi Mata Kami Yang Melihatnya… Allah Saja Yang Tahu” Luahan Ibu Saudara Arfan

gempak
Huda Hussain
01/11/2019
03:44 MYT
Sponsor Banner
4 Hari Bergelar YATIM PIATU — “ARFAN Nampak Saja Okey, Tapi Mata Kami Yang Melihatnya… Allah Saja Yang Tahu” Luahan Ibu Saudara Arfan
Biarpun sudah memasuki hari ketiga, namun berita sedih yang menimpa anak kecil Muhamad Arfan Ziqri Muhamad Syakiran masih lagi memenuhi ruang media sosial sana sini.
Masakan tidak, pada ketika dia berusia satu tahun 10 bulan sudah kehilangan ibu dan ayah tercinta. Tempat bermanja, tempat bergantung dan berlindung sudah tiada buat selamanya.
Syahdu dan sedih tidak tertanggung saat melihat kelibat anak kecil ini yang masih belum memahami apa yang berlaku, bermain-bermain dan berlegar-legar di tepi keranda kedua jenazah ibu bapanya. Allahu…
Umum mengetahui, kedua ibu bapa Arfan Ziqri terlibat dalam kemalangan jalan raya Selasa lalu ketika ayahnya dalam perjalanan menghantar ibunya ke tempat kerja dari Shah Alam.
Motosikal yang ditunggang Lans Koperal Muhammad Syakiran Shamsuddin dikatakan telah merempuh belakang sebuah lori di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur.
Ujar kakak kepada Nurul Ashikin Kamaruddin (enggan dikenali) memberitahu, adiknya meninggal di tempat kejadian manakala adik iparnya menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Kredit foto: FB Hans Joy

Rasa Nak Pengsan Terima Berita
Menurut kakak Nurul Ashikin, dia menerima panggilan telefon daripada adik lelakinya. “Rasa nak pengsan, lemah lutut masa adik call saya. Allahu Akbar… Dan dia tak tahu macam mana nak beritahu pada mak dan ayah kami di kampung,” jelasnya ketika ditemubual.
“Susah nak cakap macam mana sedihnya kami semua. Tak terucap dengan kata-kata. Yalah, dua-dua sekali ‘pergi’ dan Arfan pula masih terlalu kecil untuk faham semua ini. Walau sedih macam mana sekalipun, kami redha dengan apa yang berlaku,” hurainya lagi. Buat masa ini, Arfan Ziqri berada dibawah jagaan keluarganya di Ketereh, Kelantan.
“Malam pertama saja dia mengigau. Tercari-cari ibu dan abinya. Dan dia juga kurang minum susu. Tapi hari ini nampaknya dia semakin okey. Mungkin kerana di kampung ramai saudara-mara yang melayan, mungkin terubat kerinduan Afan pada arwah ibu dan abinya,” terangnya lagi dalam nada sebak.

Kredit foto: FB Slack Pants Viral

Adik Enggan Masuk Rumah Kakak
Cerita kakak Allahyarham lagi, dua hari sebelum kejadian adiknya datang ke rumahnya di Taman Pelangi, Sentul untuk mengambil barang. “Waktu itu dia dan keluarga nak pergi bercuti ke Genting.
Katanya nak singgah rumah saya sekejap sebab nak ambil barang. Tapi dia kata tak nak masuk (ke rumah saya) sebab Afan tidur. Suaminya saja yang keluar. Tapi saya keluar juga berjumpa dengannya sekejap (waktu itu Allahyarham di dalam kereta).
Tak syak pula apa-apa yang pelik waktu dia tak mahu masuk dalam rumah saya. Tapi mungkin itulah tandanya. Dan itulah kali terakhir saya jumpa dia,” ujarnya lagi seraya bergetar nada suaranya di hujung talian.
Menyifatkan arwah adiknya sebagai seorang adik yang baik, disenangi dan disayangi semua keluarga juga rakan-rakan; hubungan mereka sesama adik-beradik memang rapat sementelah tidaklah terlalu ramai, enam beradik sahaja.
Jika tidak bersua muka atau keluar berlibur bersama, mereka akan berhubung melalui Whats App. Mengimbas momen dua hari lalu, “Jenazah dimandikan, dikafan dan disembahyangkan di PPUM.
Saya iring jenazah balik dari PPUM ke kampung adik ipar di Bachok, Kelantan” sambungnya lagi dengan nada suara sedikit bergetar.
Menurut kakak Allahyarham Nurul Ashikin, bapa Arfan mempunyai kembar seiras. “Sedih bila tengok Arfan kadang-kadang tercari-cari ibu dan abinya. Tapi bagi saya, kalau Arfan rindukan abi dia, dia tengok aje pakciknya.
Maklumlah, mereka kembar seiras. Mungkin pakciknya ‘jadi tempat’ melepas rindu pada arwah abinya,” jelasnya lagi.

Kredit foto: FB Hans Joy

Rancang Percutian Keluarga Ketika Cuti Sekolah November Ini. Tapi…
Berkongsi cerita lagi, menurut kakak Allahyarham mereka seisi keluarga ada merancang mahu pergi bercuti pada musim cuti persekolahan hujung tahun ini. “Mulanya kami plan nak holiday bersama family.
Dan kami tunggu cuti sekolah bulan 11 nanti. Sebab lebih lama. Kalau diikutkan perancangan sebelum ini, ada juga terfikir mahu bercuti masa cuti Deepavali baru-baru ini.
Tapi lepas difikirkan balik, macam singkat pula. Tapi semua itu tinggal kenangan saja. Tak sempat kami luangkan masa bersama, adik sudah dijemput Allah,” ceritanya lagi.
Buat semua, marilah kita menadah tangan memanjat doa kehadrat Ilahi agar anak kecil ini terus-terusan diberi kekuatan, dilapangkan rezekinya, diterangkan hatinya agar menjadi anak yang soleh buat kedua ibu bapanya walaupun mereka sudah tiada.
Semoga Arfan terus cekal, tabah dan kuat saat akal fikirannya mampu menaakul erti kehilangan syurga dunianya. Dan kasih sayang buat Arfan takkan ada titik noktahnya kerana semua menyayanginya.

Kredit foto: FB Red Tiger

Kredit foto: FB Hans Joy
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live