Seluruh rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita yang sungguh menyayat hati Jumaat semalam apabila seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun ditemui mati lemas di dalam tong air di bilik air rumah ibu kandungnya. Lebih mengguris hati, penemuan jenazah dengan kesan lebam dan kecederaan yang terdapat di tubuhnya.


Kisah Allahyarham adik Amir pernah menjadi perhatian tahun lalu apabila ibu angkatnya pernah memuat naik video perihal anaknya itu yang terpaksa diserah semula kepada ibu kandungnya selepas enam tahun berada di bawah penjagaanya. Kisah itu mengundang rasa hiba kebanyakan netizen kerana adik Amir sudah dianggap seperti anak sendiri oleh keluarga angkatnya.


Penulis sempat meninjau ke akaun Facebook milik ibu angkat adik Amir iaitu Puan Norlida Hassan. Ternyata menerusi gambar dan video yang dimuatnaik memaparkan kasih-sayang dan hubungan yang sangat erat antara adik Amir dengan keluarga angkatnya itu. Malah, adik Amir dianggap sebagai ‘adik bongsu’ dalam keluarga mereka.




Pertemuan akhir sebelum adik Amir diserahkan kepada ibu kandungnya.
Kredit Foto: Facebook Norlida Hassan




Niat Untuk Bantu Ringankan Beban Ibu Kandung Amir


Menurut laporan Mstar Online tahun lalu, Puan Norlida mengambil adik Amir sebagai anak angkat ketika berusia dua bulan lagi. Ibu kandung Amir adalah kawan sekampus anaknya sendiri. Anaknya selalu menceritakan perihal ibu kandung Amir yang berdepan masalah kewangan dan lain-lainnya untuk membesarkan Amir.


Atas niat untuk membantu, Puan Norlida berbesar hati untuk tolong menjaga anaknya itu dan tidak meminta apa-apa bayaran. Malah, semua barang keperluan Amir akan diuruskannya sendiri. Dan, selama menjaga Amir, perasaan sayang terhadap anak kecil itu sangat luar biasa. Seluruh keluarga amat gembira dengan kehadiran Amir yang ditatang bagai minyak yang penuh.


Sehinggalah pada tanggal 13 Oktober 2020, ibu kandung Amir datang ke rumah mereka di Rawang untuk mengambil semula Amir untuk dijaga di Melaka. Walaupun hatinya berat tetapi terpaksa melepaskannya kerana sedar hak ibu kandung Amir lebih besar berbanding dirinya sekadar ibu angkat.


Cuma, ada rasa sedikit terkilan di hati Puan Norlida kerana tidak sempat menyambut ulangtahun Amir pada Disember yang lalu. Amir mahukan kereta kawalan jauh pada hari jadinya tapi kerana urusan penyerahan itu berlaku terlalu pantas mereka tidak sempat untuk membelikan hadiah terakhir permintaan arwah.




Hubungan erat bagaikan anak sendiri.
Kredit Foto: Facebook Norlida Hassan




Kalau Tak Mampu Jaga, Kenapa Ambil?


Rata-rata rakyat Malaysia meluahkan rasa marah dan terkilan dengan apa yang berlaku ke atas adik Amir. Sudah elok-elok dijaga oleh ibu angkatnya selama lebih enam tahun, kenapa mahu diambil semula? Dan, ternyata ia keputusan yang salah apabila tak sampai tiga bulan kanak-kanak malang itu berada di bawah jagaan ibu kandung dan ayah tirinya, budak itu hidup terseksa hingga hujung nyawanya.


Menurut Puan Norlida, sehingga ke hari ini beliau masih tidak mampu lelapkan mata. Kejadian ini benar-benar menyentap hatinya dan keluarga. Anak-anak juga sangat terkesan dengan apa yang berlaku. Mereka tidak menyangka wujud ibu kandung dan ayah tiri sekejam ini sehingga sanggup melakukan penyeksaan terhadap kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa.


Katanya, kali terakhir beliau berjumpa Amir adalah pada 7 November 2020, itu pun sekejap hanya di kedai makan, apabila Amir dibawa sama oleh ayah tirinya yang hendak ke Kuala Lumpur menghantar barang. Waktu itu Amir nampak ceria dan beritahu Uminya yang dia mahu bersekolah di rumah Umi. Selepas itu, Amir hilang dari khabar berita kerana ibu kandungnya ‘control’.


“Saya dapat rasakan dia memanggil-manggil ‘Umi’ ketika dia sakit, sebab kalau dia jatuh atau sakit, sayalah yang dia akan cari dulu,” Luah Puan Norlida sebak. Wanita berusia 50 tahun ini tidak dapat membayangkan penyeksaan yang terpaksa ditanggung anak syurga itu sepanjang berada di bawah jagaan ibu kandung dan ayah tirinya.


Beliau juga meluahkan rasa terkilan kerana tidak mempertahankan Amir daripada diambil oleh ibu kandungnya itu. Namun, dia akur hak ibu kandungnya lebih besar. Sehingga kini Puan Norlida masih terkejut. Berita kematian adik Amir hanya diketahui menerusi jiran ibu kandung Amir yang menghubungi suaminya semalam.




Anak-anak anggap Amir sebagai adik bongsu mereka. Gambar kenangan Raya terakhir bersama Amir.
Kredit Foto: Facebook Norlida Hassan




Semoga Jenazah Amir Dapat Dibawa Ke Tempat Kami


Menurut Puan Norlida lagi, mereka masih menunggu keputusan bedah siasat sebelum boleh menguruskan urusam pengebumian adik Amir. Beliau dan suami telah memohon untuk membawa jenazah Allahyarham balik ke Rawang untuk dikebumikan berdekatan lokasi rumah mereka.


“Saya berharap sangat dapat membawa pulang jenazah Amir bersama kami agar dapat ditanam dekat dengan rumah kami untuk mudahkan kami menziarai puasaranya nanti.” Ujar Puan Norlida dengan tangisan masih bersisa.


Semoga urusan pengebumian adik Amir dipermudahkan dan keluarga angkatnya tabah menghadapi ujian ini. Insya-Allah, adik Amir sudah pun bertemu penciptanya dan pasti sedang bergembira berlari-larian di taman syurga dengan berakhirnya semua penderitaan yang ditanggung selama beberapa bulan ini.


Manakala, menurut laporan Awani, ibu kandung adik Amir, 38 dan suaminya, 32 direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes dera sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Mohd Anuar Ostadi di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.


Kita berharapkan kes Allahyarham adik Amir ini mendapat pembelaan sewajarnya dan pesalah harus diberi hukuman setimpal.


Kredit Foto: Facebook