“Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka”. (Surah An-Nur : 31) dan “Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anakmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka menghulurkan (melabuhkan) jilbabnya (tudung kepala yang labuh menutupi dada) ke tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenal dan tidak diganggu. Dan ALLAH adalah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Ahzaab: 59)


Sudah jelas ayat ini membuktikan bahawasanya menjadi kewajiban kita untuk menutup aurat dengan sempurna. Jika ada yang sudah berazam mahu melakukannya, teruskan. Dan jika belum, ayuh sama-sama kita perbaiki dan ikhtiarkan untuk merealisasikannya. Berikut antara selebriti yang tampil mengenakan hijab labuh dan masih kelihatan trendy dengan gaya yang tersendiri.


Kredit Foto: IG Heliza Helmi
  1. Heliza Helmi
Antara selebriti yang punya stail tersendiri menggayakan hijab, Heliza dilihat acap kali memilih tudung bersaiz lebar dan labuh menutupi dada. Dia juga antara yang dikenali menggayakan hijab dengan cap. Sama ada material satin, chiffon ataupun silk; gaya hijabnya wajar dijadikan ikutan.


Kredit Foto: IG Mizz Nina
  1. Shazrina Azman (Mizz Nina)
Mengimbau kisah penghijrahannya cukup membuatkan kita tumpang bersyukur. Dan rentetan itu, Mizz Nina gemar menggayakan hijab rona hitam. Biarpun gaya hijabnya ala-ala let loose, namun masih menutup sempurna auratnya. Memiliki rangkaian fesyen muslimah dibawah jenama By Mizz Nina, kalian boleh tiru gayanya untuk penampian lebih santai, cool dan menepati syariat.


Kredit Foto: IG Irma Hasmie
  1. Irma Hasmie
Ibu kepada dua cahaya mata ini juga tidak kurang hebat gayanya dalam berhijab. Ada kalanya Irma menggayakan tudung instant dan tidak kurang juga mengenakan tudung bawal bersaiz lebar dan labuh untuk gaya kasual. Bijak menyuai padan stail hijab dengan busana yang disarungnya, ibu-ibu muda harus pelajari dan ceduk ilham gayanya buat rujukan.



Kredit Foto: IG Diana Amir
  1. Diana Amir
Benarlah kata orang, kalau dah cantik tu; pakai tudung lagi cantik. Diana Amir jua tidak kurang kalah dalam penataan gaya hijab yang patuh syariat. Lilitan tudung yang ringkas, Diana dilihat selesa dengan pemilihan rona pastel untuk melengkapi stail hijabnya. Walau punya anak kecil, dia buktikan masih sempat lagi lilit-belit-selit gaya tudung. Hebat!


Kredit Foto: IG Faezah Elai
  1. Faezah Elai
Ketika melihatnya menyarung tudung instant tampak terletak cantik saja. Begitu juga dengan pemakaian tudung bawal, masih terlihat kemas dan tetap menutup dada. Pendek kata, apa jua jenis tudung sesuai digayakan oleh Faezah Elai.


Kredit Foto: IG Siti Nordiana
  1. Siti Nordiana
Seboleh mungkin dia akan melabuhkan helaian tudung yang disarungnya ketika menggayakan dress terutamanya. Dan apabila memakai jaket, tudungnya masih lagi rapi dan kemas menutupi dada. Terbukti bergelar penyanyi dan pelakon tidak menghalang Nana untuk sedaya upaya memastikan dirinya cuba menutup aurat dengan sempurna.
Kredit Foto: IG Memey Suhaiza
  1. Memey Suhaiza
Ibu kepada tiga cahaya mata ini membuktikan kesibukan dan ‘bergelut’ dengan anak kecil bukan alasan untuk tidak kelihatan on point dalam penataan gaya hijab. Sama ada menggayakan tudung bawal mahupun shawl yang dililit rapi; raut wajahnya sesuai dengan apa jua stail hijab.

Diharap semoga perkongsian ini memberi input kepada kita untuk cuba dan berusaha menutup aurat dengan sempurna. Tidak semestinya yang longgar dan labuh itu selekeh. Kerana disisi agama begitulah kehendaknya bagi mengelakkan timbulnya fitnah dan mengundang ghairah mata yang memandang. Teruskan berdoa agar kita diteguhkan keimanan untuk memiliki kekuatan, kesabaran dan keinsafan menutup aurat dengan sempurna demi cinta kita kepada-Nya.