Benarlah dalam setiap musibah itu Allah takdirkan kita untuk lebih mengenali antara satu sama lain. Jika dulunya mungkin tak pernah bertegur sapa tetapi asbab ujian ini terjalin satu ikatan yang cukup indah pada pandangan mata. Dan benar juga bagai dikata apabila ujian itu juga mampu menyatukan hati kita.

Lihat sahaja apabila berlaku sesuatu, Allah takdirkan dan gerakkan hati kita untuk bantu orang yang tidak kita kenali. Atas nama simpati, kemanusiaan, sifat belas kasihan itulah yang secara tidak langsung mengeratkan hubungan sesama kita.

Kredit Foto: Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ni


Seperti apa yang dilakukan Azwan Omar atau kian tular dengan panggilan ‘Abang Viva’ ini. Sejak minggu lalu ramai yang memuat naik mengenainya. Sanggup datang dari Melaka membawa botnya sendiri untuk membantu mangsa banjir di Selangor, semua itu dilakukan dengan rela hati.

Kredit Foto: IG Pakar Diari Hati


Dan memetik sumber portal berita Free Malaysia Today, dia yang bekerja sebagai operator mesin sanggup memohon cuti kecmasan daripada majikan untuk ke Shah Alam semata-mata mahu menolong mereka yang terperangkap banjir. Dalam poket pula katanya ada RM50 sahaja. RM20 untuk duit minyak bot, lagi RM30 untuk beli roti, air buat alas perut. Tidur pun dalam bot dan dia terus kental untuk selamatkan mangsa-mangsa banjir.

Antara mangsa banjir yang diselamatkan ialah pasangan warga emas termasuk suami yang lumpuh dan seorang ibu dengan bayi yang baru dilahirkan. Kisah Azwan tersebar menyebabkan orang ramai menderma wang kepadanya. Namun dia agak keberatan mahu menerimanya dan menderma sebahagian besar wang itu kepada NGO-NGO lain.

Kredit Foto: IG Era.Je


Ujar Azwan "Saya datang nak tolong dengan ikhlas tak harap apa-apa pun. Saya pun tak minta untuk jadi viral sampai macam ni, orang masuk dalam internet semua. Jadi sumbangan yang saya terima itu saya akan salurkan semula kepada mangsa banjir"

Menerusi video kiriman orang ramai, Azwan menyeru orang ramai untuk turut sama membantu khususnya mereka yang mempunyai bot sepertinya.

A post shared by jentikhati™ (@jentikhati)

Kredit Video: IG Jentik Hati

Sungguh, hebat dan terinspirasi kisah Abang Viva ini. Dia hanya orang biasa tanpa pangkat dan gelaran. Tetapi jiwanya amat luar biasa. Dia di antara hero yang tidak dikenali tetapi kaya jiwa dan budi.

Semoga segala usaha dan inisiatifnya untuk membantu mangsa banjir yang terjejas dipermudahkan dan apa yang dilakukannya ini menjadi inspirasi dan ikutan kita. Betapa untuk membantu itu tidak perlu bersyarat dan bukannya mengharapkan apa jua balasan. Dan penulis yakin ramai lagi dalam kalangan kita yang punya jiwa besar seperti Azwan. Antara bukti jelas dan nyata #RakyatJagaRakyat.