Rancangan Rumah 107 tayangan di Astro Warna ini mungkin dianggap program komedi yang sarat dengan gelak tawa semata-mata. Hakikatnya, ia bukan rancangan kosong yang tawar. Ia diselitkan sebegitu banyak elemen warna dan realiti kehidupan tetamu jemputan yang jarang sekali dikongsi secara umum. Antara yang menarik dalam episod ini, Diana Danielle berkongsi bagaimana Norman Hakim ‘terpukau’ dengan kecantikan matanya ketika mereka pernah shooting bersama dulu. Wow!


Dan, Nabila Huda juga menjawab persoalan dikecam netizen bertalu-talu, namun bagaimana Abil kekal tegar tidak menghiraukan setiap tohmahan? Dalam program berdurasi satu jam itu juga, Abil meluahkan perasaannya terhadap netizen yang suka menggunakan platform media sosial sebagai cara menghentam orang tanpa usul periksa. “Tiada siapa boleh mengubah saya melainkan suami saya. Dan, suami sejenis yang menegur tanpa perlu kata-kata, sebaliknya melalui contoh yang dia sendiri buat,” kongsi Abil.


Kredit Foto: Astro Warna


Kata Suami, Wajah Abil Bak Bidadari Saat Ketemu Papa


Rata-rata, umum tahu perihal hubungan ‘manis – tawar’ Nabila Huda dengan bapa kandungnya, penyanyi tersohor Amy Search. Ia kisah lama yang tidak mahu diungkit lagi. Namun, diimbas seketika oleh Abil untuk pengajaran kepada anak-anak di luar sana, walau macam mana rapuh dan renggang pun ikatan bapa dan anak, sampai masa pujuklah hati untuk berbaik dan menghargai sisa masa yang ada bersama insan bernama bapa itu.


Zaman kecilnya, Abil dibesarkan oleh Nenek. Ibu dan ayah berpisah dan Abil berada di tengah-tengah kemelut itu. Tidak menyalahkan sesiapa, namun inilah hakikat kehidupan Abil yang melalui zaman persekolah yang ‘menyedihkan’. “Tiada apa yang membuatkan Abil rindu tentang persekolahan kerana Abil melalui detik itu sendirian dan tiada siapa menghargai apa yang Abil dilakukan di sekolah. Nenek tidak tahu membaca, sehinggakan kad laporan pun Abil ambil dan sign sendiri.”


Air matanya tumpah tidak semena-mena apabila mengingatkan betapa dia gusar saat menjelangnya Hari Keluarga di sekolah. Abil tidak dapat meraikan hari itu. Keadaan Abil tidak sama seperti kawan-kawan lain. Sukar untuk diperjelaskan tetapi inilah bahagian Abil ketika itu dan Alhamdulillah, plot cerita inilah yang mendewasakan Abil lebih pantas daripada rakan-rakan lain. Tidak semua mempunyai jalan cerita sepertinya, bukankah Abil insan terpilih untuk melaluinya?


Kredit Foto: Astro Warna


Namun, itu kisah silam yang sudah Abil lupakan dan maafkan semuanya. Bagaimana Abil menjernihkan hubungannya dengan Papa Amy? “Abil terfikir sendiri sampai bila Abil mahu meneruskan episod duka ini? Kerinduan yang sentiasa menebal mendorong Abil untuk menjernihkan semuanya. Percaya tak, Keisha sendiri yang menasihati Abil untuk berjumpa Atuknya kerana dia sendiri rindu untuk peluk Atuk.”


Lagi pula, Abil risau memikirkan usia Papa yang semakin menginjak tua. Adakah masih panjang masa yang dipinjamkan Tuhan untuk mereka bersama? “Abil tidak mahu menyesal seumur hidup jika tidak sempat untuk meminta maaf dengan Papa, memeluk, mencium dan bermanja dengannya. Abil mahu ganti semula masa yang terbuang dulu untuk dihabiskan dengan Papa. Tahu tak, detik pertama Abil masuk berjumpa Papa untuk berbaik dulu, suami Abil beritahu, betapa wajah Abil kelihatan seperti bidadari yang paling cantik. Begitulah indahnya momen tautan kasih anak dan ayahnya.” Cerita Nabila Huda.



Kredit Foto: Astro Warna


Diana Danielle Hanya Ada Empat Memori Dengan Daddy


Dan kisah pelakon Diana Danielle yang punya darah campuran Melayu – Inggeris ini juga meruntun hati. Sudah terpisah lama dengan bapanya, Danny Beeson sejak berusia empat tahun, namun Diana masih boleh mengingati kenangan indah bersama bapanya itu. Menurut Diana, dia cuma ada empat memori bersama Daddy yang sehingga kini sentiasa menjadi penemannya untuk dikenang jika rindukan belaian seorang ayah.


“Yang pertamanya, ketika kami beriadah di pantai. Kami bermain, mandi bersama-sama, seperti anak dan ayah lain. Tiba-tiba Daddy buat-buat pengsan dan jatuh di tepi pantai. Diana berlari mendapatkan Daddy dan menyuruh Daddy bangun!” Kongsi Diana diiringi ketawa dan mata yang berkaca-kaca.


“Diana juga masih boleh ingat bagaimana Daddy ajar Diana cara ikat rambut. Daddy juga ajar Diana ikat tali kasut. Sesuatu yang selalu diajar oleh seorang bapa kepada anaknya, kan? Dan, syukur Diana sempat melalui pengalaman itu walaupun tidak berpanjangan.” Terlihat betapa berserinya wajah Diana saat menceritakan detik itu, seolah-olah dia sedang cuba menyegarkan memori itu dengan lebih lama.



Kredit Foto: Astro Warna



Diana turut berkongsi memori berkongsi pizza dengan ayahnya. “Satu hari itu, Daddy memesan begitu banyak pizza dan Diana dapat ingat kami menghabiskan semua itu cuma berdua. Ya, kami berdua saja waktu itu...” Ia menambahkan rasa hiba seisi studio sehingga semua yang ada turut berkongsi air mata bersama Diana.


Ya, mungkin bukan rezeki Diana untuk terus mengecapi kasih-sayang seorang ayah sehingga usia dewasanya. Apa pun, Diana bersyukur kerana setiap ujian itu, Tuhan gantikan dengan ganjaran lain yang juga perlu disyukuri. “Kasih-sayang untuk Daddy itu Diana panjangkan kepada Farid pula. Alhamdulillah, Diana dianugerahkan suami yang baik yang mampu membahagiakan dan mencurahkan sepenuh kasih-sayangnya kepada saya.”




Kredit Foto: Astro Warna