Highlights

Adakah Kita Yang Mengawal Telefon Bimbit Atau Telefon Bimbit Yang Mengawal Hidup Kita?

gempak
Huda Hussain
14/09/2020
02:00 MYT
Sponsor Banner
Adakah Kita Yang Mengawal Telefon Bimbit Atau Telefon Bimbit Yang Mengawal Hidup Kita?
Celik saja mata, usai bangun dari tidur benda pertama yang dicapai adalah telefon bimbit. Sama ada untuk switch off alarm, snooze dan lain-lain; semua diantara kita ada sebab tersendiri. Siapa yang punya habit seperti ini? Mungkin ia dianggap sesuatu yang normal bagi kebanyakan orang kerana sudah terbiasa. Dan mungkin juga ia petanda kita yang mengawal penggunaan telefon bimbit kala ini.
Kredit Foto: Google
Tetapi bagaimana pula semasa bekerja, terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, waktu makan, lepak santai dengan rakan, waktu terluang hatta semasa meluangkan masa dengan keluarga pun masih berkepit dengan telefon bimbit? Adakah ini petanda telefon bimbit yang mengawal kehidupan kita? Atau kita yang terlalu ‘ketagih’ seakan tidak boleh berenggang dengannya? Masing-masing punya pendirian dan pemahaman yang tersendiri. Kerana peranan, fungsi dan kepentingannya berbeza-beza bagi setiap orang.
Kredit Foto: Google
Situasi 1: Ibu Yang Dulunya Tak Punya Telefon Bimbit Canggih
“Tak payah download upload macam-macam. Mak bukannya pandai guna pun. Dah ada wasap (Whats App) pun cukup” ujar si emak kepada anaknya. “Tapi YouTube ni Mak boleh dengar ceramah Ustazah Noorhafizah tu. Haa, Facebook pulak Mak boleh tengok FB Live Prof Muhaya, Ustaz Don semua-semua tu. Lagi senang Mak”, ujar si anak pula cuba memancing perhatian si emak. “Iya? Nanti kau ajarkan Mak”. Dan usai diajar, si emak yang sebelum ini tidak pernah punya akaun Facebook sudah mahir menggunakannya. “Mak nak tengok Makcik Kiah kau dah masukkan ke belum gambar kami rombongan studio Tazkirah Malam Jumaat tu. Dia kata tadi dah masukkan. Tapi tak tag Mak pun,” ngomelnya seorang diri usai solat.
Mungkin situasi sebegini pernah berlaku dalam kalangan ibu bapa kita. Mula-mula tak mahu, tapi lama-kelamaan sudah asyik. Tentang bagaimana peranti mudah alih yang kecil dan nipis ini mampu membuatkan kita bergantung kepadanya. Hinggakan kalau tak pegang, tak belek dan tak scroll bagaikan serba-serbi tak kena.
Kredit Foto: Google
Situasi 2: Apabila Telefon Bimbit Diberi Kepada Anak
Biasa dilihat apabila kita berada di restoran mahupun kedai makan; ibu bapa akan memberi anak-anak telefon bimbit sebagai alternatif supaya anak-anak boleh duduk diam. Seawal dua tahun sudah diberikan alat komunikasi ini. Ya, ada kalanya kita mampu untuk duduk bersama mereka, sama-sama menonton apa yang terpapar di skrin telefon bimbit.
Tetapi sudahnya kita mungkin terlupa lalu membiarkan mereka leka dan ralit menonton segala macam kartun, animasi dan pengisian di laman YouTube. Bagi ibu bapa yang menetapkan peraturan misalnya dalam durasi tertentu atau hanya pada hari tertentu sahaja dibolehkan bermain telefon bimbit, syabas diucapkan.
Ia sebagai langkah untuk mengawal penggunannya agar anak-anak tidak ketagih hingga lupa untuk bersosial dengan rakan seusia. Berdasarkan pembacaan dan pemerhatian penulis, ada kebaikan dan keburukan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan anak-anak kecil jika tidak dikawal dengan baik.
Penguasaan Bahasa Inggeris mereka mungkin baik dan lancar kerana dalam usia ini mereka belajar dengan meniru. Tetapi kemahiran sosial lain seperti bermain, bersosial dan sebagainya mereka yang terlalu ‘ketagih’ telefon bimbit ini dilihat pasif. Tidak berkeyakinan dan lebih suka memencilkan diri. Lantaran itu perlunya pengawasan dan penting sama sekali untuk kita kawal penggunaannya terhadap mereka.
Kredit Foto: Google
Situasi diatas hanyalah contoh untuk menggambarkan bagaimana kita sebenarnya dikawal oleh telefon bimbit. Tetapi berbeza bagi mereka yang tuntutan kerjanya memerlukan mereka memantau media sosial organisasi, perniagaan makanan, fesyen, kecantikan dan lain-lain. Itupun masih bergantung kepada masa-masa tertentu dan bukannya 24 jam berkepit dengan telefon bimbit.
Ambillah masa untuk analisa dan kenal pasti adakah selama ini kita hidup dikawal oleh telefon bimbit atau sudah tiba masanya kita sendiri yang mengawal penggunaannya. Jangan dek kerana mahu ambil tahu apa yang tular, trending dan sebagainya hingga kita mengabaikan tanggungjawab dan fungsi diri. Masih banyak perkara dan kerja yang memerlukan komitmen kita selain daripada terlalu leka dengan telefon bimbit. Renung-renungkan.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live