Highlights
Adat Merisik/Meminang Sangat DITUNTUT Sebelum Dua Hati Disatukan – Umpamanya Nak ‘Reserve’, Saling Kenal.
Majlis merisik atau meminang adalah salah satu adat budaya yang diamalkan masyarakat Melayu sejak zaman dulu lagi. Malah, pada zaman dulu-kala ia dilangsungkan dengan lebih sarat adat-istiadat dan protokol ketat. Amalan ini dianggap seperti amalan menyunting si gadis untuk anak teruna mereka.
Dalam majlis ini, pihak lelaki akan datang ke rumah keluarga perempuan untuk proses bertanya, bersuai-kenal dan ‘menyiasat’ sedikit sebanyak perihal anak gadis yang ingin disunting mereka sebagai menantu. Ia biasanya diketuai oleh orang-orang tua yang akan berbincang dan saling bersoal-jawab.
Ia juga boleh dianggap sebagai majlis ‘menempah menantu’. Di mana, jika kedua belah pihak sudah bersetuju bermakna, ikatan janji dimeterai. Si gadis bakal dijadikan isteri kepada si anak lelaki. Maka, tiada lelaki lain boleh ‘kacau daun’ kerana janji antara ke dua belah keluarga harus dipegang sehingga majlis kahwin nanti.
Advertisement
Majlis Merisik Menurut Islam
Dalam suatu hadis daripada Abu Hurairah R.A, beliau menceritakan bahawa ada seseorang telah menyampaikan kepada Rasulullah S.A.W. bahawa dirinya telah berkahwin dengan seorang wanita Ansar. Rasulullah S.A.W. kemudian bertanya:
“Adakah kamu telah melihatnya?”
Jawab pemuda itu, “Belum.”
Kemudian Rasulullah S.A.W. menyarankan, “Lihatlah calon isterimu, kerana di bahagian mata orang Ansar ada sesuatu.”
(Hadis Riwayat Muslim : 3550).
Jelas di sini, Islam tidak melarang majlis ini, malah menggalakkan bakal pengantin untuk saling mengenali dan melihat fizikal masing-masing (mengikut syariat Islam), sebelum bernikah. Ini penting agar kedua-dua pihak saling bersetuju dan rela secara ikhlas menerima pasangan masing-masing.
Ini juga bagi mengelakkan ada rasa teraniaya atau terpaksa jika masing-masing tidak mengetaui rupa bentuk bakal pasangan sebelum kahwin. Islam sangat indah dan tidak membebankan umat Nya dengan sesuatu yang tidak rela di hati mereka. Di sinilah pentingnya untuk pasangan lelaki dan perempuan dapat menerima diri masing-masing seadanya.
Bukan hanya pasangan yang mahu disatukan. Malah, untuk keluarga kedua-dua belah pihak juga dapat bermesra dan berkenalan secara ringkas menerusi majlis seperti ini. Kerana itu, kebanyakan orang mengadakan majlis ini secara tertutup dan kecil sahaja. Ia bagi membolehkan keluarga terdekat sahaja hadir dan fokus pada sesi perkenalan itu.
Tips dan Saranan Mengadakan Majlis Merisik
- Harus diadakan tanpa melanggar syariat Islam seperti tidak diadakan secara beria-ia sehingga berlaku pembaziran dan tidak melibatkan perkara-perkara yang lagha.
- Haruslah diketuai oleh orang-orang tua daripada ahli keluarga terdekat yang dipercayai agar mereka lebih tahu cara berkomunikasi, adat dan lebih dihormati.
- Pilih tarikh yang sesuai yang tidak menjadi beban kepada kedua-dua belah pihak keluarga. Berbincang sebelum menetapkan tarikh dan masa.
- Jaga batas kelakuan dan bahasa. Bertanyalah soalan-soalan yang berkaitan sahaja dan tidak melalut keterlaluan. Gunakan bahasa yang mudah difahami dan tidak kasar.
- Pastikan ketua atau wakil sudah dimaklumkan akan apa-apa informasi yang penting seperti tarikh majlis seterusnya dan lain-lain agar tidak terkebil-kebil untuk menjawab nanti.
- Bawalah buah tangan ke rumah pihak sana dan pihak di sana juga perlulah ada balasan buah tangan untuk dibawa pulang oleh bakal keluarga bisan.
- Benarkan anak untuk melihat bakal pasangannya mengikut yang perlu saja. Sekiranya anak lelaki turut hadir pada hari itu, pastikan dia hanya datang selepas sesi mesyuarat. Kalau mahu bergambar, jaga batas pergaulan dan jarak.
- Elakkan memilih waktu yang terkena pada masa waktu solat. Sebaiknya selepas waktu solat seperti selepas Asar atau sebelum Zohor.
Must-Watch Video