Panas! Makin panas topik bual bicara program Borak Kelamin siaran Astro Ria setiap Isnin, jam 9 malam ini. Program yang dihostkan oleh Awal Ashaari dan Elly Mazlein ini mengupas secara mendalam isu-isu rumah tangga yang kerap dihadapi pasangan dalam melayari bahtera cinta. Ingat ya, ia bukan topik seksual semata.


Untuk episod ke 4 malam ini, isu yang akan dibentangkan sangat subjektif tapi realiti berlaku dalam kalangan pasangan sejak dulu lagi. Dengan tajuk ‘Rupa Atau Harta’, Borak Kelamin menjemput selebriti, Ain Edruce dan Kaunselor, Dr. Robiah K.Hamzah untuk berkongsi cerita dan fakta mengenai pasangan yang memandang rupa atau duit.


Kredit Foto: Astro Ria




Harta Itu Bonus, Tapi Penting Untuk Keperluan Hidup


Ain Edruce telah berumah tangga dengan suaminya seorang ahli perniagaan bernama Amirul Hafiz Mustaffa pada 13 Disember 2019. Dan kini hamil anak pertama mereka. Kehidupan ceria dan positif yang selalu ditonjolkan pasangan ini di media sosial Ain, tetap mendapat kecaman walaupun usia perkahwinan mereka sudah mencecah dua tahun.


Segelintir netizen mengecam pilihan Ain dek pendapat mereka Amirul tidak punya rupa selayaknya untuk menjadi pasangan Ain. Tidak kurang yang menambah garam konon Ain mahukan Amirul hanya kerana suaminya itu berharta. Masalahya, apa kena-mengena netizen dengan kehidupan peribadi Ain? Aduhai...


“Saya kenal Amirul pada usia 27 tahun tapi sebelum kenal dia lagi saya sudah berimpian untuk memilih suami yang mempunyai ekonomi stabil. Saya sendiri bercita-cita untuk menjadi suri rumah, tidak terlintas untuk bekerja selepas kahwin. Namun, takdirnya saya menjadi selebriti dan kekal bekerja hingga ke hari ini,” Kongsi Ain awal perbualan.


Akui Ain jujur, memiliki suami berduit itu penting untuknya sebagai selebriti kerana pendapatan Ain yang tidak menentu, apatah lagi ketika pendemik sekarang ini. Ain sendiri tidak boleh bayangkan kalau suami sendiri tidak mempunyai kewangan kukuh, adakah mereka mampu meneruskan kehidupan seperti biasa?


Tambah Ain, dia sendiri bimbang jika pendapatannya lebih tinggi daripada suami, dia akan jadi lebih dominan dalam rumah tangga yang membuatkan dia ‘memerintah’ suami yang pastinya tidak bagus untuk sebuah rumah tangga.



Kredit Foto: Astro Ria


Netizen Cukuplah... Suami Saya Pun Ada Perasaan


“Muka elok je tak cukup dik, ingat nak beli Ferrari tayang muka je boleh dapat ke? Hahaha... Tapi, sebenarnya Ain sukakan Amirul kerana sikap dan hatinya itu. Harta itu sekadar bonus. Kalau harap rupa je pun, time bergaduh rupa elok pun boleh jadi tak elok, kan?” Tambah Ain lagi diiringi ketawa besar.


Saat ditanya apa perasaan suami Ain apabila selalu dikecam di media sosial? Jawab Ain, “Tipulah kalau kata dia langsung tak terasa. Pasti ada masanya dia tersentap juga walaupun saya tak pernah pun tanya. Apa pun, sebagai isteri saya akan pujuk dia dengan mengatakan semua kecaman ini hanyalah sekadar komen orang yang kita pun tak tahu rupa dia macam mana?”


Ain turut berharap netizen berhentilah mempertikaikan pillihan Ain, mereka pun sudah dua tahun bernikah dan bakal meninang cahaya mata pertama. Usah lagi disoalkan jodoh yang telah ditentukan Allah SWT. Apa yang penting doakan kebahagiaan mereka. Daripada ditambah dosa, baiklah dicari pahala dengan mendoakan yang baik-baik.




Kredit Foto: Astro Ria





Penceraian Juga Banyak Berlaku Dek Suami Kaya


Menurut Kaunselor, Dr.Robiah, setiap pasangan perlu tahu prinsip pertama perkahwinan; adakah kita mahu menjadi hamba dunia atau hamba akhirat? Apabila kita tahu hala tuju kehidupan kita, maka rumah tangga yang dikemudi juga menuju ke destinasi yang pasti. Nabi sendiri kata, memilih pasangan ada empat kriterianya aitu harta, kecantikan, keturunan dan agama.


“Kalau dipilih agama maka selamatlah semuanya...” Ujar Dr. Robiah.


Apabila ditanya benarkah duit menjadi punca utama kebanyakan rumah tangga runtuh? Jawab beliau, ya ia antara faktor terbesar terutamanya pada waktu pendemik sekarang ini.


“Ada kala impian sesetengah orang terlalu besar. Tidak salah untuk bermimpi, tapi impian itu tidak semestinya terealisasi pada saat ini. Sikap tidak sabar dan mahukan impian itu terjadi serta-merta membuatkan ramai antara kita yang gagal. Kalau mahu sesuatu, usahalah seperti orang lain yang bekerja keras untuk memilikinya. Bukan datang bergolek,” Tegas Dr. Robiah apabila ada pasangan yang mudah terpengaruh dengan life style orang lain di media sosial.


Jangan pula dirasakan apabila memiliki suami kaya, perkahwinan akan terjamin selamanya kerana ada kebanyakan kes penceraian berlaku dalam kalangan usahawan kaya, profesional dan mereka yang berharta. Ini terjadi mungkin kerana persepsi lelaki itu yang berasakan dia kaya, maka dia boleh miliki sesiapa saja sebagai isterinya. Kahwin cerai umpama tiada apa.


“Pasangan perlu tahu membezakan antara keperluan dan kehendak. Duit ini tidak akan cukup untuk membeli dunia. Jadi, harus tahu apa yang paling penting untuk terus hidup dan bukan terpengaruh dengan kehidupan orang lain yang lebih mampu. Maka, kita akan bahagia dengan apa saja yang Tuhan kurniakan untuk kita,” Tegur Dr. Robiah.


Apabila ditanya pendapat beliau perihal suami yang mementingkan isteri bersiap cantik? Jawab Dr. Robiah, “Cantik itu bukan hanya pada pakaian, ia meliputi banyak aspek seperti sikap, cara membawa diri, cara bercakap, perlaksanaan tanggungjawab dan sebagainya. Suami yang tidak melihat isterinya cantik adalah kerana dia tidak tahu apa itu cantik?


Suami yang mahu isterinya cantik, harus juga sediakan keperluan kecantikan isteri itu. Bukan hanya tahu minta saja tapi tak pernah bantu isteri. Bantu isteri beli barang kecantikannya dan bantu isteri punya masa untuk bercantik. Sama-sama pikul tanggungjawab dalam rumah tangga agar isteri ada masa untuk diri sendiri,” Kata Dr. Robiah.


Beliau turut menyelar sikap suami yang hanya mahu dilayan bagai raja tapi tidak pula menjadikan isteri seperti ratu. Katanya, suami kena faham tanggungjawab isteri pada hari ini tidak sama seperti sebelum memiliki anak bederet-deret. Maka, suami juga perlu ada rasa untuk kongsi tanggungjawab itu bersama-sama.


“Ingat satu perkara, no giving, no receiving! Jangan minta macam-macam, kalau suami sendiri tidak pernah memberi apa-apa!” tegas Dr Robiah mengakhiri bicara.