Pasangan yang sudah lima tahun berumah tangga ini terlihat makin lama makin bahagia, apa lagi dengan kehadiran dua orang cahaya mata pelengkap keharmonian berkeluarga. Amyra dan Amar dijemput sebagai undangan virtual di program Rumah No.107 selain Ayda Jebat dan Nabil Mahir.


Program selama satu jam itu sempat berkongsi momen mesra dan bahagia pasangan muda itu. antara yang sempat dicungkil adalah rahsia bagaimana Amar mula-mula mengurat Amyra yang dikatakan pada mulanya tidak menerima lamaran Amar untuk dijadikan isterinya.


Cerdiknya Amar apabila cuba ‘tackle’ Mama Amyra pula. Betullah pepatah orang dulu, kalau mahukan anaknya, ambil dulu hati orangnya. Menurut Amyra, Amar seorang yang pandai mengambil hati orang tuanya. Kalau di penggambaran, Amar siap panggil ibu Amyra ‘Mama’ dan alhamdulillah melekat sampailah sekarang.


Ditanya resepi kerukunan rumah tangga mereka, jawab Amyra, “kena selalu ingat, selama pun kita dah berkahwin selalu kenang momen bercinta dulu, yang manis-manis yang indah-indah. Kalau dulu merajuk, cepat saja dipujuk. Momentum bercinta itu harus carry on sampai bila-bila, walau dah beranak-pinak.”


Dalam rumah tangga pasti ada masanya terjadi kisah masam, rajuk-merajuk, tergigit lidah. Begitu juga buat mereka. Kongsi Amyra, kalau ditanya siapa kuat merajuk? Ia bergantung pada masa dan tempat. Amyra jenis kalau merajuk lekas sejuk, sebolehnya nak cepat berbaik.


Berbeza dengan Amar yang akan lama kalau hatinya terusik. Ketika awal kahwin dulu, Amyra pun pelik, lamanya Amar merajuk kalau mereka ‘bergaduh’. Celah Amar, “kadang-kadang berdiam itu lebih baik. Kita perlukan masa untuk memulihkan keadaan.”





Apa Perkara Paling Annoying Pasangan Buat?


Sambil ketawa Amar cerita, “saya kadang-kadang naik rimas bila tengok Amyra 24 jam di dapur. Kejap-kejap ke dapur, masak itu, ini, kemas dapur. Saya kata rehatlah, cuba duduk sini tengok TV. Hahaha...”


Sampuk Amyra, “Habis tu makanan semua tu siapa yang habiskan?” Mengundang ketawa semua.


Ditanya host apa yang dibuat Amyra asyik duduk di dapur? Terang Amyra, banyak benda ak dimasak, lauk suami dan anak lain-lain. Suami pula kalau dah masak nasi lemak, kena ada pelengkapnya. Memang tak habis kerja di dapur itu.


Membuka rahsia Amar, perkara paling annoying yang buat Amyra ‘sakit hati’? Kata Amyra sambil menunjukkan mug Amar yang di atas meja. “Tengok ni, gelas ni boleh ada kat sini tiga hari, tak diangkatnya. Bergelas-gelas dia pakai tak bercuci!” Hahaha....



Begitulah asam garam rumah tangga. Penuh rencah dan warna. Kalau mendatar pun tak seronok juga, pasti bosan. Kita nak hidup bersama lama lagi, kalau boleh hingga menutup mata. Apa pun, jangan lupa tonton Rumah No 107 esok, Jumaat jam 9 malam di Astro Warna. Banyak lagi kisah mereka dikongsi di situ.


Selamat menonton!