Read
Ambil Masa 6 Bulan Pikat Suami, Akhirnya Nikah! — Ini Kisah Cinta NABILA HUDA yang Sempoi, Tapi Tusuk Kalbu!
Oleh: Afiza Kamarulzaman
SEORANG figura yang dilahir dan dibesarkan sebagai orang seni yang darahnya mengalir bakat anugerah Illahi yang jarang ada pada orang biasa-biasa. Nabila atau Abil amat dikenali sebagai seorang yang sempoi dan mudah sahaja aturan kehidupannya.
Advertisement
Walau dihimpit dengan pelbagai ‘kejutan’ dalam hidupnya, namun tidak sekali dia berasa lelah atau mahu ‘terjun bangunan’. Dia terus melalui kehidupan anak seninya dengan tenang dan tanpa perlu ‘drama buatan’.
Ditanya tentang perkembangan terkininya, Abil memberitahu dia tidak punya apa-apa projek mega buat masa ini. Masanya banyak diluangkan di rumah bersama suami dan anak. Makan dan masak adalah aktiviti paling stailo untuk dia dan suami kini.
Jujurnya, Abil berasa bahagia dengan kehidupan yang dilalui sekarang ini dengan adanya suami, Mohd Izwan Johar dan anak perempuannya, Keisha di sisi. Sesekali mereka bertiga akan pergi bercuti.
Namun, percutian yang selalu mereka alami bukanlah percutian lima bintang yang luxe tetapi lebih kepada sebuah kembara keluarga melihat seisi alam sambil melakukan aktiviti riadah yang jarang dilakukan keluarga lain.
“Inilah percutian kegemaran kami. Redah dan rasai pengalaman di tempat orang dengan cara kami. Inilah juga cara saya mendidik Keisha untuk menikmati dan melihat dunia yang sebenar agar dia lebih matang dan berdikari.”
Ketika temu bual ini diadakan juga, Abil baru sahaja pulang dari kembara kerjanya di selatan Itali. Banyak perkara-perkara baru yang dipelajarinya di sana. Pasti seronok mendengar cerita Abil ini...
Bagaimana indahnya kembara kerja Abil di Selatan Itali tempoh hari?
Oh, pengalaman dua minggu yang sungguh menakjubkan! Kembara bersama Turkish Airline Malaysia ini membawa saya menjengah kawasan-kawasan selatan Itali yang jarang diterokai oleh pelancong asing.
Ia tempat- tempat yang sangat menarik yang masih mengekalkan tradisi dan kebudayaan tulen orang di sana. Ia bukanlah lokasi membeli- belah atau penempatan elit, tetapi lebih berharga daripada itu, ia dikelilingi pemandangan alam dan gunung-ganang yang sangat mengujakan.
Kebetulan pula, kedatangan saya waktu itu adalah ketika terjadinya gerhana matahari dan malam tersebut berlangsunglah aktiviti water blessing di mana kemunculan bulan penuh.
Suasana malam hari itu sangat cantik terutamanya apabila melihat cahaya bulan terbias di atas dasar air. Inilah antara akviti malam penduduk di situ.
Apa yang Abil belajar dari kembara ke tempat-tempat seumpama itu?
Penduduk- penduduk di situ sangat mendulukan hubungan kekeluargaan. Budaya mereka cukup menarik. Walaupun kami punya masalah untuk berkomunikasi, namun mereka amat mesra dan mengalu-alukan kedatangan tetamu luar.
Mereka sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain. Mereka tidak punya media sosial, jadi bersosial secara terus adalah medium utama untuk mengeratkan hubungan sesama mereka.
Sungguh, mereka masyarakat yang sangat baik, peramah dan suka membantu, walau kita orang luar. Rutin harian mereka juga sangat indah. Orang tua di situ bercucuk tanam di belakang rumah, maka dari hasil tanaman itulah yang dimasak terus dan dihidangkan ke meja makan.
Semuanya segar dan organik kerana itu kebanyakan mereka sihat-sihat belaka. Malah, keju dan pasta pun mereka buat dan uli sendiri, segalanya homemade. Dan, kalau mahu tahu, sesi makan mereka amatlah panjang sehingga boleh berlangsung selama tiga ke empat jam kerana waktu makanlah ketikanya mereka bersosial dan berbual-bual sesama mereka.
Dari satu hidangan ke satu hidangan memang mengambil masa yang lama, maka di situlah tempat untuk mereka saling beramah-mesra.
Dan, sebaik pulang dari Itali, Abil dikhabarkan mengejar nasi di rumah. Sungguh, Abil seorang yang kuat makan dan suka masak sehingga pada jam 12 malam pun Abil dan suami gigih ke dapur. Tidak takut berat badan ‘membuak-buak’?
Food makes me happy! Saya hanya mahu enjoy dan happy melalui kehidupan bersama keluarga dan makanan tanpa perlu menyekat apa-apa yang membuatkan saya bahagia. Penatlah, asyik nak maintain berat badan.
Tapi, tidak dinafikan apabila ada ketika yang memerlukan saya menurunkan berat badan, saya akan cuba menjaga diet juga. Namun, apa pun masak dan makan adalah lebih utama, hahaha...
Abil dan suami nampak begitu serasi bersama. Hubungan kalian begitu ‘unik’ dan lain daripada pasangan lain. Kalian dilihat sama-sama ‘gila’ dan sentiasa berkongsi aktiviti bersama.
Kalau tiada kerja, memang kami akan berkepit saja di rumah. Saya bahagia dengan kehidupan sekarang, apatah lagi dikurniakan suami sebaik dia. Jujurnya, saya tidak pernah termimpi memiliki lelaki sesempurna ini, lelaki paling baik yang pernah hadir dalam hidup saya.
Kehadirannya membuatkan saya lupa segala kenangan pahit yang lalu. Dia membawa cahaya baru dalam kehidupan saya. Perasaan indah yang dibawanya membuatkan saya berasakan seperti... inilah pekahwinan pertama Abil, tiada lain selain dia.
Dia seorang yang penyabar dan sentiasa faham dan menerima saya seadanya.
Kenapa dia, sedangkan Abil pastinya diburu begitu ramai lelaki lain di luar sana?
Sebenarnya saya ni secret admirer dia. Mengenalinya menerusi seorang teman. Pada mulanya, sekadar hai, hai bye, bye. Saya merenungnya dari jauh saja tapi dia pula jenis pemalu, yang hanya akan tunduk sahaja setiap kali saya pandang atau senyum kepadanya.
Sampaikan saya terfikir dia ni ‘gay’ ke? Nabila Huda kut yang nak mengurat dia tetapi dia semacam tiada perasaan. Hanya selepas enam bulan berkawan barulah dia melafazkan ‘I Love You’. Waktu itu perasaan saya melayang-layang.
Saya pandang cermin pun rasa macam berpusing-pusing. Dia memang istimewa. Dua tahun saya tunggu dia untuk menikahi saya. Saya tidak sangka dia tepati janji, setelah dua tahun itu dia sendiri yang hantar mesej kepada saya memberitahu, “Kita akan berkahwin pada 25 Disember di Masjid Shah Alam.”
Dan kami betul-betul berkahwin mengikut apa yang dia tulis itu. Mudah. Abil menangis bagai nak gila selepas dia melamar Abil waktu itu. sehinggakan dia cuak dan cakap, “Eh, janganlah nangis beria sangat.”
Saya balas, “I nangis sebab I happy sangatlah. I kan perempuan, mestilah I nangis...” Drama betul. Selepas berkahwinlah, barulah terserlah ‘keromantikan’ dia tu. Berbeza sungguh. Kalau dulu, saya yang terhegeh- hegeh dengan dia, nak pegang tangan pun dia tak mahu.
Sehinggalah sebaik saja selepas nikah, saya terus peluk dia sepuas- puas dan seerat-eratnya. Itu yang sampai sekarang kami suka berkepit saja di rumah, kerana cintanya dizahirkan hanya selepas dia sah bergelar suami kepada Abil.
Tetapi, sebenarnya kalau you tanya kenapa saya pilih dia? Paling utama, kerana dia dapat terima Keisha dengan baik dan Keisha amat selesa dengan dia. Sehinggakan, kami seperti berkongsi kasih.
Ada sahaja yang hendak dicemburukan Keisha apabila dia melebihkan saya.
Bagaimana cara didikan Abil kepada Keisha?
Saya seorang ibu yang sangat simple dan tidak suka mengongkong. Saya ikutkan apa minat dan kecenderungan dia. Walaupun sebenarnya, saya tidaklah menggalakkan, tetapi nampaknya bakat dan darah seninya tetap lahir bersama Keisha.
Bagi saya, Keisha sudah ditakdirkan lahir sebagai seorang anak seni. Jadi, tidak adil untuk saya menyekat bakat yang telah dianugerahkan kepadanya. Dia suka berlakon. Dia sangat mengidolakan Abil.
Dia mahu menjadi seperti Nabila Huda. Apa yang saya buat, apa yang saya pakai, semua dia mahu tiru. Bukan hanya didikan malah cara saya bercakap dengan Keisha pun umpama seorang kawan. Dari kecil lagi, saya tidak bercakap dalam pelat budak-budak.
Masa Keisha kecil dulu, ketika saya memandu, dia berada di sebelah, saya berbual dengannya seperti seorang kawan. Saya selalu meluahkan segala isi hati waktu itu kepadanya walaupun saya tahu dia tidak faham.
Mungkin kerana itu, hubungan kami akrab dan Keisha matang. Dia belajar banyak benda daripada apa yang dia lihat di sekelilingnya. Alhamdulillah, membesarkan Keisha sangat mudah. Keisha seorang anak yang berdikari dan pandai bawa diri di mana sahaja.
Dulukan, Abil single mom, tiada pembantu. Jadi, kalau ke set penggambaran pun, Keisha diangkut sama. Sebelum mula bekerja, saya sudah ingatkan Keisha siang-siang supaya menjaga tingkah-laku dan jangan ganggu kerja orang.
Dan, memang betul kami tidak akan berhubungan selama saya siapkan kerja. Selepas selesai babak saya, barulah saya jumpa dia dan Abil akan puji, “Keisha baiklah, good girl, nanti boleh ikut mummy lagi okey!”
Mungkinkah dengan didikan sebegini yang menjadikan Keisha lebih matang dan belajar untuk lebih menghargai kehidupan?
Untuk menegur Keisha, cukup dengan kata-kata, tidak perlu dipukul atau dijerit. Contohnya, kalau saya kata kepada Keisha, “Angkat gelas itu sekarang, nanti jatuh.” Tetapi dia tidak buat dan akhirnya gelas itu betul-betul jatuh.
Saya tidak akan marah tetapi cukup dengan jeling. Namun, dengan jelingan itu sahaja sudah membuatkan Keisha menangis! Kenapa menangis? Kemudian, saya akan jelaskan kenapa Keisha kenapa dia perlu ikut apa yang saya tegur tadi.
“Apabila air tumpah, awak sudah susahkan saya. Saya kena pergi dapur, lap air, bersihkan lantai... “Dari situ dia akan belajar untuk faham setiap teguran itu bersebab. Saya juga tidak manjakan Keisha dengan kemewahan dan kemudahan.
Dari kecil, saya tidak manjakan Keisha dengan toys. Dia bukan jenis yang minta, nangis dan dapat! Saya akan beritahu dia, “Toys di rumah sudah banyak, untuk apa beli lagi? Keisha tahukan mummy susah cari duit, Keisha nampak kan macam mana mummy bangun pagi-pagi, berlakon sampai malam...”
Dan, kemudian dia akan cakap, “Okey, mummy. Nanti ada duit kita beli ya.” Komunikasi dan penjelasan itu penting untuk mendidik anak-anak zaman sekarang yang lebih advance daripada mak bapa.
Tidakkah Abil rasa agak tertekan apabila Keisha sentiasa menjadikan mummynya sebagai idola? Pastinya Abil perlu sentiasa menunjukkan teladan yang baik buat Keisha?
Saya tidak tertekan cuma Iselalu kata kepadanya, “Why Keisha, why? Why you want to be like me?” Apa yang saya pakai, apa yang saya buat semua dia nak tiru sampaikan kalau saya melaram lebih sikit, mulalah dia membebel.
Dia anggap saya ni macam persaingan. Sampaikan saya kata, “Keisha, you lebih cantik daripada I, apa yang you nak risau sangat?” Kalau ke pasar pun, dia akan dress up. Kadang-kadang, saya terpaksa pakai jeans dan t-shirt lusuh saja ke mall, supaya dia lagi wow!
Kesian suami saya, terpaksa melayan dua drama queens ini, hahaha...
Bila pula Keisha mahu mendapat adik, punya perancangan terdekat ?
Hari-hari kami mencuba, hahaha. Apa pun, semua ini rezeki daripada-Nya. Kalau ada memang kami mahu. Buat masa ini, biarlah kami honeymoon puas-puas, bekerja, travel semahunya kerana nanti kalau sudah ada anak kecil, pasti komitmen akan tertumpu kepada anak itu.
Apatah lagi, ia adalah anak pertama buat suami, pastinya dia akan fokus 100 peratus kepada baby nanti. Makanya, kuranglah kasih-sayang untuk saya pula nanti, jadi biarkan dulu, hahaha...
Sejak kecil, Abil melalui kehidupan yang berliku, begitu banyak ujian dan dugaan yang menghimpit hidup Abil selama ini, bagaimana Abil melalui semua ini dengan tenang?
Allah beri Abil satu keistimewaan yang sangat besar nilainya iaitu ‘kekuatan’. Betul, Abil seorang yang kuat dan tabah. Dan, kekuatan itu datang dengan sendirinya.
Tidak perlulah berjumpa pakar kaunseling ke atau baca buku motivasi ke, semuanya saya hadapi dengan kawalan hati dan jiwa sendiri.
Kalau nak diikutkan, dengan apa yang telah saya lalui sebelum ini, saya boleh katakan ia sudah berada pada peringkat ‘depression’ untuk sesetengah orang yang tidak kuat. Bagi saya, semua manusia punya masalah dan kita sebenarnya ditugaskan untuk menyelesaikan masalah itu.
Itu pun antara tujuan kita dilahirkan ke dunia ini. Manusia dan masalah adalah perkara lumrah. Masalah ini umpama puzzle. Ia perlu diselesaikan untuk membolehkan kita mendapatkan ‘sesuatu’ selepas itu.
Saya jenis yang okey saja setiap kali berdepan dengan apa sahaja dugaan. Jangan dilayan sangat sehingga memberi tekanan. Relaks. Dan, penyelesaian itu pasti ada.
Abil sudah membawakan pelbagai jenis watak selama menjadi pelakon, adakah apa-apa lagi karakter yang Abil dambakan?
Saya teringin untuk berlakon dalam sebuah filem epik yang betul-betul mantap jalan ceritanya. Tidak kisah apa pun temanya tetapi kisah epik bersama barisan pelakon-pelakon senior yang hebat.
Sudah biasa lakonkan cerita-cerita romantik ni, mahu cuba sesuatu yang lebih mencabar pula. Oh, jangan lupa tonton juga lakonan Abil dalam drama bersiri KL Gangster: Underworld menerusi iflix.
Apa harapan Abil kepada kerajaan baharu dalam memartabatkan industri seni negara?
Bertahun- tahun lamanya industri kita dijanjikan dengan pelbagai janji-janji manis sebelum ini, namun akhirnya kita masih di takuk yang sama. Kadang-kadang, sampai rasa sudah malas nak fikir.
Namun, diharapkan dengan adanya pemerintahan baru yang digembleng oleh tenaga- tenaga muda, mungkin dapat memberikan impak baru kepada industri kita. Saya teringin untuk melihat lebih banyak karya-karya berkualiti yang ‘out of box’ dapat dihasilkan untuk kita setanding dengan produk luar negara.
Kita ini orang seni yang sentiasa punya imaginasi luar biasa, maka sebolehnya kurangkanlah sekatan yang melimitasikan itu dan ini. Beri peluang kepada yang benar-benar berbakat dan hargailah mereka yang benar-benar bernilai dalam industri ini. Saya teringin melihat perubahan itu. Semoga berjaya!
Must-Watch Video