Highlights

Anak Sulung Masih Menyusu Badan, Tapi Dah ‘Sangkut’ Anak Kedua. Alahai Penatnya, Tuhan Saja Yang Tahu.

gempak
Huda Hussain
20/11/2020
15:15 MYT
Sponsor Banner
Anak Sulung Masih Menyusu Badan, Tapi Dah ‘Sangkut’ Anak Kedua. Alahai Penatnya, Tuhan Saja Yang Tahu.
Soal rezeki sememangnya kita sedia maklum Dia yang telah menentukan perjalanannya. Sama ada cepat atau lambat, susah atau senang, ia pasti menjadi milik hamba-Nya kerana itulah ketetapan dan ketentuannya. Bahkan kita sering mendengar ungkapan rezeki tak pernah salah alamat. Ya, tidak dinafikan kebenarannya. Begitu juga dalam soal berusaha mendapat anak. Walau sehebat manapun perancangan kita, Dialah juga sebaik-baik perancang. Dan kita sebagai hamba boleh berikhtiar dengan cara masing-masing selagi ia tidak terpesong daripada landasan agama. Berbicara lanjut mengenai soal ini, persefahaman dan komunikasi antara suami isteri amat penting. Jika boleh dikawal dan elak, lakukanlah dan cari solusi terbaik. Berikut antara sebab mengapa disarankan agar menjarakkan kehamilan dari perspektif kesihatan:
Kredit Foto: Google
  1. Kesihatan Bayi
Bayi yang dilahirkan sebelum tempoh 18 bulan daripada kehamilan sebelumnya mempunyai risiko terhadap beberapa komplikasi seperti masalah pada plasenta. Selain itu, bayi yang bakal lahir juga berhadapan dengan risiko seperti kelahiran pra-matang, kurang berat semasa dilahirkan dan sindrom autisme. Sementara bayi yang dijarakkan terlalu lama (melebihi lima tahun) turut menghadapi risiko hampir sama oleh kerana faktor umur ibu yang semakin meningkat.
  1. Anemia
Tahukah anda ibu hamil akan kehilangan darah dalam 200 hingga 400ml darah setiap kali melahirkan anak (jika beranak normal)? Dan kehilangan darah yang banyak ini perlu diganti semula sekali gus mengambil masa. Sel darah marah misalnya memerlukan masa selama 90 hingga 120 hari untuk terbentuk semula. Lantaran itulah kelahiran atau kehamilan yang rapat akan membuatkan darah merah belum sempat terhasil sekali gus meningkatkan risiko kerana ibu amat memerlukan darah yang cukup semasa hamil.
Kredit Foto: Google
  1. Masalah Tombong Atau Rahim Jatuh
Salah satu faktor terbesarnya adalah kerana kelahiran yang ramai. Perlu diingat, rahim kita adalah otot yang fleksibel. Semakin kerap kita beranak, maka semakin tinggi risiko untuk mendapat tombong. Pasti wanita sedia maklum, semasa bersalin banyak otot yang luka dan trauma. Maka dengan itu setiap luka mengambil masa untuk pulih sepenuhnya. Justeru, kasihanilah badan kita ya.
  1. Depresi
Bukan mudah melalui dugaan sepanjang hamil. Ada yang mudah dan ada yang senang. Ada yang berhadapan dengan alahan teruk, loya dan muntah sepanjang hamil, masalah darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Secara tidak langsung ia juga terkait dengan emosi ibu hamil yang lazimnya rapuh, mudah sensitif, tertekan dan sebagainya. Bayangkan saja anak sulung masih menyusu tetapi diri sedang hamil anak kedua. Mana lagi mahu uruskan si kecil yang belum setahun umurnya, rumahtangga dan dalam masa sama perlu menjaga diri yang mengandung. Sungguh, ia melelahkan minda dan emosi. Justeru sebagai suami, fikirkan keadaan fizikal dan mental isteri. Bincanglah baik-baik untuk jarakkan kelahiran.
Kredit Foto: Google
  1. Anak Terpinggir
Faktor ibu hamil yang kurang rehat, beremosi akibat perubahan hormon atau morning sickness memberi kesan kepada anak sulung. Lazimnya anak yang berumur kurang tiga tahun memerlukan perhatian lebih daripada ibu bapa kerana hakikatnya mereka belum berupaya memahami atau tidak pandai melakukan apa-apa lagi. Dan bagi ibu yang hamil pula, dek kerana perubahan yang berlaku akan membuatkan emosi mereka mudah terganggu. Apabila anak memerlukan anda, mencari perhatian tetapi sebaliknya anda memarahinya. Kasihanilah mereka yang masih kecil itu.
  1. Rumahtangga Terabai
Apabila anak masih kecil, berderet dan anda pula sedang hamil, ketahuilah ia akan mempengaruhi kesihatan fizikal dan mental. Bergelut untuk uruskan rumahtangga, suami, anak-anak kecil hingga kesudahannya diri sendiri tak terjaga. Jadi apa solusinya? Adakah anda masih mementingkan kuantiti berbanding kualiti? Fikir sedalamnya kerana emosi anda sebagai ibu akan memberi kesan kepada seluruh isi rumah.
  1. Faktor Kewangan Dan Ekonomi
Sama ada bersalin di hospital kerajaan ataupun swasta, tetap memerlukan belanja. Begitu juga dengan kelengkapan dan keperluan bayi. Bajunya, susunya, lampin pakai buang dan banyak lagi. Semua itu memerlukan peruntukan wang atau sejumlah duit tertentu. Dan maklum sajalah, harga barangan bayi sekarang tidak murah berbanding dengan anak anda sebelumnya. Ya, faham, setiap anak itu Allah sudah tentukan rezekinya. Tapi sebagai ibu bapa takkanlah pula kita hanya bergantung kepada rezeki anak tanpa ikhtiar dan usaha kan? Jadi, fikir masak-masak.
Kredit Foto: Google
  1. Nikmat Allah, Tapi Usaha Merancang Jarak Kehamilan Itu Harus
Seperti kata Ustazah Maznah Daud dari JAKIM, bilangan anak yang ramai merupakan sebahagian daripada nikmat Allah kepada hambanya. Namun, usaha menjarakkan anak untuk memberi tumpuan kepada penjagaan dan didikannya adalah harus, seperti yang ditetapkan dalam Fatwa Kebangsaan Malaysia. Apapun, ianya tidak boleh diamalkan tanpa pengetahuan suami atau atas alasan risau kecukupan rezeki. Tetapi, janganlah kita sanggup untuk menggugurkan kandungan jika sudah ditakdirkan menerima berita kehamilan, seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan, kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah kesalahan yang besar.” Surah Al-Isra, ayat 31
Buat ibu bapa, bincanglah dengan baik, penuh hemah, toleransi dan persefahaman. Kerana soal merancang keluarga dan menjarakkan kehamilan ini memerlukan pengetahuan dan kesepakatan. Para suami pula, fikirkan sedalamnya mengapa penting untuk anda memahami emosi isteri. Perlu diingat, kita berkahwin dengan isteri bukan sekadar untuk melampiaskan nafsu semata-mata. Tetapi kerana tanggungjawab dan rasa kasih sayang terhadap isteri. Jika sayang pada isteri, dengar luahan hatinya yang kepenatan dan sebagainya. Kerana lazimnya seorang wanita, apabila dia sudah berkahwin sayangnya pada suami melebihi daripada sayangkan diri sendiri. Saling menjaga, Insya-Allah kekal bahagia.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live