Nampak orangnya sangat tenang. Namun, di sebalik ketenangan yang dipamerkan, siapa sangka perjalanan hidup yang dilalui penyanyi berbakat besar ini juga pernah dilanda badai dan gelora.


Dalam program Rumah No. 107 episod 11, Aina dan Janna Nick diundang berkongsi cerita tentang kehidupan sebagai anak seni, pengalaman dilanda bipolar atau kemurungan dan bagaimana mereka kuat menempuhi cercaan netizen.


Antara yang menyentuh hati dikongsi Aina adalah detik kehilangan arwah Ayahnya. Seperti yang selalu dibicarakannya, arwah Ayah ialah insan yang banyak memberi dorongan kepada Aina untuk mengenengahkan bakatnya dalam bidang seni suara.


“Ayah juga yang selalu menghantar Aina ke pertandingan uji bakat waktu Aina masih bersekolah dulu. Dan, ia sangat membekas dalam diri Aina apabila pada satu ujibakat yang diadakan di sebuah mall, Ayah menunggu Aina di dalam kereta.


Tahulah, uji bakat selalunya memakan masa yang lama. Tiba-tiba Ayah terkena serangan jantung. Kami bergegas ke klinik berhampiran tapi tidak ada yang buka dan kami terus ke hospital. Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya waktu itu.






Dalam hati tertanya, mungkin Ayah kepanasan menunggu lama di dalam kereta atau oksigen tak cukup atau sesak nafas. Atau mungkin juga Ayah lapar belum makan. Semua itu membentak benak fikiran saya.


Sehinggalah kami tiba di hospital dan Ayah disahkan meninggal dunia. Ya Allah. Saya menyalahkan diri saya. Lama untuk saya menerima semua ini. Baru sekarang saya boleh menceritakan semua ini tanpa menangis...” luah Aina telus.


Dan, banyak lagi yang dikongsi Aina dalam rancangan Rumah No.107 Jumaat jam 9 malam ini di Astro Warna.


Doa kami, semoga Aina terus diberi ketabahan dan melakar lebih banyak kejayaan dalam hidupnya. Al fatihah buat arwah Ayah yang telah pergi...