Kisah kurusnya menjadi bualan ramai sebelum ini walaupun tidak pernah disiarkan oleh mana-mana media. Bagi mereka yang mengenali dan mengikuti perkembangan beliau, pasti tahu transformasi wartawan senior bernama Jaydee ini.

Kongsi Jaydee, dia pernah memiliki berat badan mencecah 109kg. Walaupun tidak dilahirkan dengan tubuh yang dempak, namun sekitar usia 10 tahun, berat badannya mula bertambah. Jaydee yang merupakan anak bongsu juga mempunyai adik-beradik bertubuh normal walaupun ada seorang kakaknya berbadan agak ‘comel’.


Namun, kata orang selagi ada usaha, pasti ada kejayaannya. Setelah bertahun-tahun hidup bersama lemak bertakung-takung, akhirnya Jaydee membulatkan tekad untuk mengubah gaya hidupnya. Dia mahu memiliki berat badan ideal. Dengarkan perkongsian menarik daripada jejaka manis ini.






Bagaimana gaya hidup dan pemakanan ketika bertubuh gempal dulu?


Oh, jangan ditanya! Dulu konsep makan ikut nafsu dan barangkali langsung tidak memikirkan soal kesihatan diri. Pantang nampak benda sedap, tak mungkin ditolak, bersenam jangan haraplah. Kalau ada subjek Pendidikan Jasmani atau kena masuk rentas desa rasa terseksanya hidup. Sebolehnya mahu dielakkan.




Bagaimana boleh terlintas untuk ubah gaya hidup dan mahu turunkan berat badan?


Saya ni sebenarnya sejenis manusia yang terlebih yakin diri. Walaupun badan sebesar-besar alam, tetap yakin untuk pakai baju sendat ketat melekap! Walaupun lemak terjonjol di sana sini, saya pakai juga. Orang yang melihat seksa, apatah lagi saya yang menanggung azab. Hahaha...

Banyak faktor yang mendorong saya untuk mula berubah, antaranya memikirkan bab kesihatan sendiri. Kalau sakit, siapa nak jaga? Mampukah menanggung sakit? Dan, keduanya adalah faktor jeng jeng jeng...soal perasaan. Ya, saya pernah dikecewakan. Saya anggap hal perasaan itu juga menjadi faktor memotivasikan saya.

Saya nak buktikan secara positif saya boleh jadi versi yang lebih baik walaupun kita tak pernah sempurna. Saya serap rasa sakit itu dalam bentuk semangat. Yes, I can do it! Tapi, akhirnya saya sedar, saya buat semua ini bukan untuk sesiapa pun tapi atas diri sendiri. Sayangi diri sendiri kunci utama.


Perasaan dan semangat nak kurus tu didorong tiba-tiba. Sampai satu tahap, saya juga teringin nak rasa pakai baju yang selesa, cantik dan mudah disarung. Syukurlah, dari saiz XL, kini sudah boleh menyarungkan saiz M (tengok jugak potongan).






Apa yang mula-mula sekali Jaydee lakukan untuk dorongan itu?

Memulakan itu sebenarnya bukan mudah. Maklumlah nak tinggalkan tabiat lama bukan semudah membariskan azam dan niat. Ingat lagi waktu awal masuk gim dulu, masa itu 'tetek' labuh, bayangkan kalau bergerak guna treadmill atau cycling di gim, habis gempa bumi, malu jangan cakaplah.

Dari gimnasium, saya pelan perlahan-lahan ikut acara fizikal lain. Paling hebat pun berlari 10 atau 12 km, belum berani nak cuba full marathon. Bagi saya, berlari ni jangan fikir pace ke apa. Kalau masuk pertandingan pun bukan sebab nak menang, just nak enjoy the run dan bakar lemak.

Satu nikmat apabila berlari, badan rasa ringan. Saya pula mempunyai berat badan saya seperti yoyo. Kemudian, selalu pula buat review makanan. Memang dugaan sungguhlah! Apabila berlari memang berat mata memandang, berat lagi kaki memikul. Hahaha...



Boleh kongsikan rutin pemakanan dan senaman yang Jaydee lakukan?

Dalam tempoh beberapa tahun lalu, saya selalu anggap nasi seperti racun sampai sanggup saya tak makan. Saya juga banyak cuba pelbagai jenis diet termasuk Atkins Diet and Intermittent Fasting Diet (IF). Dan, sekarang saya meneruskan IF sejak-sejak kena work from home.

Saya buat IF guna teknik 16/8. Berpuasa selama 16 jam tetapi tetap minum air putih dan lapan jam untuk makan, tapi saya lebihkan sikit effort. Saya akan mula maka pada jam 9.30 pagi. Saya lebihkan tempoh puasa dan pendekkan waktu makan.

Untuk brunch, selalunya makanan saya yang rebus-resbut atau stim dada ayam masak sendiri guna microwave atau makan tosei. Kadang-kadang saya manfaatkan masa makan IF ni dengan rebiu makanan sesuai seperti kuetiau goreng, roti dan sebagainya. Cuma saya memang tolak makanan manis.

Saya bersykur dapat tajaan produk kesihatan Cococurv juga tapi itu bukanlah pergantungan saya seratus peratus. Saya ajar diri untuk anggap produk itu sebagai energy booster sahaja. Selebihnya, senaman dan pemakanan kita. Setiap orang ada cara mereka sendiri. Ada yang mudah turun dengan guna produk, ada yang struggle usaha. Ini semua subjektif.

Saya akan cuba bakar kalori sekerap mungkin, tak kira pagi dan petang. Silih ganti antara berlari pada pagi atau petang, buat sejauh 5km atau lebih ataupun pagi saya workout cardio atau HIIT menerusi Youtube. Saya suka tengok Zeus Fitness dan lain-lainnya. Banyak pilihan jenis senaman di Youtube, pilih saja mana yang sesuai dengan kemampuan tapi jangan sampai memaksa melebihi kemampuan. Badan kena selalu berpeluh.

Kalau cakap bab lari, kalau tak boleh berari laju, cukup dengan fast walk. Saya pernah menonton di Youtube, ada pakar kata, berlari juga bagus untuk bakar lemak. Ingat, apa pun yang dilakukan, ukur baju di badan sendiri.







Berapa lama masa diambil untuk dapat berat badan ideal?

Jujurnya, ia perjuangan yang tidak mudah. Saya pula jenis yang susah turun berat badan, jadi kena faham badan kita. Saya ambil masa bertahun juga untuk turun kerana saya tak guna jalan pintas. Yang berduit dan rasa tiada jalan lain untuk menguruskan badan demi kesihatan diri, bolehlah melakukan pembedahan.

Saya penah turun sampai 69 kg sampai ada orang cakap macam orang sakit. Biasalah tu. Apa pun, kita sendiri lebih tahu badan kita. Alhamdulillah, dan kini saya gembira dengan berat badan sekitar 78 ke 80 kg. Kalau tak jaga, pernah naik sampai 88kg. Kalau jaga balik, turunlah semula.

Ada yang amalkan diet kira kalori tu, kan. Macam saya, jenis malas nak kira kalori makanan walaupun ada Apps. Konsep saya mudah saja, enjoy while it lasts, tak nak stres. Cuba enjoy makan sikit dan pada masa sama, tanam dalam diri utk jadikan senaman sebagai gaya hidup.

Pada tahap sekarang, saya sudah tidak fikir sangat untuk kurus, lebih kepada mahu sihat dan gembira dengan apa yang saya lakukan. Cuma, setiap hari bangun pagi saya akan timbang berat badan. Kalau tiba-tiba naik angkat tu, maka kenalah ada extra effort.






Apakah perbezaan yang dirasakan dulu dan sekarang?

Daripada segi fizikal, memang jelas ketara perubahan itu termasuk pada bahagian wajah. Sampai ada yang ingat saya buat operation hahaha. Geram pula dengarnya, penat aku berusaha tapi senang je judge kata buat itu buat ini. Namun, itu semua itu normal. Bezanya sekarang ni, saya lebih yakin diri, lebih sayang dan hargai diri.

Saya pelihara diri saya sebaiknya kerana kita kena tahu, setiap apa yang ada di tubuh kita ini anugerah Allah, jadi haruslah dijaga. Saya bukan sekafar jaga berat badan, tapi manjakan diri, jaga gigi, jaga muka. Dulu tak dinafikan, mungkin ada rasa rendah diri dan terlebih yakin walaupun tak sebenarnya.

Dan sekarang, setiap kali terserempak orang berisi berlari, saya akan termenung dan teringat memori lama. Dalam hati saya harap mereka juga kebal semangat untuk capai cita-cita dan usaha turunkan berat badan. Bukan mudah, namun saat dapat apa diingini dan berjaya itu, ia akan jadi refleksi bahawa tak ada yg mustahil dalam dunia ini.






Nasihat Jaydee kepada mereka yang azam nak kurus tapi selalu ke laut?

Ukur baju di badan sendiri, percaya dengan kemampuan diri tak sama dengan orang lain. Cuba jangan ‘hangat hangat tahi ayam’ dalam hidup. Memang ada masanya kita akan rasa down, give up. Itu normal tapi jangan berhenti. Bab berat badan ini pun sebenarnya melibatkan psikologi. Adakala, angka berat tak turun, ia seperti psiko kita. Hakikatnya kita tak sedar inci badan mungkin dah berkurangan.

Jangan samakan diri kita dengan orang lain. Ada orang senang turun, ada sebaliknya. Saya yakin anda yang nak kurus ni, mungkin mentally and physically dah penat dikecewaka dalam soal peribadi. Jangan malu, saya juga pernah laluinya. Saya selalu anggap dalam hidup ini Allah beri rezeki lain-lain.

Jangan malu untuk memulakannya atas apa jua alasan. Kesusahan itu akan beri kemanisan akhirnya. Saya tak kuat mana pun sebenarnya, tapi kena ingat pilihan yang kita ada ialah utk jadi kuat. Dalam hal ini, pastikan anda tidak terlalu push sampai memberi efek pada kesihatan.

Belajar untuk dekatkan diri dengan orang yang positif skalipun kita sentiasa dikelilingi orang negatif. Lumrah hidup. Jangan dengki, berlapang dada dan ada rezeki lebih banyakkan bersedekah. Mana tahu dengan kebaikan ini Tuhan akan permudahkan usaha dan urusan kita. Nampak macam tak logik tapi inilah kebenaran tersirat.