Anak kepada seniman Allahyarham Hussein Abu Hassan dan seniwati Allahyarhamah Mahyon Ismail ini cukup sinonim dengan filem Gila Gila Remaja yang cukup popular lewat 80-a dahulu. Watak Azroy seakan ‘melekat’ dan masih segar dalam ingatan penonton filem. Betapa impak file mini bukan kepalang, hinggakan ia melonjakkan nama Faizal Hussein lebih dikenali. Berlakon secara tidak sengaja, awalnya dia enggan berlakon walaupun ditawarkan memegang watak sebagai hero. Ini kisahnya yang sempat dicungkil Radin dalam Media Hiburan Throwback episod ke sembilan.

Kredit Foto: Astro Prima

Cover Media Hiburan April 1986,
Pernah beberapa kali menjadi wajah sampul Media Hiburan, penampilannya bersama Melissa Saila mencuri tumpuan. “Wooo, seksinya gambar abang, nampak ketiak sikit. Masa ni selepas filem Bujang Selamat sebab filem tu dibuat selepas habis SPM. Kalau 1986 masa tu dah start shooting filem Gila Gila Remaja. Melissa Saila memang popular time tu,” terangnya sambil mengimbas kenangan lalu.

‘Faizal Tidak Mahu Leka’
Tatkala Radin bertanya sama ada Faizal masih mengingati antara intipati artikel ini, ujarnya “Leka seperti macam jadi pelakon yang tak berdisiplin contohnya. Kena sentiasa peka dengan kehidupan, jangan alpa. Itulah antara tips-tips yang selalu arwah ayah abang share,” ulasnya lagi sambil membelek artikel yang cantik dibingkai.

Menceritakan pengalaman sesi penggambaran filem Gila Gila Remaja, ujarnya “ Masa tu pelakon-pelakon yang shooting memang tak tahu next job diaorang ni apa. Zaman tu tak timbul bila dapat tawaran orang akan tanya ‘Berapa hari working days kita?’ Tapi selalunya zaman itu kalau shooting mesti ambil masa lebih kurang 45 hari untuk satu-satu filem. Tapi bukannya 45 hari straight, ia lebih kurang dalam enam bulan” hurainya terperinci.
Line yang abang ingat lagi dalam Gila Gila Remaja?” soal Radin. ”Oh line abang mestilah ‘Nak kahwin dengan saya? Dan jelirkan lidah tu add lips aje. Entah lah daripada mana abang dapat idea. Sebab kami berlima waktu tu semua umur 18 tahun. Dan umur macam tu memang nakallah semuanya. Dan zaman tu juga kalau jadi hero semuanya muda-muda” Cerita Faizal lagi.

Kredit Foto: Astro Prima

Mengimbau sejarah bagaimana dirinya diangkat bergelar hero, kongsi Faizal “Waktu tu filem Bujang Selamat. Pengarahnya Z Lokman, memang kawan baik arwah ayah abang. Hari producer dan Z Lokman datang ke rumah dia tengok abang tak pakai baju, berlenggeng aje pakai track suit terbaring tengok tv. Dia tanya pada arwah ayah, tu anak ke? Dia boleh fight tak? Arwah ayah cakap boleh sebab memang sebelum tu arwah ayah hantar abang belajar martial art. Jadi mulanya dia tanya abang nak jadi hero filem? Sambil terbaring tu abang jawab tak nak. Ni cerita bagus, ada fighting. Sekali lagi abang jawab tak nak. Lepas tu dia tanya kau nak RM2,000.00? Terus abang cakap nak. Bagi seorang budak yang sedang tunggu keputusan SPM waktu tu dapat RM2,000.00 memang rasa macam dapat dua juta” sambungnya lagi. Dan apabila ditanya Radin berapa bayaran yang diterimanya sewaktu bergelar hero filem Gila Gila Remaja, “Masa tu dah naik harga sikitlah. Dah filem kedua kan. Masa tu gaji dah RM5,000” kongsi Faizal lagi.

Angel 2: Fighting Madam (1988)
Tatkala menonton aksi Faizal yang terjun dari helikopter tanpa memakai apa-apa perlindungan, rupanya ada kisah disebaliknya. “Keinginan nak jadi action hero masa tu memang tinggi. Kiranya high adrenaline ni memang nak sangat cuba. Masa abang buat shot tu, ada lebih kurang 20 ke 30 tilam dibawah. Dan ketinggian helikopter tu sama dengan ketinggian tiang lampu elektrik. Masa helikopter terbang rendah, tilam tu berterbangan. Dan kru semua memang standby keliling tilam tu untuk pegang tilam tu supaya jangan terbang. Lebih kurang empat ke lima kali abang lompat dari helikopter ni. Dan daripada beberapa take tu nyaris seorang kru terbunuh sebab masa abang tengah lompat di udara ada satu tilam terkelepet dan jatuh di tengah-tengah. Tapi ketangkasan tu sempat bertindak sebab mungkin ada belajar martial arts kan. Jadi abang land dalam keadaan kaki terkangkang untuk elak daripada terjatuh atas seorang kru tu,” hurainya lanjut.

Kredit Foto: Astro Prima

‘Inilah Duniaku’
Petikan artikel yang memaparkan Faizal Hussein bersama keluarganya cukup membuatkan empunya diri berdebar melihatnya. “Allah, seksinya,” tuturnya singkat. Hanya mengenakan seluar mirip boxer dengan corak bunga, singlet aksi Faizal dirakam semasa dia meluangkan waktu bersama keluarga dirumah. Menjadi salah seorang anak kepada pengarah, penerbit dan pelakon filem terkenal Allahyarham Hussein Abu Hasan, Faizal banyak belajar daripada arwah bapanya. “Arwah tak adalah mengajar macam mana nak berlakon. Tapi dia selalu bercerita tentang basic, tentang feel, disiplin, macam mana nak stay lama dalam industri, sentiasa hormat orang, sentiasa senang bekerja dengan semua orang yang bekerja dalam production tu. Daripada yang membancuh air hinggalah penerbit, jadi kita kena baik dengan semua orang." hurainya lagi.

Pernah Berjumpa Allahyarham Tan Sri P Ramlee
Menyifatkan dirinya cukup bertuah, Faizal turut berkongsi pengalaman pernah berjumpa dengan lagenda filem Melayu terdahulu, Allahyarham Tan Sri P Ramlee. “Sebenarnya dalam cerita Laksamana Do Re Mi, arwah bapa abang jadi Menteri pasola. Dia ada scene berlawan dengan arwah P Ramlee dalam gua. Waktu shooting tu, abang ada di belakang gua. Abang tengok macam mana diaorang buat gua ni? Rupanya guna card board kemudian dilekukkan dan dicat. Dan dibelakang tu semua rangka-rangka kayu. Jadi abang goyangkan ‘gua’ tu. Waktu tu umur bawah lima tahun. Diaorang tengah berlawan waktu tu jadi tiba-tiba dengar ‘Cut! Kenapa gua bergoyang!’” ceritanya sambil tertawa mengimbas momen yang pastinya takkan dilupakannya.

Kredit Foto: Astro Prima

‘Tertinggal Kad Pengenalan Faizal Hussein Bernikah Guna Kad Seniman’
Sambil mengimbas kenangan yang membawa kepada pertemuan dan tautan cintanya bersama isteri, Suhaila mereka dipertemukan semasa berlakon dalam sebuah teater dibawah arahan Fauziah Nawi. “Yang membuatkan abang berminat dengan dia masa di set, orang lain semua layan abang. Yang perempuan lain semuanya bercakap, tegur abang. Tapi dia seorang yang tak bercakap dengan abang. Dan abang memang cari seseorang yang kenal abang macam dalam IC bukannya dalam credit title” ulasnya panjang lebar.

Lantas Radin bertanya sama ada Faizal masih ingat momen mengenai kad pengenalannya sambil mengunjukkan petikan artikel ‘Tertinggal Kad Pengenalan Faizal Hussein Bernikah Guna Kad Seniman’. Dan ia diakui Faizal sambil tertawa mengenangkan momen itu. “Masa kahwin ni memang abang yang uruskan semua. Sebelum rombongan bertolak ke Johor, ada saudara-mara yang sewa kereta. Dan bila nak sewa kereta, abang yang kena uruskan. Jadi IC tu tertinggal di tempat sewa kereta. Bila malam nak nikah tu tok kadi minta IC, memang IC tak ada. Menggelabah cari,” ceritanya lagi sambil tertawa.

Kredit Foto: Astro Prima

‘Pemergian Hussein Abu Hassan, Faizal Hussein Terkilan’
Walau perit dan pahit, digagahkan jua mengimbau kembali kenangan yang memilukan hati. Kehilangan seorang ayah terlebih dahulu kemudian menangisi pemergian ibu, Faizal akur dengan ketentuan Ilahi. “Bila arwah bapa tinggalkan abang ni, abang rasa macam tak boleh move on. Abang jumpa seorang hamba Allah ni, abang tak tahu sama ada dia manusia ataupun dia apa. Tapia bang jumpa dia di kubur. Dia memang berupa manusia. Tapi dia bercerita dekat abang tentang diri dia, macam dia tahu apa yang abang rasa dalam hati abang pada keesokan hari bila abang di kubur. Dia nasihatkan abang macam-macam. Tapi yang membuatkan abang musykil tu macam mana dia boleh tahu perasaan abang hari itu,” kongsi Faizal dalam nada yang cukup tenang.

Jangan ketinggalan tonton lebih banyak momen throwback barisan selebriti tanah air dalam Media Hiburan Throwback. Bertemu penonton setiap Rabu jam 9 malam di saluran Astro Ria, ramai selebriti yang cukup sporting berkongsi kenangan mereka juga penglibatan selama bergelar anak seni. Dan semua itu diabadikan dalam majalah Media Hiburan yang kekal utuh hingga hari ini.