Ada kala betul juga kata orang, apa yang berlaku kepada kita hari ini adalah cerminan apa yang kita telah lakukan pada masa lampau. Ada sesetengah kes berlaku (bukan semua), anak-anak menjadi biadap kerana mak ayahnya dulu juga bersikap sama kepada orang tuanya.


Teringat penulis pada satu cerita pengurus di pusat jagaan orang tua. Ada seorang ibu tua yakni penghuni di situ mempunyai lima orang anak, semuanya berkehidupan sempurna. Namun, entah di mana silapnya ibu tua ini dihantar ke situ untuk dibela.


Adalah sebulan sekali mereka datang jenguk, namun tidak pula mahu dibawa pulang. Sekadar datang tunjuk muka, bertanya khabar dan kemudian balik. Kalau tiba Hari Raya pun, bertelagah anak-beranak, siapa yang mahu mengambil ibu ini beraya di rumah mereka?


Puas si ibu ini memendam rasa, menangis setiap malam mengenang nasib. Apabila kita marahkan sikap anak-anaknya, ibu ini menggeleng kepala. Katanya janganlah disalahkan anak-anaknya kerana mereka tidak salah.


Apa yang berlaku kepadanya sekarang ini adalah balasan kepada perbuatannya satu masa dulu. Saat ditanya apakah maksud di sebalik pengakuannya itu? Ibu tua ini menangis semahunya.


“Dulu, mak cik aniaya mak mertua mak cik sendiri. Apabila suami mak cik mahu menjaga ibunya di rumah kami, mak cik halang. Mak cik tak mahu cuci beraknya, kena bagi makan, bawanya ke hospital. Mak cik tak mahu susahkan diri,” Ceritanya dengan iringan air mata deras.


“Kadang-kadang mak cik sengaja cari alasan kalau suami ajak berjumpa ibunya. Mak cik sanggup pura-pura sakit atau cari helah mahu pulang ke kampung mak cik agar suami mak cik tidak perlu menemui ibunya sendiri. Mak cik kesal...”


Apabila pengurus pusat jagaan itu mencelah, dengan mengatakan anak-anaknya tiada hak untuk melakukan kezaliman kepada mak cik atas dosa lama mak cik, ibu tua ini sekali lagi membela anak-anaknya.


“Mereka berhak buat begini kepada mak cik sebab mak cik yang mengajar mereka jadi begini. Mak cik ajar mereka membenci nenek mereka sendiri. Mak cik larang mereka jenguk nenek mereka atau bagi apa-apa hadiah kepada ibu mertua mak cik. Busuknya hati mak cik.”


Allahu...


Kredit Foto: Google



Anak-Anak Hajah Bainun Berebut Nak Jaga Ibu Uzur


Penulis tinggalkan cerita ibu tua itu di sini. Biarlah ia menjadi iktibar untuk kita. Yang ingin penulis kongsikan lagi adalah satu cerita yang sangat positif yang mungkin boleh membuka minda dan hati kita tentang kesepakatan adik-beradik dalam menjaga orang tua yang uzur.


Kisahnya tentang keluarga Hajah Bainun yang sudah berusia 80 an memiliki tujuh orang cahayamata. Ketujuh-tujuh anaknya sudah berkahwin. Ada yang bekerja sendiri, ada juga kakitangan kerajaan dan ada juga yang hanya suri rumah.


Tidaklah semuanya kaya atau berduit tapi hebatnya mereka ini adalah kesatuan hati dalam menjaga kebajikan Hajah Bainun yang sudah terlantar sakit tua. Ibunya ini sudah lima tahun hilang upaya untuk menguruskan diri.


Sentiasa pakai lampin pakai buang, harus dimandikan, disuap makan minum, ubat perlu diberi dan sebulan sekali berulang ke hospital untuk check up dan ambil ubat. Pendek kata, seperti menjaga bayi.


Walaupun begitu, tiada seorang pun anaknya yang menolak untuk menjaga ibu uzur ini walau ada yang punya komitmen kerja atau kurang berkemampuan. Selagi boleh mereka mahu merebut peluang untuk menjaga Hajah Bainun.


Maka, mereka membuat sistem giliran sebulan sekali untuk ibu ini dijaga oleh anak masing-masing. Jika yang bekerja dan tidak punya pembantu rumah, anak yang mempunyai orang gaji akan meminjamkan orang gaji ini untuk dibawa sama.


Jika ada adik-beradik yang kurang mampu, kakak abang yang mampu akan menghulurkan duit untuk menampung kos penjagaan ibu. Allah, indah sekali cara mereka menguruskan ibu uzur ini.




Kredit Foto: Google



Cucu-Cucu Juga Dilatih Untuk Berbakti Kepada Nenek


Hajah Bainun juga mempunyai 12 orang cucu dan kesemua mereka dilatih oleh ibu ayah mereka untuk menghormati dan mencurah bakti semampunya kepada nenek yang sudah tak berdaya itu.


Anak-anak akan digesa untuk sama-sama mandikan nenek mereka, suapkan makan dan jika ada masa mereka juga akan bantu membawa nenek mereka ke hospital atau membeli keperluan nenek.


Terharu sungguh melihat bagaimana cucu-cucu juga turun padang mengembeleng tenaga menguruskan satu-satunya tunggak utama keluarga yang masih hidup.


Tidak hairanlah, saat Hajah Bainun menghembuskan nafas terakhirnya, tidak perlu orang luar datang membantu kerana anak, menantu dan cucu-cucu sahaja sudah cukup menyempurnakan jenazahnya hingga ke liang lahad.


Subhanallah, inilah nikmat yang ingin sekali dilihat dan dirasai oleh seroang tua apabila sudah sampai sisa hujung usianya. Ditatang dan disayangi oleh anak, menantu dan cucu pada ketika diri sudah tidak berdaya.


Semoga cerita ini menjadi teladan untuk kita contohi dalam menjaga kebajikan orang tua. Janganlah bergaduh atau bertolak-tolak antara adik-beradik dalam menjaga kebajikan ibu ayah yang sudah uzur.


Hancur luluh hati mereka.


Fikirkan, kalau kita pula nanti yang tua dan uzur, adakah suka kita diperlakukan oleh anak-anak dengan zalim? Maka, bermulalah dengan kebaikan, Insya Allah, kebaikan juga menanti kita kelak.