Simpang Renggam yang terletak di daerah Kluang, Johor adalah antara lokasi yang diisytiharkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Ia susulan peningkatan kes positif Covid-19 (61 kes sehingga 26 Mac lalu) di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid. PKPD tersebut mula berkuatkuasa pada 27 Mac lalu hingga 9 April. Ia melibatkan seramai 3,750 penduduk yang terdiri daripada 650 keluarga. Tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut.

Kredit Foto: Facebook Mohd Imran Ramdan


Dan keluarga Mohd Imran Ramdan, seorang guru antara yang diuji dengan wabak ini. Tular di media sosial apabila muat naiknya mengenai berita duka ini yang memuatkan foto lambaian isteri dan anaknya mengundang sebak ramai. Menerusi perkongsian di Facebook Mohd Imran Ramdan, bapanya terlebih dahulu menjalani ujian saringan pada 29 Mac lalu. Dan tanggal 5 April, jam 5.45 petang bapanya menerima panggilan dari pihak KKM yang memaklumkan bahawa dirinya positif Covid-19. Panggilan tersebut disambut dengan penuh reda daripada lubuk sanubari seorang bapa. Sambil tersenyum dan menadah tangan seraya mengucapkan Alhamdulillah, bapanya reda dengan ketentuan Allah.


Sekitar jam 10.30 malam Ahad lalu, ambulans tiba diperkarangan rumah untuk menjemput bapanya. Pastinya pemandangan ini mengundang sebak kepada sesiapa jua yang melihat. Lebih-lebih lagi melihat susuk lelaki berusia menjinjit beg galas, membawa bersama kelengkapan diperlukan untuk menjalani kuarantin di hospital. Sungguh, sayu hati melihatnya. Begitulah juga yang rasai Mohd Imran. Menatap penuh pengharapan sambil menitp doa agar Allah Azza Wajalla melindungi dan memberi kesembuhan kepada lelaki penting dalam hidupnya.
Kredit Foto: Facebook Mohd Imran Ramdan


Mungkin gusar memikirkan keadaan semakin meruncing apatah lagi terikat dengan PKPD di kawasan perumahannya, Mohd Imran turut membawa seluruh keluarganya menjalani ujian saringan pada 31 Mac lalu. Sambil terus-terusan berdoa agar dia dan keluarga dilindungi daripada virus ini. Menurutnya lagi, setiap malam ada sahaja ahli kariah yang dijemput ambulan susulan positif Covid-19. Dan kalian boleh bayangkanlah, bagaimana perasaan penduduk disini apabila berada dalam kawasan zon merah. Setiap hari ada sahaja kes positif di kawasan kediaman mereka.


Kredit Foto: Facebook Mohd Imran Ramdan

Umpamanya, kebergantungan dan sifat tawakal kepada Allah itu berada di tingkat paling tinggi. Hinggakan sesiapa sahaja berisiko positif dengan wabak ini. Allahu, sungguh tidak mudah bagi mereka menempuhnya. Kekuatan emosi dan mental perlu seiring selain dalam masa sama terus menitik beratkan penjagaan dan kebersihan diri. Kawalan yang ketat tidak membenarkan penduduk disini keluar masuk, begitu juga tiada sesiapa boleh memasuki kedua-dua kawasan ini.


Hari bertukar ganti dilalui dengan penuh debar menanti keputusan ujian saringan. Mengharap agar semua ahli keluarganya selamat dan dijauhkan daripada wabak ini. Bagaikan mengharapkan panas hingga ke petang tetapi hujan di tengah hari. Mungkin itulah perumpamaan sesuai menggambarkan apa yang dirasainya ketika itu. Tanggal 6 April lalu, dia menerima panggilan daripada doktor memaklumkan salah seorang anaknya, Muhammad Rayyan Danish (enam tahun) disahkan positif Covid-19.
Kredit Foto: Facebook Mohd Imran Ramdan


Sekali lagi guru ini diuji. Jika hari sebelumnya dia menjadi saksi melihat bapanya dijemput ambulans, malam itu dia pula bakal ‘menghantar’ anaknya ke hospital. Hinggakan dia berikhtiar agar doktor memberi pertimbangan untuk meletakkan anaknya berhampiran dengan bapanya sementelahan anaknya masih kecil yang perlu diberi pantau dan dibantu. Hantinya cuba mengumpul kekuatan namun tidak lama selepas itu, bertalu-talu panggilan diterima memaklumkan isterinya pula disahkan positif.

Luluh hati seorang bapa untuk berdepan dengan ujian getir ini. Benteng kekuatan yang cuba dibina roboh buat sekian kalinya. Apatah lagi memikirkan Yusuf Arjuna, anak bongsu yang baru berusia sembilan bulan masih menyusu sepenuhnya. Allahu Rabbi, hikmah apakah disebalik semua ini? Pasti dirinya dirundung 1001 pertanyaan yang tidak pasti apakah jawapan harus diberi. Dalam kekeliruan dan huru-hara melalui semua ini, dia perlu reda dengan qada’ dan qadar yang Allah sudah susun untuknya. Dan malam itu sekali lagi dia melihat pemandangan dan momen yang pasti takkan luput dari ingatannya. Melihat lambaian isteri tercinta dan anak yang disayangi sambil mengharap itu bukanlah lambaian terakhir daripada mereka.


Kredit Foto: Facebook Mohd Imran Ramdan


Marilah kita menadah tangan, menitipkan doa dan ingatan buat Mohd Imran Ramdan yang kini diuji Ilahi. Kirimkanlah semangat dan bekal kekuatan agar lelaki yang bergelar bapa dan guru ini terus cekal dan tabah melalui hari-hari mendatang. Juga panjatkan doa agar semua yang kini dirawat diseluruh Malaysia dan dunia secara amnya kembali pulih dan sihat seperti sedia kala. Kerana sesungguhnya hanya Dia Maha Mengetahui, Maha Mendengar dan memberi penawar kepada setiap penyakit yang dialami. Ya Allah, lindungi kami.