Ilmu rumahtangga tidak hanya tercatat dalam buku yang diterima ketika kalian menjalani kursus rumahtangga sebelum berkahwin dahulu. Apa yang tertulis itu tiada salahnya. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan ia hanyalah teori juga asas yang dijadikan sebagai panduan dan rujukan dalam usaha membina rumahtangga bagi pasangan yang baru diijab kabul. Kerana hakikatnya ia perlu dilalui menerusi pengalaman dan memerlukan satu tempoh yang panjang bagi kalian merasai manisnya hidup berumahtangga. Dikelilingi ahli keluarga baru, saudara-mara yang semakin ramai memang terasa kemeriahannya. Dan itu hanya akan dapat dirasai juga dinikmati bagi mereka yang benar-benar menghargai erti kekeluargaan sebenar.
Kredit Foto: Google
Lantaran sudah bergelar menantu dan punya ipar-duai, maka menjadi kemestian untuk kalian menyesuaikan diri dengan persekitaran serba baru. Jangan sekali-kali membandingkan cara keluarga anda dengan keluarga pasangan dalam apa jua situasi sekalipun. Kerana setiap daripada kita punya pendekatan dan stail yang tersendiri. Bukankah kelainan itu mewujudkan keunikan dan membuatkan kita saling meraikan perbezaan yang akhirnya membibitkan persefahaman? Itulah antara hakikat perkahwinan. Supaya kita saling kenal-mengenal antara satu sama lain. Bukan hanya dengan pasangan, tetapi seluruh ahli keluarganya. Mentua, ipar duai, anak buah juga saudara-mara pasangan. Bagaimana caranya mahu mengenali hati budi mereka sekali gus membuatkan hati mereka terpaut mengalu-alukan kedatangan anda dalam keluarga mereka? Sudah pasti ada caranya. Dan berikut disenaraikan antara sebab mengapa anda yang baru berkahwin perlu ringan mulut dan tangan ketika bersama mereka:
- Bukan Mahukan Pujian
Sebagai menantu yang baik, bantulah kerja-kerja mertua kita terutamanya ketika berada di rumah mereka. Ingat, setiap kerja yang dilakukan jangan hanya nawaitunya kerana ingin mendapatkan pujian, bersifat menunjuk mahupun meraih penghargaan daripada mereka. Sebaliknya lakukan dengan hati yang ikhlas. Kerana setelah berkahwin, inilah antara kualiti yang dicari dan dilihat mertua, lebih-lebih lagi yang perempuan.
Kredit Foto: Google
- Jangan Nanti Ada Yang ‘Membawang’ Muka Aje Cantik, Tapi Satu Kerja Pun Tak Reti!
Itupun kalau cantik! Kalau ‘beshe-beshe’ aje, faham-fahamlah ya. Huhuhu… Mana nak letak muka hoi kalau dilabel sedemikian rupa? Sudahlah anaknya bayar duit hantaran mahal melangit untuk memperisterikan anda. Bila dah kahwin, satu kerja rumah pun tak reti nak dibuat. Jangan nanti kakak ipar, adik ipar dan mentua pakat-pakat membawang tentang perihal anda pula. Kalau tak pandai sekalipun, belajarlah rajinkan diri dan ambil peduli tentang apa yang berlaku di rumah mentua. Buat kerja-kerja mudah seperti membasuh pinggan mangkuk, menyapu, melipat baju atau kemaskan dapur. Kalau masih belum tangkas lakukan kerja-kerja rumah, tolong mentua masak didapur dah dikira bagus. Dalam masa sama, anda juga dapat ilmu dan tips memasak daripadanya. Barulah mak mentua sayang!
- Tak Pandai Ringan Tulang Tapi Rajin Hulur Duit, Belikan Barang Pun Okey Juga
Bimbang cara kerja kalian tidak menepati piawaian mentua? Tak mengapa, relaks dan berlapang dada. Hormati cara kerja mentua yang mempunyai ‘template’ nya tersendiri. Jangan sekali-kali campur aduk atau pandai-pandai tukar ikut selera anda. Sebaliknya rajinkan diri dengan menghulurkan duit kepada mereka. Sebagaimana anda biasa berikan duit kepada mak ayah di kampung, begitulah jua pendekatan yang sama perlu anda lakukan untuk mentua. Katakan anda mampu berikan RM100 setiap bulan secara konsisten dan jika anda ikhlas percayalah Allah akan permudahkan keberlangsungan hidup anda. Takkan rugi berbuat baik kepada orang tua, ingat tu!
Kredit Foto: Google
- Barulah Berseri, Taklah ‘Krik…Krik’
Anda memang seorang yang pendiam? Tak salah sebenarnya tetapi pokok pangkalnya gunakan kebijaksanaan untuk mengambil hati mentua dan ipar-duai. Bila waktu yang sesuai untuk ‘masuk’ apabila sesuatu topik hangat dibualkan sesama mereka, kenal pasti rentak dan gaya mereka. Apakah keluarga mentua jenis yang bergurau senda, santai, senang dibawa berbincang, ‘happening’ dan sebagainya. Ringankan mulut untuk bertanya itu ini dan biarlah kena pada masa dan tempatnya. Kalau anda duduk diam saja, hanya sesekali melemparkan senyum tanpa menuturkan buah fikiran; pasti terasa aneh atau ‘krik…krik’ kan?
- Biar Peramah Bukan Pandai-Pandai Tokok Tambah
Ya, faham sebagai ahli baru dalam keluarga pasangan pasti tumpuan akan terarah kepada anda. Mungkin kakak, abang atau adik ipar mahu lihat sejauh mana anda bijak menyesuaikan diri ketika meluangkan masa bersama mereka. Misalnya apabila berada dirumah mentua, janganlah kurungkan diri di dalam bilik sepanjang waktu. Keluarlah dan beramah mesra dengan mereka. Ambil tahu dan peka dengan perkembangan masing-masing. Ketahui juga apa juadah kegemaran, aktiviti wajib keluarga mentua apabila semua berkumpul dan sebagainya. Ringankan mulut untuk bertanya tetapi jangan pula memandai-memandai atau menjadi tukang tambah cerita. Belum ditanya tapi dah berjeda bercerita, itu ‘over’ namanya! Relaks saja, okey.
Kredit Foto: Google
- Senang Nak Minta Tolong
Bayangkan kalau berlaku kecemasan antara anda dan pasangan. Suami atau isteri ditimpa kemalangan, rumah dipecah masuk pencuri, kereta rosak dan lain-lain. Takkanlah pula anda mahu berdiam diri sahaja tanpa memberitahu kepada keluarga mentua kan? Jadi, kalau sejak awal lagi anda sudah membina hubungan baik dengan mereka, beramah mesra dan sebagainya pasti memudahkan apa saja urusan mendatang. Malah keluarga mentua juga tidak keberatan atau berkira-kira mahu tampil membantu.
Secara konklusinya, konsep pandai membawa diri sememangnya terpakai lebih-lebih lagi dalam situasi seperti ini. Tentang bagaimana anda bijak, mahir dan berkeupayaan menyesuaikan diri dengan persekitaran dalam keluarga baru. Tetapi perlu diingat, anda tak perlu terlalu mencuba sehinggakan menjadi orang lain dek kerana mahu diterima atau menunjukkan keberadaan anda sebagai ahli keluarga baru. Juga tidak perlu berpura-pura atau berselindung daripada menjadi diri sendiri. Tiada salahnya untuk anda perbaiki kekurangan yang ada dalam diri kerana sudah lumrah sifat manusia, tiada yang sempurna serba-serbi. Apa yang penting, sematkan niat anda yang ikhlas dan jujur dalam hidup berkeluarga. Itulah sebaiknya.