Highlights
Belanja Perkahwinan – Bersusah-Susah Dahulu, Bersenang-Senang Kemudian. Lainlah Kalau Datang Dari Keluarga Kayangan, Tapi…
Hanya yang pernah merasai susahnya mahu membina ‘masjid’ akan lebih menghargai keberadaan pasangan masing-masing di kala senang mahupun susah. Untuk adakan sejumlah wang demi memenuhi perkahwinan impian bukanlah sesuatu yang mudah. Lantaran itulah Islam memudahkan cara. Hanya yang wajib dan tak perlu berlebih-lebihan hingga membawa kepada pembaziran. Fikirkan untuk jangka masa panjang. Mahu berkahwin bukan setahun dua. Tetapi biarlah ajal yang memisahkan kita. Apa versi kalian simpan duit kahwin? Mungkin ada yang pernah atau lalui salah satu daripada kaedah ini?
Kredit Foto: Google
“Guna Aje Duit Mak. Lagipun Mak Mati Nanti Bukannya Bawa Duit Masuk Kubur”
Beruntunglah bagi kalian yang punya ibu bapa seperti ini. Tidak lokek dan berkira malah niat mereka tidak lain tidak bukan hanya mahu memudahkan cara, menghalalkan hubungan disisi agama. Tetapi adakah kepuasannya? Benar, tak salah jika emak ayah yang tawarkan diri menanggung segala perbelanjaan. Tetapi, sebagai anak; takkanlah pula anda mahu terus bergantung harap kepada mereka setelah apa yang mereka beri sejak kecil hingga mahu berkahwin pun tetap menggunakan duit mereka? Seeloknya, jangan biarkan emak ayah terbeban untuk menanggung segala kos. Lebih baik ada porsi duit yang anda keluarkan dari poket sendiri. Barulah lebih menghargai bukan senang dan calang-calang ujian untuk bina kehidupan bersama yang tersayang. Dan jika sudah terbiasa dengan pertolongan emak ayah, sampai bila mahu belajar untuk berdikari dan adakan simpanan sendiri? Fikir-fikirkanlah ya.
Kredit Foto: Google
“Saya Tak Cukup Duit Lagi. Tapi Mak Awak Yang Mendesak. Bukannya Saya Tak Usaha. Kerja Part Time Apa Yang Saya Tak Buat? Selagi Tak Sakit Saya Buat. Tapi…”
Biasa berlaku dalam kalangan pasangan yang nak berkahwin bukan? Inilah fasa apabila kalian diuji. Daripada wang hantaran, mas kahwin, cincin dan lain-lain semuanya perlukan sejumlah wang untuk disediakan. Kerana bukannya semua datang dari keluarga kayangan yang emak ayahnya sudah siapkan harta berkoyan-koyan. Hargailah pasangan yang menunjukkan ciri-ciri lelaki bertanggungjawab. Yakni salah satu ciri yang semakin sukar ditemui dalam kalangan bakal suami. Percaya dan yakinlah bahawa apabila seseorang itu sudah menanamkan niat untuk menghalalkan sesuatu perhubungan dengan cara yang baik, dengan izin-Nya pasti akan dilorongkan jalan, dipermudahkan cara dan sebagainya. Dengan syarat, jangan berhenti putus asa dan teruslah berusaha. Berikan sokongan kepada si dia. Kerana kelak apabila kalian sudah lama berumahtangga dan diimbas momen mahu berkahwin, pasti kalian akan lebih menghargai antara satu sama lain.
Kredit Foto: Google
“Apa Kata Kita Simpan Duit Sama-Sama. Dapat Gaji, Kita Tolak Siap-Siap. Seorang RM500 atau RM1000. Okey Tak?”
Boleh juga jika kalian mahu gunakan kaedah ini. Tidak kiralah sama ada mahu adakan wedding of the year, kecil-kecilan dan sebagainya, duit simpanan untuk perbelanjaan majlis dan tatkala melangkah masuk ke rumah baru wajib disediakan. Paling penting, jangan sibuk difikirkan soal pelamin, baju pernikahan dan majlis resepsi, hantaran dan lain-lain yang bersifat sementara sahaja. Kerana ia hanya ‘lebur’ pada hari majlis sahaja. Tetapi persediaan kewangan untuk menyewa atau membeli rumah, perabot, televisyen, peti sejuk, almari, katil, meja makan, dan lain-lain hendaklah difikirkan juga. Bagi mereka yang berpendapatan sederhana bolehlah berbincang dengan si dia untuk menggunapakai kaedah ini. Tidaklah terbeban di bahu anda seorang saja. Kerana yang berkahwin kalian berdua, bukannya si dia seorang saja. Ye tak? Atau lebih baik anda mula menyimpan sedikit demi sedikit dari awal. Misalnya mulakan dengan gaji pertama yang diperoleh. Insya-Allah, pasti berkat.Kredit Foto: Google
“You Request Nak Makeup Artist, Baju Designer. I Memang Tak Ada Bajet. Tak Ada Cara Lain Kecuali Kita Buat Loan. Tak Apa, Lepas Kahwin Nanti Kita Bayar Sikit-Sikit.”
Mungkin juga terjadi dalam kalangan pasangan yang mahu berkahwin. Apabila duit dalam simpanan tidak mencukupi, terpaksalah juga memohon pinjaman peribadi. Sebenarnya memang tidak digalakkan untuk kita membuat pinjaman semata-mata untuk memenuhi kehendak atau tuntutan peribadi perkahwinan. Kerana perjalanan selepas berkahwin nanti lebih panjang. Jika boleh, elakkan daripada memohon pinjaman atau pembiayaan peribadi kerana fikirkan dalam jangka masa panjang. Jika terikat dengan pelbagai hutang, mana mungkin kalian boleh adakan simpanan waktu kecemasan kan? Namun, jika benar-benar terdesak dan tiada pilihan, maka pinjaman peribadi adalah jalan akhir sebagai solusi. Tetapi pastikan anda benar-benar berdisiplin untuk membayar semula dalam tempoh yang ditetapkan.
Kredit Foto: Google
Semoga urusan dan perjalanan perkahwinan kalian dipermudahkan, diberkati dan jodoh kekal berpanjangan hingga hujung nyawa. Tolak ansur dan persefahaman antara kunci utama yang perlu ada dalam fasa awal perkahwinan.
Must-Watch Video