Bagaikan membela biawak hidup, mungkin itu rumusan singkat untuk menggambarkan keseluruhan kisah dan apa yang ingin penulis kongsikan. Kerana hakikatnya, kebanyakan wanita zaman sekarang lebih berdikari. Mampu membeli apa yang diingini tanpa bergantung harap atau belas ehsan sesiapa. Dan adakah kerana itu membuatkan ramai yang masih solo walaupun sudah berada di tahap selesa dengan apa yang ada? Mungkin ada kebenarannya kerana tidak mahu terjerat dalam kisah cinta seperti ini.
Kredit Foto: Google

Dah Terang Lagikan Bersuluh

Tidak semua yang ‘berpeluang’ dipertemukan dengan lelaki sebegini. Yang bergantung dan mengharap sepenuhnya pemberian daripada teman wanita. Jika pada permulaannya mungkin untuk menguji sejauh mana teman wanita sanggup hidup susah senang bersama. Tetapi apabila lama-kelamaan sudah dijadikan habit, maka seharusnya tinggalkan saja lelaki seperti ini.


Tiga tahun menjalin cinta, Linda mula berasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan perangai Borhan. Linda lebih berusia daripada teman lelakinya dan bergaji lebih besar daripada Borhan. Tetapi itu tidak menghalang mereka untuk sama-sama menyatukan rasa cinta yang sama. Memandangkan gaji Linda lebih besar daripada Borhan, maka hampir setiap kali ‘dating’ dia yang membayar semuanya. Daripada tiket wayang, makan dan minum, kudapan hinggalah kalau Borhan teringin membeli helaian baju, kasut atau wangian semuanya dibayar Linda. Kata Linda ia sebagai menghargai penat lelah Borhan yang perlu lakukan dua kerja dalam satu masa.

Kredit Foto: Google

Tetapi selepas beberapa lama, dia mula merasakan ada yang tidak kena. Apabila motosikal Borhan rosak dan perlu dihantar ke bengkel untuk dibaiki, dia akan meminta wang daripada Linda. Ayatnya ‘mahu pinjam, cukup bulan berjanji bulan dan bintang untuk membayar balik. Tetapi janji hanya tinggal janji. Bukan itu sahaja, apa jua keluaran permainan online terbaru seperti PlayStation Borhan akan meminta daripada Linda untuk membelinya.


Kadang-kadang Linda merungut juga dan tercetus pergaduhan antara mereka tetapi sudahnya dia mengalah. Dan berulang lagi dan lagi perangai Borhan yang terus-terusan meminta duit daripada Linda. Namun selepas meluahkan Hasrat hati yang terpendam bersama rakan-rakan perempuannya, dia nekad untuk menoktahkan hubungan bersama Borhan. Biarpun diugut, Borhan memujuk dan merayu akhirnya Linda terpaksa akur. Daripada merana, makan hati dan duitnya habis begitu saja lebih baik dia angkat kaki. Malah kata Linda dia lebih rela membujang sampai ke tua. Biarlah tak kahwin daripada bersuamikan lelaki seperti Borhan. Mujur juga mereka belum berkahwin. Kalau tidak, jawabnya makan hati berulam jantunglah jawabnya.

Kredit Foto: Google

Mulanya Sebab Kasihan

As dan Zul sudah mengikat tali pertunangan awal tahun dan kini sedang sibuk membuat persiapan perkahwinan yang bakal berlangsung tahun hadapan. Kata orang, fasa bertunang memang akan diuji dengan pelbagai perkara. Dan perihal yang sama dirasai As. Mereka sepakat menyimpan duit dan dimasukkan ke dalam satu akaun simpanan khas. Ya, pada awalnya mereka berkongsi dan menaruh kepercayaan masing-masing. Yalah, dah nak kahwin kan? Sejak lepas bertunang mereka sepakat masukkan duit RM1,000 setiap seorang. Jika diikutkan hingga kini sudah ada RM20,000 dalam akaun tersebut. Sementelahan As memang bekerja di bank, maka dia yang uruskan aliran masuk wang tersebut. Tetapi yang menambah kemarahannya apabila Zul seringkali meminta duit daripadanya dengan alasan wang simpanan untuk berkahwin terlalu banyak. Dan dia tak punya wang tunai dalam tangan. Dek kerana kasihan, sayang dan cinta As pinjamkan duitnya lalu diberi kepada Zul.


Setiap bulan ada sahaja alasan yang diberi Zul untuk meminjam wang daripada As. Nak beri pada emak di kampung, bayar pinjaman PTPTN, baiki kereta, itu ini dan macam-macam lagi. Apabila ditanya ke mana pergi duit gajinya, mulalah siri bertikam lidah sesama mereka. Zul mempersoalkan tentang sikap As yang sering mencurigai dan seolah-olah mahu ‘mengawal’ perbelanjaan duit Zul. Sedang tunangnya sekadar mahu mendapat kepastian. Namun kerana sayang, cinta dan kasih As masih lagi berpendirian yang sama. Tetap diberi wang kepada Zul.

Kredit Foto: Google

Hinggalah pada suatu hari, tiba-tiba sahaja dia memberanikan diri untuk mengekori ke mana tunangnya pergi. Apabila diajak keluar makan dan membincangkan soal perkahwinan, ada sahaja alasan diberi. Lalu As memberanikan diri menjadi ‘spy leman’ ditemani rakan serumahnya. Hasil intipan membawa mereka ke sebuah hotel terkemuka. Hati As mula membisikkan ada sesuatu yang tidak baik berlaku. Diekori lagi dan tanpa diduga Zul telah mendaftar masuk bersama wanita lain. Entah dari mana datangnya keberanian merasuk diri As, dia terus menghubungi pihak berkuasa agama dan memaklumkan ada pasangan berkhalwat di hotel tersebut. Dirakamnya video dan diambilnya gambar saat pihak berkuasa menyerbu masuk ke bilik.


Terbongkar sudah perbuatan terkutuk tunangnya selama ini. Lalu As memaklumkan kepada keluarganya juga keluarga tunangnya tentang apa yang berlaku. Jauh disudut hatinya tetap menyimpan rasa terkilan dengan apa yang berlaku. Betapa mudahnya dia memberi sepenuh kepercayaan, belas kasihan terhadap tunang yang bakal bergelar suaminya. Apa jua yang diminta dia akan penuhi. Beri dan terus beri duit kerana kasihan. Hinggalah akhirnya Tuhan menggerakkan hatinya untuk bertindak sedemikian rupa. Walaupun hajat membina mahligai tidak kesampaian, dia tetap bersyukur dan belajar bahawa usah terlalu mudah menghulurkan duit kepada lelaki yang belum tentu sah menjadi suami.