Tak terasa sudah dipenghujung 2021. Satu tahun yang penulis yakin cukup penuh suka dan duka, pahit dan manis untuk dikenang sesiapa. Penuh warna, pelbagai perasaan didalamnya. Serasa deras dan cepatnya putaran waktu dek bersilih gantinya segala PKP, PKPP, PKPB dan sebagainya.

Sudah pastinya ujian pandemik Covid-19 yang masih belum nampak bila akan surutnya menjadi satu lagi dugaan yang menguji kita. Satu persatu kemelut ditempuhi. Daripada kancah politik, ekonomi yang mencabar dan akhirnya diduga dengan musibah banjir baru-baru ini.

Beralihnya angka 2021 ke 2022 pastinya membawa 1001 makna buat semua. Ada yang diduga kehilangan insan tersayang, hilang pekerjaan juga mata pencarian, tempat berteduh dan sebagainya. Yang dirasakan itu adalah milik kita tetapi sebenarnya cuma pinjaman semata-mata.

Kredit Foto: Google


Ada yang terduduk diasak dengan ujian bertubi-tubi, satu persatu bersilih ganti. Berat, penat nak menanggung. Sungguhpun begitu, setiap ujian itu sudah tertulis dan tersedia untuk kita laluinya. Hanya kita saja yang tidak tahu bila dan bagaimana untuk menempuhnya. Kita takkan tahu kita kuat selagi belum diuji.

Walau susah dan mencabar sekalipun, tetap perlu diharung semua itu. Dan menginjak satu lagi tahun yang sudah digembar-gemburkan dengan segala cabaran, hadapilah dengan berlapang dada. Usah dikira berapa banyak yang kita hilang tetapi tetaplah bersyukur akan setiap nikmat yang diberi-Nya. Persiapkan diri dan perbaiki mana yang kurang. Renung ke dalam diri setiap kelemahan yang ada.

‘Move on, wake up’. Tiada lagi alasan untuk bertangguh, sibuk ambil tahu perihal orang lain. Hijrahkan minda agar lebih positif cara pemikiran dan tindak-tanduk kita. Bukan masanya lagi untuk menuding jari mencari silap dan salah orang lain. Diri kita sendiri perbetulkan terlebih dahulu. Moga setiap cabaran dan ujian mendatang mampu kita harungi dengan jiwa yang tenang.