gaya hidup
BERANAK KECIL Memang Penat Tapi Bila Anak Dah Besar, Mesti Rindu Momen Bangun Tengah Malam.
Siapa tidak teruja saat menerima ahli keluarga baru. Apa lagi kalau dia cahaya mata pertama yang amat dinantikan. Pengalaman membahagiakan itu tidak hanya terlintas saat bermain dengan si kecil, tapi lebih akan dikenang adalah momen rutin harian yang mula berubah.
Waktu tidur ibu dan ayah tidak akan sama seperti dulu-dulu lagi. Boleh dikatakan selangn satu ke dua jam, si bayi akan merengek mahukan susu. Ada juga bayi yang akan berbeza waktu tidurnya dengan orang dewasa.
Siangnya dia tidur, manakala malam waktu dia berjaga dan bermain. Maka, si ibu atau ayah terpaksa bersengkang mata mengadap si kecil yang terus membuntang matanya walau jam di dinding sudah dua ke tiga pagi.
Suami Harus Bantu Bangun di Tengah Malam
Suka atau tidak nikmat tidur malam terpaksa dikorbankan seketika. Janganlah hanya ibu terpaksa tersenguk-senguk di malam hari, harapnya sang suami juga harus sama menemani isteri yang pasti keletihan.
Walaupun mungkin ibu yang akan menyusukan anak, sebagai suami mainkanlah peranan dengan menunjukkan sokongan kepada isteri. Pastikan isteri tidak tertidur ketika menyusukan si kecil kerana bimbang bayi akan lemas atau tersedak susu.
Jika, punya stok susu beku, suami bantulah memanaskan susu itu dan berikan kepada bayi. Waktu ini, beri peluang kepada isteri pula untuk berehat sebaiknya kerana siangnya pasti banyak rutin lain untuk isteri langsaikan.
Lama-Lama Nanti, Normal Kembali Rutin Hidup
Kredit Foto: Google
Ada yang tanya berapa lama harus ditempuh detik perubahan waktu tidur itu? bergantung kepada bayi itu sendiri. Namun, ia tidaklah terlalu panjang. Mungkin setahun dua, apabila bayi sudah okey untuk minum susu sebelum tidur, ibu ayah tidak perlu lagi bangun malam.
Percayalah, selepas tamat tempoh itu, ibu dan ayah pasti merindui pengalaman berjaga malam demi si kecil. Ia tidak datang selalu dan tidak singgah lama. Sampai masanya, ia pergi sebagai kenangan.
Justeru, jangan stres atau rasa huru-hara kehidupan itu kerana ia detik emas yang seharusnya diraikan dengan relaks dan damai. Membesarkan si bayi adalah saat yang tidak mungkin dapat dikembalikan. Maka, hayatinya sebaik mungkin.
Must-Watch Video