Oleh Dr. Faisal Tehrani


Sumber foto: Shutterstock

BERTINGKAH dengan kakak sendiri? Bergeser dengan adik bongsu? Tidak sependapat dengan ibu? Marahkan sikap bapa? Berbulu dengan orang serumah?

Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga. Akan tetapi, apakah peribahasa ini benar-benar relevan? Tidakkah banyak kejadian di hadapan mata yang pergaduhan antara ahli keluarga memang mendatangkan selisih berpanjangan? Bukan sahaja ia berlarutan, ia nampaknya berpenghujung apabila masing-masing pulang menghadap Ilahi.

Demikian cariknya bulu ayam, tak semua bercantum kembali. Bukan sahaja itu, pertembungan tersebut diwariskan kepada generasi seterusnya pula.

Betulkah Kalau Carik-carik Bulu Ayam, Tetap Akan Bercantum Kembali?

Baiklah, kita percayai dan yakini bahawa memang ada kes bulu ayam bercarikkan, akan kembali bercantum. Kita katakanlah itu adalah keluarga yang ideal. Kalau sudah bergaduhan, tiba kala muhasabah maka eloklah masam dimaniskan, kelat ditawarkan.

Pun ada juga kategori yang tidak mungkin bersama lagi. Berpatah arang, kata orang. Apakah yang membuatkan kita, kadang tergigit lidah kemudian saling menggigit bisa-membisa antara satu sama lain? Memang, sebabnya banyak. Tambah-tambah kalau materi yang mengaburi mata.

Seorang teman saya jatuh sakit tiba-tiba. Sebelumnya dia sihat walafiat. Akan tetapi, tanpa semena-mena setahun yang lalu dia mendapat sakit berat. Badannya serasa sejuk meski tiada salji di luar. Kadang suhunya panas, meski bumi baru disimbahi hujan petang. Sekujur tubuh serasa lenguh-lenguh, kejang dan tegang. Kadang dalam lelap, bila terjaga untuk bangun amat menderita, kerana ibaratnya sendi dan tulang diracik-racik dengan belati tajam. Bingung dia bingung. Ke doktor dan klinik sudah puas, dan doktor tidak menemukan sebab-musabab. Akhirnya, sebagaimana Melayu yang lain, perubatan alternatif dirujuk. Seorang ustaz katanya saat ditemui, bertanya balik selamba, apakah ada mak ciknya bernama sekian-sekian, dengan raut wajah begini-begini, dan punya anak jumlahnya tujuh.

Melongo teman saya melongo. Kemudian, ustaz itu bertanya lagi bahawa apakah ada sebarang pertelingkahan keluarga melibatkan tanah di penjuru kampung yang namanya ini-ini. Tersentak ahli keluarga teman saya itu. Memang ada. Memang halnya ada. Akan tetapi kata bapa teman saya itu, ‘Ustaz... itu cerita lama.’

"Lama mana?" Tanya ustaz itu tidak percaya.

"Mungkin dua puluh tahun yang lalu."

Diam terdiam.


Sumber foto: Shutterstock

Mengapa Selalu Terjadi Ahli Keluarga Bergaduh Kerana Berebutkan Tanah?

Bahawa datuk si teman meninggal dunia dengan dua isteri. Akan tetapi meski pembahagian sudah semacam sama rata, masih ada bidang tanah yang dicemburui. Di atas tanah itu buah rambutan bergayut-gayut, terdapat tujuh batang pokok durian, sepohon pulasan, dan pokok nona yang makin tua.

Maka dakwa ustaz itu, teman saya dibuat orang. Dan orangnya mak cik sendiri yang sering teman saya puji sajian nasi lemaknya adalah paling antarabangsa di tekaknya setakat ini. Padahal saat bertemu di pagi raya, di kuburan, mak cik itu dengan penuh takzim dan sopan yang tinggi santunnya menegur berbahasa dan tiada sebarang cemik bibir atau jeling mata yang dapat ditafsirkan sebagai kebencian. Tidakkah itu aneh. Keluarga, saling tampak sayang menyayang; tetapi tanpa disangka kedengkian meruap.

Adakah itu benar? Jika tidak benar, bagaimana pula ustaz tersebut yang tinggalnya jauh sekali dari kampung halaman teman tersebut boleh mengetahui darihal keluarganya dengan terperinci sekali.

Salah satu masalah orang Melayu ialah memberi hibah atau hadiah kepada si polan polan sebelum meninggal dunia. Tatkala memesan hadiah yang berupa tanah pusaka, rumah tinggalan kian tua, atau pohon buah beraneka macam itu jarang ada sebarang saksi hadir. Maka setelah kematian, anak beranak-adik beradik-ipar duai-sepupu sepapat segera berhamburan dan bertegang urat merebutkan barang yang sungguh dunia sifatnya.


Sumber foto: Shutterstock

Demikian carik bulu ayam, tidak selalu bercantum lagi. Dalam hal ini, Melayu merakam unsur alam yang indah untuk menjelaskan perihal keluarga yang bertabrakan begini. Kata orang dahulu, tidak resan kunyit, resan serai. Maksudnya sudah tiada lagi hubungan kekeluargaan kerana wujudnya perselisihan. Tidaklah datuk nenek kita menyebut-nyebut hal seumpama ini melainkan sudah berlaku dalam kalangan mereka sendiri.

Selain perihal keluarga yang bergocoh sebegitu rupa. Terdapat pula ahli keluarga yang kurang boleh dipercayai. Masuklah kita kepada kategori atau jenis ahli keluarga yang ketiga. Begini, di saat kita memerlukan seorang anggota yang dapat mendukung diri, dia, sang ahli keluarga memilih untuk mencukur kepala, atau mencabik baju di dada. Tidak cukup puas mengaibkan keluarga sendiri, sang keluarga ini akan pula berada di barisan musuh bagai menghadapkan bedil pulang. Padahal kita sebagai orang dekat mengharap dia mencabut dari limbahan iaitu menolong menutup malu ahli keluarga yang sudah buruk dan cemar maruahnya.

Bila Ada Ahli Keluarga Bermulut Cabul dan 'Menganjing' Aib Keluarga Sendiri

Pernah terjadi, seorang ahli keluarga kenalan terlajak melakukan sesuatu yang haram. Katakanlah ia terzina (imbuhan ‘ter’ menunjukkan ketidaksengajaan). Yang ahli keluarga lainnya puas menutup aib dan cemuh. Setelah dirundingi, kedua-dua pihak pasangan bersetuju supaya hal tidak baik begini dikabur, dan kerana kedua-dua yang terlanjur telah bersetuju maka mereka pun elok dipasangkan. Kisahnya pun mereka masih remaja. Belum ada kematangan diri. Mungkin ter-syok meladeni nafsu. Pada majlis perkahwinan, yang sepatutnya gemilang dan berwarna-warni bunga manggarnya, datanglah si mulut cabul dalam keluarga yang menganjing dan menceritakan perihal sebenar kepada orang.

Dia, cis si dia yang memalukan ahli keluarga itu menyangka perbuatannya itu betul di sisi Tuhan. Sedangkan yang benar adalah, sekian aib selagi boleh dilindung maka eloklah disembunyikan dan usah diberita-beritakan kepada masyarakat. Lagipun apalah yang dapat dicapai dari perbuatan sedemikian. Dia terlupa busuk daging dikincah, dan dimakan; sedang busuk ikan dibuang orang. Maka terpalitlah nama dia juga selaku ahli keluarga. Bila tiba giliran anak si dia untuk berkahwin, ramailah yang menjauh diri, maka dia pun terkontang-kanting sendiri malah dikata orang di belakang.

Antara umpat yang dikesan adalah ‘kalau ahli keluarga dia sendiri boleh dicaci dan dilondeh, maka lebih baik jangan kita masuk berkeluarga dengannya’; juga didengar di telinga ‘hissy jagalah keturunan kerana ahli keluarganya ada yang kaki zina’. Padahal yang ‘terzina’ itu sudah bertaubat. Bukan sangat ia itu kaki zina. Sudah pun bersuci menanggal dosa mengerja haji. Sudah pun tenang dalam kehidupan. Sudah lama melupakan apa yang terjadi. Maklum muda-muda dahulu sedikit jahil dan kurang menapis keinginan.

Memang banyak sekali punca bergaduh dan bertengkar dengan anggota keluarga. Mana tidaknya, nenek moyang kita dahulu memesan kalau sesangkar sekalipun, yang bayan itu bayan juga; serindit, serindit juga. Bahawa manusiakan memang berbeza walaupun datang dari satu keluarga.

Sebetulnya, jika dipugar segala ajaran dan amanat warisan lama memang letih kita memikirkan dan melakukannya. Yang benar adalah kita duduk meneleku dan memikir, perihal kebenaran dan keadilan. Jika melakukan kesalahan eloklah kita mengakui dan berlapang dada. Maka bermaaf-maafan lah. Kita hidup sekejap sangat di dunia ini.

Jika yang menjadi punca berlaga itu semata-mata kerana harta benda yang akan habis dan luak di hujungnya maka eloklah kita letakkan kembali agama di hadapan. Semua yang ada ini hanyalah pinjam-pinjaman. Kita hendak menghadap dan bertemu Tuhan dengan cara dan baju yang amat suci. Kalau boleh segala mulus dan telus itu dihimpun dan dijadikan perhitungan. Bukan yang legam hitam dan buruk mual dijadikan persembahan.

Manusia menjadi sering terpesona dengan hal-hal kecil dan remeh temeh. Kita tidak harus lupa, kita sedang menuju ke dunia yang lebih kekal.

Antara dunia itu ada dunia kubur yang sempit sekali. Di situ, suka atau tidak suka; kita akan bersendiri. Ahli keluarga kita memang masuk ke liang lahad, menurunkan jenazah kita. Kemudian mereka akan mengambus, bersedih, menabur air mawar, dan perlahan-lahan bergerak meninggalkan kita di situ seorang diri. Berjuang mendepani para malaikat tanpa bantuan sesiapa.

Sudahkah Kita Bersedia Untuk ke Alam Barzakh?

Kalau, ya jikalau kita bersedia menimbangkan bahagian barzakh dan bahagian akhirat sebelum, ketika, dan setelah bergaduhan itu maka kita mestilah merenung dan kembali. Err kembali? Oh ya, tidak salah bercantum kembali. Memang ada yang membawa permusuhan ke tanah kuburan. Memang ada. Tetapi kita jangan terdorong ke jalan itu. Kita memilih jalan yang lebih menginsafkan. Jalan kedamaian.

Jika ada tengkar dan kelahi, letaklah seketika majalah ini. Nanti-nanti sambung membaca lagi. Ayuh, tautkan semula apa yang jauh. Rapat dan bersatu. Kita keluarga. Kita hidup seketika. Dalam hidup yang segesit ini biarlah kita beramai-ramai. Sementara kita belum dihimpit sendiri, dalam ruang tanah yang amat kecil itu.

Boleh, bolehkah melakukannya? Kenapa pula tidak?