gaya hidup
Besar Ke Ujian Bersuamikan Lelaki ELOK? – Tapi Biasanya Orang Kata, Lelaki Kacak Ni Lebih SETIA. Betul Ke?
Kesetiaan dan hati budi seseorang itu bukanlah terletak pada paras rupa tetapi sikap individu itu sendiri dalam menepis godaan dan ujian yang datang. Ada yang menelah, “Mesti sengsara isteri dia dapat suami kacak!”. Ada juga yang kata, “Makan hatilah kalau suami handsome, mesti ramai yang tunggu masa”.
Kenapa harus dinilai kecurangan menerusi fizikal? Ya, tidak dinafikan wajah yang elok sentiasa menjadi tumpuan orang. Apatah lagi, lelaki yang pandai bersiap dan punya populariti. Namun, lihatlah isu-isu kecurangan dan penceraian yang berlaku dalam masyarakat kita, adakah mereka yang menduakan isteri itu semuanya kacak?
Lelaki Tak Kacak Pun Ramai Yang Curang
Inilah hakikatnya. Jangan pukul rata hanya disebabkan oleh satu, dua kes terus jatuh hukum lelaki kacak sentiasa bersikap curang. Ya, tidak dinafikan peluang itu mungkin besar untuk mereka berwajah elok menjadi rebutan dan sentiasa menjadi perhatian wanita. Namun, tidak semua begitu.
Ada juga lelaki yang curang itu langsung tidak ‘berupa’. Namun, ada saja wanita yang hegeh mahu mendekati walaupun tahu si dia sudah beristeri. Seperkara perlu kita fahami, maksud ‘elok’ bagi sesetengah orang itu juga berbeza. Kalau di mata kita, tidak langsung kacak, namun di mata orang lain, dialah bulan dan bintang.
Segelintir wanita memang ada yang tidak memandang rupa. Kalau orangnya berjaya menambat hati, hidung pesek, gigi bertabur pun tetap menjadi idaman hati. Bagi mereka, hati budi dan bagaimana cara lelaki itu menyantuninya; itu yang penting. Tahu kenapa lelaki tidak kacak mudah jadi kasanova?
Kerana mereka tidak punya rupa, jadi mereka menggunakan senjata lain untuk menambat hati wanita. Mereka usaha lebih. Ada yang bermulut manis bijak mengayat sehingga si wanita hanyut. Ada juga yang menggunakan kudrat, menjadi hero penyelamat dengan pelbagai janji manis sehingga si wanita rasa selamat di sisinya. Begitulah umpamany.
Kredit Foto: Google
Lelaki Kacak Ada Nilai ‘Eksklusif’
Kita mesti selalu dengar ayat, ‘lelaki kacak kebanyakannya ego!’. Maka, mereka jarang-jarang mahu merendahkan diri cuba untuk mengayat wanita-wanita yang baru dikenalinya. Mereka bersikap pasif walaupun pada wanita yang menarik. Sebolehnya, mereka tidak akan memulakan langkah melainkan kepada si bunga yang memang sudah mengunci hatinya.
Maka, tidak hairanlah apabila mereka sudah berkahwin sikap itu terus kekal dalam dirinya. Cukuplah isteri yang satu untuk dijaga dan dicintai. Tidak kisahlah jika isteri itu cantik atau sebaliknya. Bagi mereka, selagi isteri itu pandai melayani dan menjadi isteri yang baik buatnya, selama itulah cinta mereka kekal bersatu.
Mungkin juga mereka sudah ‘penat’ dipuji puja, menjadi rebutan ramai, dikejar ke mana pergi. Justeru, sebaiknya mereka tidak layan walau seorang pun. Bagi lelaki yang tak berapa nak elok tu, kebanyakannya mencari dan memulakan langkah pertama. Awalnya nak ‘test power’. Kalau sangkut, Alhamdulillah, kata hatinya. Dan, memang ada saja wanita yang mudah terperangkap.
Kredit Foto: Google
Namun, apa yang penulis rungkaikan di sini hanyalah pendapat peribadi penulis dan sekelumit pengalaman teman-teman yang pernah melaluinya. Terpulang kepada pembaca untuk menilai dan menafsirnya. Kesimpulannya, kacak atau tidak, bukanlah penentu umum untuk seseorang itu setia atau tidak? Dan, kekacakan itu juga subjektif di mata orang.
Must-Watch Video