Highlights

Betul Ke Dalam Berniaga; Yang Paling Ditakuti Bukan Rugi, Tapi DENGKI? Kenapa Menidakkan Rezeki Tuhan?

gempak
Afiza Kamarulzaman
12/03/2020
09:34 MYT
Sponsor Banner
Betul Ke Dalam Berniaga; Yang Paling Ditakuti Bukan Rugi, Tapi DENGKI? Kenapa Menidakkan Rezeki Tuhan?
Apabila kita susah, dia mengata dan tidak mahu menolong. Selepas sudah berjaya, hati pula tidak senang, sakit mata dia melihat kesenangan dan kejayaan orang. Bukankah setiap orang sudah ditentukan rezekinya? Mungkin rezekinya hari ini dan rezeki kamu esok lusa. Rezekinya mungkin pada wang dan harta tetapi mana kita tahu dia juga punya masalah lain yang jauh lebih besar daripada nikmat yang kecil itu. Kita mungkin lebih banyak rezekinya daripada segi kesihatan, anak-anak dan sebagainya.
Jadi, kenapa perlu dengki dengan orang lain sehingga menjatuhkannya. Degki tidak salah jika bertujuan memberikan motivasi ke dalam diri agar dapat berjaya seperti orang itu. Namun, dengki yang salah ialah apabila ia membiakkan perasaan ingin memporak-perandakan kehidupan orang itu. Ada yang sampai membujat fitnah kepadanya, menggunakan bomoh dan pelbagai lagi taktik kotor agar kejayaan yang dimiliki direntap dan biarkan dia hidup merana sepanjang hayat. Berdosa tahu tak?
Kredit Foto: Google
Amy, Peniaga Nasi Ayam Tutup Kedai
Bukanlah perniagaan jutaan ringgit pun. Kak Amy sekadar menjual nasi ayam di gerai makan biasa sahaja. Namun, tidak dinafikan antara banyak-banyak kedai makan di sekitar situ, kedai Kak Amy paling laris kerana masakannya yang enak dan layanan mesra Kak Amy itu sendiri membuatkan pelanggan setia mengunjunginya. Selama lima tahun Kak Amy berniaga, dapatlah dia rasa pakai kereta Nissan Grand Livina, bersangkut rantai dan gelang emas di badan dan duit poket yang tak pernah putus.
Namun, katanya ia bukanlah diperoleh dengan mudah. Kerjanya dari pagi sampai ke malam. Subuh-subuh sudah keluar membeli barang basah, balik sahaja terus bersilat di dapur. Selesai masak, mula melayan pelanggan dan lewat petang kemas kedai dan pulang. Tidak berhenti di situ, pada waktu malam sambung pula membuat persiapan untuk jualan esok. Siapa yang pernah kerja kedai makan, tahulah bagaimana penatnya?
Tidak pula disangka ada mata yang sakit dan hati yang tidak senang melihat gerainya yang maju. Beberapa bulan selepas Kak Amy tukar kereta baru, Kak Amy berasakan perubahan pada gerainya apabila pelanggan mulai surut, keuntungan pun merosot. Kak Amy masih cuba berfikiran positif, cuba tingkatkan kualiti makanan dan buat pelbagai promosi, namun tetap gagal malah makin teruk. Ada seorang hamba Allah ini datang makan dan bisik kepada Kak Amy supaya ‘bersihkan’ kedai Kak Amy.
Orang itu sempat beritahu, “Hati-hati ya Kak, ramai yang tak suka tengok kedai Akak maju. Adalah yang menghantar. Lebih baik akak pergi berubat...” Kak Amy bukan jenis yang percaya dengan benda-benda karut seperti itu walaupun hati kadang-kadang mengiyakan juga. Suami pun nasihatkan Kak Amy berhenti sajalah berniaga di situ kerana ini semua ujian Tuhan untuk melihat bagaimana teguhnya iman dan hati Kak Amy. Akhirnya, Kak Amy tutup kedai dan kini hanya membuat perniagaan secara dalam talian saja.
Kredit Foto: Google
Taska Azhar Gulung Tikar Difitnah
Azhar dan isteri membuka perniagaan taska di sebuah kawasan perumahan. Dengan jumlah kanak-kanak lebih kurang 30 orang, keuntungan mereka boleh dikatakan okey. Mampulah untuk membayar gaji lima pekerja dan kos-kos lainnya. Mereka bukanlah jenis yang suka menunjuk-nunjuk, apatah lagi membuat orang lain sakit hati dengan mereka. Perniagaan juga dijalankan mengikut prinsip Islam.
Hendak dijadikan cerita, selepas tujuh tahun membina nama dalam perniagaan asuhan kanak-kanak, mereka diuji dengan fitnah yang sangat berat. Seorang ibu kepada kanak-kanak yang dijaga tiba-tiba mengamuk dan marah-marah apabila mendapat tahu anak mereka jatuh dan terdapat kesan lebam di kakinya. Biasalah budak tengah lasak, asyik melompat dan beergaduh sesama mereka. Azhar dan isteri sudah menerangkan perkara itu secara jelas, siap tunjukkan rakaman CCTV kepada ibu terbabit untuk memastikan tiada kes dera berlaku.
Pada mulanya, ibu tersebut terima penjelasan tersebut sebagai insiden yang tidak dapat dielakkan. Namun, keesokan harinya cerita lain pula kedengaran. Ibu terbabit mengirimkan WhatsApp kepada semua ibu bapa mengatakan anaknya dipukul sehingga lebam, tidak diberi makan dan sebagainya. Yang peliknya, tidak pula ibu terbabit membuat laporan polis. Sekadar melepaskan marah begitu sahaja. Maka, ramailah ibu bapa yang terpengaruh dengan cerita tersebut, lantas tidak mahu lagi menghantar anak mereka di situ.
Tidak cukup dengan itu, ibu terbabit menyebarkan cerita itu di media sosial pula. Diprovok lagi dengan cerita-cerita tambahan sebagai perisa, sedangkan Azhar dan isteri tidak pernah langsung mendengarnya sebelum ini. Ada yang meyuruh mereka untuk menyaman ibu terbabit kerana mereka ada bukti kukuh yang mereka tidak bersalah. Namun, Azhar tidak mahu memanjangkan lagi kes itu. Isteri Azhar pernah bertanyakan kepada ibu itu kenapa buat begitu? Katanya, dia memang mahu tengok mereka ‘melingkup’. Kini Azhar dan isteri hanya mengambil upah mengajar orang mengaji al Quran.
Kredit Foto: Google
Hikmah Daripada Hasad Dengki Manusia
Tiada apa yang lebih baik daripada sifat sabar yang tinggi dan bersandar sepenuhnya kepada Allah swt. Selalu kita dengarkan, biar orang buat kita, jangan kita buat orang. Walaupun kedengarannya mungkin agak ‘bodoh’, namun itulah yang terbaik untuk mendepani orang yang busuk hatinya. Jika kita melakukan yang sama, apa bezanya kita dan dia? Maka, berdoalah agar dia diberi hidayah. Jangan risau, sekarang ini Tuhan bayar ‘cash’. Akan ada pengajaran terbesar untuk orang yang membinasakan kehidupan orang lain.
Pada masa yang sama, teruslah berbuat kebaikan. Jangan jadikan sejarah dikhianati orang sebagai penghalang untuk kami menjadi orang baik. Percayalah, hanya dengan kebaikan mampu memadamkan api kejahatan. Kebaikan itu umpama air yang akan menyejukkan. Maka, sejukkan hati kamu yang sedang marah dan sakit dengan kebaikan. Bantu orang, bersedekah, berzakat, mudahkan urusan orang, berkata yang baik-baik dan sentiasa mengambil berat perihal orang lain antara yang sangat digalakkan untuk kamu lakukan.
Akan ada sinar lain yang Tuhan berikan menggantikan kelam yang dilakukan orang terhadap kamu. Apa yang penting, jangan buat kejahatan dan kerosakan walau pada ketika mampu untuk melakukannya. Sabar dan tenang-tenang saja.
Kredit Foto: Google
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024