Kata orang membesarkan anak perempuan lebih mencabar berbanding anak lelaki. Benarkah andaian ini? Bagi penulis, terpulang kepada pendapat masing-masing kerana sejujurnya sama ada anak lelaki atau perempuan, bagi penulis cabarannya sama sahaja. Lebih-lebih lagi dalam zaman serba canggih seperti kini. Tetapi yakinilah, cabaran yang besar itu jika dilakukan dengan kesungguhan serta tabah menghadapi karenah mereka, Allah SWT dan Rasul-Nya telah menjanjikan balasan yang amat besar. Sabar, teliti dan bagaikan menarik rambut dalam tepung mungkin itu perumpamaan sesuai menggambarkan cabaran nan satu ini.


Apa yang dicoretkan pengguna Facebook, Farhan Syikin Zahir ada kebenarannya untuk diteliti dan difahami bersama. Katanya, anak sulung saya Allah beri seorang perempuan. Jujur, masa dia kecil-kecil dulu tak terasa sangat cabarannya. Tetapi bila dia dah besar, semakin terasa cabarannya.

Kredit Foto: Google

Mak sentiasa pesan, bila ada anak perempuan jangan ambil mudah, jangan buat tak endah. Tanggungjawabnya berat dan tugasnya amat besar. Menjaga anak perempuan tidak sama dengan anak lelaki.


Bila ada anak perempuan, jangan dibelikan pakaian yang seksi. Bukanlah mahu diajar anak bertudung litup, tetapi cukup mengajar anak berpakaian sopan, tidak terdedah sana sini, tidak ketat dan menonjol. Sebaliknya, ajarkan mereka mengenal erti malu, ajar pakai pakaian yang sopan-sopan dan bersederhana menikmati zaman kanak-kanak.

Kredit Foto: Google

Bila ada anak perempuan, tak boleh dibiar tidur sana sini. Mereka perlu diajar untuk tidur setempat di dalam bilik. Bahayanya ada di mana-mana dan jangan percaya kepada sesiapa. Bila ada anak perempuan, ajar mereka mengenai sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat. Jangan biarkan anak berseorangan, sentiasa menemani mereka. Biar kita susah hari ini dari menangis di kemudian hari.


Bila ada anak perempuan, ajarkan mereka tentang harga diri. Ajar mereka untuk sayang pada diri sendiri kerana diri mereka sangat berharga. Bila ada anak perempuan terangkan kepada mereka tentang haid, dan kehamilan bila mereka sudah baligh. Usah malu untuk memberi ilmu. Bimbang mereka cari di tempat salah.


Bila ada anak perempuan, pilihlah rakan untuk mereka. Kenali juga siapa kawan mereka. Rakan yang baik menjadi penguat, rakan yang nakal menjadi pemusnah.

Kredit Foto: Google

Bila ada anak perempuan, selalulah diperiksa handphone mereka. Apa yang dikongsi, apa yang ditulis; ambil tahu. Bila tiba saat kau lepaskan mereka-hidup berjauhan, sentiasa ingatkan mereka. Jagalah diri baik-baik. Jagalah maruah diri, agalah maruah keluarga.


Biarlah orang kata kita kolot. Biarlah orang kata kita syadid bila ada anak perempuan. Berdoalah, mohon dijaga kehormatan diri mereka. Mohon dijaga keselamatan mereka. Moga-moga Allah jaga dan lindung.

Kredit Foto: Google