Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Bila Kawan Lama Tiba-Tiba Muncul, Reaksi Anda? Persepsi Pertama Gambarkan Diri Anda Adakah Positif Atau Sebaliknya.

Huda Hussain
19/10/2020 13:35 MYT
Berkawan biar beribu, berkasih biar satu. Ya, pepatah yang sering kita dengar sebagai simbolik betapa perlunya dalam hidup kita mempunyai kawan. Kawan ketika susah mahupun senang, pendek kata peranan insan bergelar kawan ini tidak kurang pentingnya dalam hidup kita. Hinggakan ada dalam kalangan kita yang lebih selesa mencari rakan terlebih dahulu jika berdepan dengan masalah berbanding ahli keluarga sendiri. Sama ada lelaki atau perempuan, semangat setiakawan itu sememangnya ada dalam diri masing-masing.


Cumanya mungkin sedikit berbeza apabila sudah berkahwin. Kerana lazimnya bagi kaum perempuan, kawannya setelah berumahtangga hanya suami dan anak-anak. Tetapi bagi kaum lelaki, mungkin tanggapan mengenai berkawan ini lebih mendalam. Hingga ada yang bersahabat hingga ke tua. Sungguhpun begitu, masing-masing mempunyai ideologi tentang perlunya seorang kawan disisi. Dan bagaimana pula situasi apabila pada suatu hari anda disapa oleh rakan lama yang mungkin sebelum ini tidak pernah berhubung. Tetapi tiba-tiba mencari dan cuba mendekati anda. Apa pandangan anda apabila berhadapan situasi berikut?


Kredit Foto: Google

Kawan Dalam Kesempitan Dan Kesusahan
“Tak tahu kenapa tapi tiba-tiba aku teringat kau. Aku rasa kau boleh tolong aku,” Ahh, sudah… Masaklah jawabnya kalau tak semena-mena mendengar pernyataan seperti ini kan? Sudahlah terkejut tiba-tiba muncul dalam hidup kita, tup-tup minta tolong pula. Okey, tarik nafas dalam-dalam dan cuba bersangka baik. Mungkin kawan anda ketika itu buntu lantas hanya terfikirkan susuk tubuh anda yang berupaya membantunya. Tidak salah jika mahu bantu dan lakukan mengikut kemampuan dan kapasiti yang anda sendiri fikir logik dan realistik. Ini masa susahnya, mungkin esok lusa hari anda pula. Siapa tahu kan? Tidak bermakna menjadi pak turut tetapi cukup sekadar menjadi pendengar dan cuba bantu sedaya yang mungkin. Kalau berlainan jantina tu, perlu lebih berwaspada lebih-lebih lagi yang sudah berumahtangga. Takut nanti perang entah ke berapa pula tercetus. Huhuhu…


Kawan Minta Hutang
Alamak… Mungkin sesuatu yang tak sedap didengar tetapi kalau bab hutang ini mana mungkin boleh buat-buat lupa kan? Lantaran itu, jika benar anda berhutang dengannya, selesaikan dengan cara yang baik. Lagipun, tidak elok hutang dibiarkan tertangguh dalam tempoh yang lama. Bukan apa, soal hutang ini adalah salah satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan apatah lagi dibuat main-main. Tak tenteram roh seseorang andai tiba ajalnya dan dalam keadaan hutangnya didunia masih belum dilangsaikan.

Kredit Foto: Google

Kawan Jual Insurans, Ejen Penapis Air Atau Ejen Pelaburan
Mungkin ini situasi biasa. Apabila dalam Whats App group ada yang PM tepi iklankan itu dan ini. Janganlah menolak dengan cara yang kasar ataupun mendiamkan diri. Jika benar sekalipun anda sudah menandatangani polisi insurans sebelum ini, pastikan cara anda menolak itu tidak membuatkan kawan anda berkecil hati. Sedangkan dia ‘struggle’ mahu ‘close deal’ atau mencapai KPI tertentu, tidak baik jika ia ditambah dengan reaksi anda sebegitu. Ataupun mungkin boleh cuba ayat ini, “Sorry bro, aku baru pasang water filter dengan ejen lain. Tak ada rezeki kau, lambat sikit aje” barulah sedap telinga dia mendengar. Tak gitu?


Kawan Ajak ‘Join’ Bisnes
Si hamba Allah seorang ini sudah teruja siapkan senarai rakan dan kenalan yang berpotensi untuk diajak menyertai perniagaan yang baru anda sertai. Kemudian, kiriman Whats App pun dihantar. Sebagai permulaan, ia diawali dengan bertanya khabar, kemas kini tentang perkembangan semasa hinggalah temu janji diatur. Dalam hati anda terdetik “Terkena dah aku ni. Aku mati-mati ingat dia ajak jumpa sebab dah lama tak berborak, lepak sama.” Dan dek kerana mahu bantu kawan, anda pun mungkin secara tidak sedar menurunkan tandatangan pada satu helaian dokumen sebagai tanda setuju. Tak pasal-pasal terjebak dengan bisnes MLM. Tapi kalau caranya halal mengapa tidak dicuba untuk tambah pendapatan sampingan kan? Hehehe…

Kredit Foto: Google

Tak Jawab ‘Call’ Sebab Takut ‘Scammer’
Memandangkan anda sudah ada pengalaman menjawab panggilan dari ‘scammer’, maka nombor yang tidak dikenali itu terus dibiarkan sepi tidak berjawab. Hinggalah ditakdirkan satu hari, anda terserempak dengan pemilik nombor tersebut ketika membeli-belah bersama suami dan anak-anak. Usai berbual singkat itu dan ini, nombor telefon pun bertukar tangan. “Laa, selama ni you ke yang call? Sorry sangat sebab sejak terkena call dari scammer I memang tak jawab nombor yang I tak save.” Haa, malulah sekejap kan? Tapi tak mengapa, ada juga logiknya alasan yang diberi. Atau muat naik saja aplikasi di telefon pintar yang boleh mengesan nombor scammer serata pelusuk. Kan lebih mudah.


Pokok pangkalnya, cuba bersangka baik dengan rakan lama yang tiba-tiba berhubung kembali dengan anda. Sama ada menerusi laman sosial seperti Instagram, Facebook, mahupun aplikasi sosial misalnya Whats App, Telegram dan lain-lain. Pasti ada sebab musabab mengapa mereka kembali mencari anda. Andai yang ikhlas mahu mengeratkan kembali hubungan silaturahim, mengapa perlu anda menjauhkan diri bukan? Tetapi seeloknya kalau berlainan jantina dan anda sudahpun berkahwin, maklumkan kepada pasangan untuk mengelakkan salah faham atau cinta lama bertaut kembali. Bahaya tu! Kalau saat anda ditimpa ujian, dalam kesusahan dan sebagainya; kawan-kawanlah yang boleh membantu dengan cara mereka yang tersendiri. Usah terus pinggirkan mereka, teruslah menabur budi dan bakti kerana andai ditakdirkan anda tiada lagi, pasti ada sesuatu yang indah dan baik tentang diri anda untuk dikenang mereka.
#Persepsi #Pendirian #Rakan Lama
;