Hari ini bermulalah negeri di Lembah Klang memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara, bermakna tiada lagi sekatan jalan raya antara negeri antara Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.


Dan, ada ura-ura juga berkata kemungkinan hujung bulan ini sekatan jalan antara negeri-negeri seluruh Malaysia juga akan dibuka. Ini pastinya memberi khabar gembira kebanyakan kita yang memang sudah lama menantikannya.


Tidak lagi memikirkan tentang kehendak melancong, rata-rata rakyat Malaysia lebih mahu pulang ke kampung halaman. Menziarahi ibu ayah, keluarga dan sanak-saudara yang sangat dirindui.


Jika benarlah ia akan berlaku dalam masa terdekat, ayuh mulalah rancang perjalanan untuk pulang ke kampung halaman nanti.


Dijangkakan kesesakan jalan raya pasti berlaku dalam hari-hari pertama pengumuman dibuat nanti. Ia akan mengalahkan kemeriahan balik kampung ketika musim perayaan kerana tidak kira apa bangsa pasti mengambil kesempatan ini untuk merentas negeri.


Makanya, aturlah masa yang dirasakan paling sesuai untuk memulakan perjalanan. Dapatkan informasi daripada jabatan trafik akan keadaan lalu lintas dari masa ke semasa. Sebolehnya elakkan singgah di mana-mana kawasan R&R melainkan dalam keadaan terdesak dan perlu.


Jika sekdar mahu makan-makan, sebaiknya siapkanlah makanan ringan di dalam kereta yang mencukupi untuk sepanjang perjalanan terutamanya bagi yang membawa anak-anak agar tidak perlu berhenti banyak kali.


Selain mengelakkan kepadatan orang, ia juga bagi menjamin keselamatan di kala kes positif harian masih tinggi di semua negeri. Apa lagi jika membawa anak-anak kecil yang pastinya tidak dilindungi vaksin.




Kredit Foto: Google



Luangkan Masa Berkualiti Bersama Keluarga


Hari tu, menangis-nangis, stres, tertekan apabila sudah lama tidak dapat berjumpa mak ayah di kampung. Sampai merayu-rayu kepada pihak polis mahu diberi surat kebenaran demi melampiaskan rindu itu.


Dan, jika sudah dapat merentas negeri tak lama lagi, pulang ke kampung halaman, gunakanlah kesempatan yang ada sebaik mungkin. Jangan disia-siakan. Jangan dibawa kelekaan sehari-hari pulang ke kampung.


Tinggalkan seketika ‘dunia tipu-tipu’ yang asyik melayan kawan-kawan di media sosial sehingga masa yang ada di kampung halaman berlalu begitu sahaja. Kesian Mak dan Ayah yang pasti teruja menanti kepulangan anak cucunya.


Rancanglah untuk mengambil cuti panjang agar dapat meninggalkan segala tugasan di pejabat sebersihnya. Jangan pula dibawa pulang kerja ke rumah mak ayah sehingga menganggu masa bersama mereka.


Adakan aktiviti berkualiti bersama mak dan ayah. Inilah masa untuk bertanya khabar secara bertentang mata, mengambil tahu kesihatan mereka, makan minum dan rutin hariannya.


Dalam pada itu jangan lupa menjaga SOP ya. Walau keterujaan dapat merentas negeri ke sana sini, jalani kehidupan normal baharu sebaiknya. Kita tidak mahu kegembiraan yang diraikan bertukar sedih kelak.