gaya hidup
“Bulu Rambut Panjang Sejengkal Warna Putih Keluar Dari Tekak Saya.…” Dato Awie Bongkar Kisah Pernah Disihir.
Living legend, itulah yang sering diperkatakan mengenai figura rock nan satu ini. Dato Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar bin Othman turut menghiasi paparan Media Hiburan Throwback kali ini. Pengalaman lebih 30 tahun dalam industri seni dan hiburan tanah air sudah cukup mematangkannya. Pernah terpalit dengan pelbagai kisah kontroversi, gosip panas, sebutlah apa sahaja yang tidak pernah ditempuhnya. Semua itu dilalui sepanjang detik mula bergelar penyanyi hingga hari ini. Banyak yang dikongsi Dato Awie dalam episod kali ini.
Kredit Foto: Astro Prima
'Wings Buat Passport Kena Izin Mak Bapa'
Artikel terbitan 1989 ini disifatkan cukup legend. Mana tidaknya, ketika itu masih cetakan hitam putih dan tidak berwarna seperti era selepasnya. Mula menceburi bidang nyanyian ketika berumur 17 tahun, waktu itu kumpulan Wings bakal ke Singapura mengadakan konsert. Dek kerana faktor umur yang belum melepasi 21 tahun, maka mereka perlu meminta izin ibu bapa untuk mengeluarkan passport.Kredit Foto: Astro Prima
'Bercita-cita Menjadi Anggota TUDM'
Artikel keluaran 1990 ini pula membawa penonton menelusuri cita-cita Dato Awie yang mahu menjadi juruterbang pesawat pejuang sejak kecil lagi. “Tak tahulah kenapa, tapi memang minat sejak dulu lagi. Saya ada perangai kalau sukakan sesuatu barang saya akan lukis. Jadi saya lukislah jet fighter, motosikal scrambler, chopper. Angan-angan saya inilah yang tak tercapai sebab dah terlibat dalam muzik. Sayang nak potong rambut, belajar pun tak berapa nak pandai, jadilah saya seorang artis.” Hurai Dato Awie terperinci.Advertisement
Kredit Foto: Astro Prima
'Wings Bayar Pampasan Pada Gersang'
Saat bingkai artikel yang diterbitkan pada 1990 ini bertukar tangan, Dato Awie dilihat tenang berkongsi kisah disebaliknya. “Sebenarnya dulu Jojet adalah anggota asal Wings. Waktu kami ada sedikit krisis dengan Black, jadi kami decide untuk ambil Jojet kembali. Urusan pampasan dan segalanya diuruskan BMG ketika itu. Mereka pun lihat Wings tengah dahsyat masa tu. Nak tak nak, mereka perlu selamatkan Wings dengan kemasukan Jojet. Kalau tidak kita terkapai, album pun susah nak jual, bisnes BMG pun akan susah. Saya yang pergi ambil Jojet satu malam tu. Nak dijadikan cerita, masa nak ambil dia saya accident, pecah kepala ni. Waktu tu saya nak pergi ambil dia kawasan KLCC. Ada satu kereta keluar dari jalan kelab malam. Mabuk agaknya. Dia keluar saja dan saya terpaksa elak. Kemudian saya terlanggar pokok besar, pecah kepala kena cermin. Saya keluar kereta, hampir nak bergaduh dengan pemandu tu. Tapi orang ramai tahan saya. Kebetulan waktu itu saya nak pergi tengok kakak di hospital. Panik jugalah kakak saya tengok muka saya berlumuran darah. Memang tragis nak ambil Jojet waktu tu,” hurainya bersungguh. Usai mendengar kisah itu, Radin terlebih dahulu meminta izin untuk memegang bicep Dato Awie. “Bukan apa Tok, baru-baru viral gambar 2001 dengan 2021. Kecoh di Facebook dengan gambar-gambar tu. Itu memang gambar betul ya? Ada gambar Dato boleh tunjuk?” Soal Raden bertubi-tubi seolah tidak sabar mahu mendapatkan kepastian. Sambil menunjukkan potongan gambar yang berada di telefon bimbit Dato Awie, lensa kamera terus memfokuskan kepada foto tersebut. “Yang beza cuma rambut hitam dan putih aje” ujar Raden.
“Ini penangan PKP. Bila duduk dirumah tak tahu nak buat apa, takkan nak menung, mereput, menerima penyakit-penyakit? Waktu PKP pertama dulu, memang terbaring saja saya di depan ni dengan isteri. Sikit-sikit peralatan gimnasium saya beli. Sampailah gim dah dibenarkan buka. Memang saya work out aje,” terang Dato Awie lagi.
Kredit Foto: Astro Prima
‘Ruhil & Awie Terima Tawaran Berlakon’
Mengimbas detik awal penceburannya dalam bidang lakonan, Aida Rahim dan Ella adalah antara gandingan heroin yang mula diperkenalkan kepadanya. “Tawaran filem dah ada tapi saya cuba belakon drama dulu kononnya sebagai latihan. Lepas dah cuba, kira okeylah. Kemudian Dato Yusuf Haslam ambil saya berlakon dalam Pemburu Bayang bersama Ella,” cerita Dato Awie selanjutnya. Seterusnya Radin membawa dimensi penonton untuk mengimbau semula penceburan Dato Awie dalam dunia lakonan. “Penyanyi yang boleh jadi pelakon dan sukses waktu itu. Itu yang kadang-kadang pelakon dulu macam ‘Kau nyanyi, menyanyi ajelah” kata Raden seraya mencetuskan minat Dato Awie untuk terus merungkai ksiah disebaliknya.
“Saya dulu memang dibenci oleh pelakon-pelakon. Sofea Jane tak suka saya berlakon. Fauziah Nawi tak suka saya berlakon. Saya sebut kat sini biar mereka tahu. Eman Manan pun tak berapa suka. Sampai dia cakap dengan Dato Yusuf Haslam ‘Abang boleh bayar saya macam mana Abang bayar Awie ke? Kita offer Sofea Jane berlakon Sembilu, “Saya tak nak berlakon dengan penyanyi” katanya waktu itu.” Hurai Dato Awie lagi. Dan apabila ditanya Radin sama ada dia tercabar atau dikatakan tidak cukup bagus untuk berlakon, “Of course lah saya rasa itu semua. Tapi yalah, bila Sembilu dah meletup gila-gila; saya pun ketawa kuat-kuat,” jawabnya sambil berdekah-dekah keduanya ketawa.Kredit Foto: Astro Prima
‘Awie Bergaduh Di Kelab’
Tatkala bingkai artikel ini ditunjukkan kepadanya, Dato Awie sekadar tertawa sinis. “Kisahnya waktu ni saya berjumpa kawan-kawan di sana. Dia orang security dalam kelab tu, jadi kami pun berbual. Kemudian, datang seorang hamba Allah ni. Mabuk agaknya dan waktu saya tengah berbual dia berkata uih Awie dengan cara yang agak kasar. Kemudian saya jawab sekejap ya. Dan isteri saya pun cakap perkara yang sama memandangkan waktu itu memang saya sedang berbual dengan rakan. Dan si dia ni bidas ‘Eh pergi la hang’. Entah macam mana, dia baling ais batu dan terkena isteri saya. Kawan saya tadi tarik dia dan cakap elok-elok. Rupa-rupanya mereka dah plan, dah ada orang tunggu di luar kelab dalam 30 ke 40 orang. Mereka pecahkan kereta saya dengan cangkul dan macam-macam lagi,” cerita Dato Awie lagi mengimbas momen hitam yang berlaku padanya ketika 2011.‘Awie Kena Sihir’
Artikel terbitan 2012 pula membawa kepada pendedahan secara eksklusif oleh Dato Awie mengenai dirinya yang pernah disihir. Mengakui bahawa ia adalah kisah benar, hingga hari ini dia memilih untuk lebih berhati-hati. “Kisahnya, 14 tahun dulu saya dah pernah kena. Berlaku dari awal tahun sampailah kes ini waktu konsert saya di Istana Budaya bersama Ella. Bulu rambut panjang sejengkal warna putih keluar dari tekak saya. Saya nak simpan terjatuh, kemudian saya batuk-batuk waktu tengah nyanyi. Saya lari ke belakang dan tarik keluar sebab saya rasa sesuatu tersekat. Selepas tu saya dah mula rasa tak best, ada sesuatu yang tak kena. Dan saya mula berubat sampai ke Bandung, Bangkok. Pendek kata di mana-mana yang orang kata bagus saya pergi. Yalah, saya ikhtiar. Saya tanya ustaz tu sampai bila keadaan saya macam ni? Kata Ustaz tak berkesudahan, sampai mati katanya. Kemudian saya panggil kiyai dari Indonesia datang ke rumah. Dua hari di rumah, lima kali saya kena hempap, cekik, lemas. Duduk dekat hall saya kena, duduk dekat bilik saya kena. Saya memang tak boleh buat apa-apa dah. Terbaring macam tu saja. Keadaan tu memang menyedihkan. Uish, tegak bulu roma. Saya tak boleh cerita benda ni. Kalau ikutkan banyak versi cerita ini yang orang sampaikan tetapi ini keluar dari mulut saya,” hurainya terperinci.
Begitulah sebahagian daripada pendedahan secara ekslusif Dato Awie selain mengimbas semula pelbagai momen pahit manis, sepak terajang dalam industri hiburan. Banyak lagi petikan artikel yang diimbas dalam Media Hiburan Throwback yang bersiaran setiap Rabu jam 9 malam di saluran Astro Prima bersama hosnya, Radin.
Must-Watch Video