Pertama-tamanya, InTrend Malaysia ingin mengucapkan tahniah buat Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha atas sambutan ulang tahun perkahwinan ke 56. Semoga Allah terus merahmati Tuanku berdua.


Dan antara banyak-banyak ucapan yang tertulis di media sosial, coretan daripada Chef Wan sangat mencuit hati. Dalam ucapan yang dimuatnaik beliau di akaun Instagramnya tadi, Chef Wan turut menyelitkan satu cerita yang sangat menarik, yang belum pernah dikongsinya sebelum ini.


Menurut coretan beliau, beberapa tahun lalu beliau pernah terserempak dengan puteri-puteri Tuanku Sultan ketika mengunjungi butik Stuart Weitzman di KLCC. Puteri-puteri merupakan peminat Chef Wan dan mereka sempat berbual sejenak sementelah semua pengawal pengiring siap bersongkok menunggu di luar butik.


Sebelum beredar, Chef Wan sempat menitipkan salam untuk dikirimkan kepada kedua Ayahanda dan Bonda mereka.


Tidak disangka-sangka, petang itu Chef Wan mendapat panggilan telefon daripada wakil Istana Brunei bahawasanya Tuanku berkenan untuk menjemput Chef Wan minum petang bersama Tuanku sebelum Tuanku berangkat pulang hari yang sama.


Mereka berbual santai dan kebetulan Chef Wan sedang dalam persiapan mengadakan majlis pekahwinan anak perempuannya, Serina. Tuanku sempat bergurau, tidak mahukah menjemput baginda ke majlis itu?


Jawab Chef Wan jujur, kalau dijemput Tuanku, bermakna beliau perlu menjemput Perdana Menteri waktu itu, Pak Lah, menteri lainnya, dan kemudian barisan kerabat di Raja lain juga. Chef Wan bimbang terpaksa menguruskan begitu banyak proktokol nanti. Tuanku ketawa.


Dalam sesi minum petang itu juga, Tuanku turut memuji temubual Chef Wan bersama CNN Talk Asia yang pernah ditonton Tuanku sebelum ini. Ujar Tuanku, “Very well spoken and it is you lah!”


Usai minum petang, sebelum berangkat, Tuanku sempat menitipkan sekeping sampul atas dulang berlapik kain kuning kepada Chef Wan.


“A small gift to my favourite Chef for Tahun Baru,” tutur baginda.


Nak tahu apa isi di dalam sampul itu? Atau lebih tepat lagi berapa isinya?


Menurut Chef Wan, beliau sangat terkejut apabila membuka sampul itu, ‘terbarai’ not Singapura dan Brunei Dollar! Dikira-dikira semuanya ada 40 keping not 1000 dollar! Hampir menyamai RM120,000. Inilah hadiah paling mahal pernah diterimanya.


Namun, cerita Chef Wan, sebanyak RM60,000 daripada wang itu disedekahkan ke Rumah Anak-Anak Yatim dan Cacat, manakala selebihnya dibuat belanja menjamu orang makan ketika perkahwinan Serina.


Cerita belum habis ya... Ada lagi...


Setahun selepas itu, Chef Wan mengadakan demo masakan di hotel di Brunei yang dihadiri Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Saleha. Chef Wan turut menghadiahkan buku masakan beliau kepada Tuanku Permaisuri.


Beberapa hari selepas pulang ke Kuala Lumpur, pada satu pagi Chef Wan dikejutkan dengan kehadiran Duta Brunei di depan pintu rumahnya. Dalam keadaan masih berkain pelikat, pintu dibuka.


Sebaik memperkenalkan diri, mereka menghulurkan dulang yang sama ketika Sultan Brunei lampirkan dulu kepada Chef Wan. Menurutnya, ada hadiah kiriman daripada Tuanku Permaisuri.


Ia adalah hadiah seutas jam tangan berlian Frank Muller bernilai ratusan ribu ringgit! Dikirimkan bersama sekeping nota ucapan terima kasih daripada Tuanku Permaisuri kerana hadir ke sana tempoh hari mengadakan demo masakan dan hadiah buku masakan itu.


Fuh..bersinar-sinar mata penulis membaca titipan kapsyen Chef Wan itu. Rezeki Allah datang dari jalan yang tak disangka-sangka dan tak pernah salah alamat. Tahiah Chef Wan kerana sentiasa menjadi kesayangan ramai. Semoga terus dirahmati dan diberi kesihatan yang baik.


A post shared by chef wan (@_chefwan58)





A post shared by chef wan (@_chefwan58)





A post shared by chef wan (@_chefwan58)