Syukur Alhamdulillah kerana dalam kalangan geng rapat Raden akhirnya Eliani telah bersedia untuk bertudung. Sesama kami tidak pernah sekalipun memerli jauh sekali memandang serong terhadapnya yang selama ini tidak bertudung. Walaupun sesekali terbit jua naluri jahat untuk menegurnya tetapi pada Raden biarlah. Kerana dia sudah cukup dewasa dan matang untuk memahami apa yang dituntut dalam agama. Raden akui, sejujurnya tidaklah terlalu warak jauh sekali alim dalam perihal ini. Sarung kaki pun tidak dipakai apatah lagi helaian baju semuanya tidak berkancing di hujung lengan. Dan dek kerana kegembiraan kami semua, maka Nisha (yang disifatkan sebagai pengerusi dan kak long) mengajak kami semua menemani Eliani ke Shah Alam. Memandangkan kawasan sekitarnya menawarkan pelbagai pilihan, maka Nisha memutuskan kami berkumpul di situ. Seronok juga sesekali mencuci mata bersama mereka sementelahan masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing.


“Kalau aku lebih suka yang instant. Sebabnya senang nak sarung. Almaklumlah untuk beginner macam kau yang belum handal lagi bab lilit-selit-belit tudung kan? Lagipun dah banyak tudung instant. Shawl pun tengok ni, material kain pun okey. Sesuailah untuk kau,” hurai Nisha selaku ketua rombongan cik kiah. Beria-ia dia menerangkan satu persatu kepada Eliani. “Eh kalau dah pilih tudung jangan lupa anak tudung sekali ataupun inner ni. Cari yang tak tebal sangat, tak pekak dan tak terlalu ketat. Bukan apa, semua ini supaya kau rasa selesa. Taklah merungut panaslah, itulah inilah,” giliran Zura pula menokok tambah.

Kredit Foto: Google

“Tak pekak? Macam mana tu?” soal Eliani kehairanan melihat wajah Zura yang sibuk memegang tiga ke empat helai inner tudung berlainan warna. “Macam ni, kau rasa sendiri material fabrik. Kalau macam ni tebal. Kalau kain jenis macam ni memang takkan longgar dan sampai bila-bila pun kau akan rasa ketat. Itulah yang dimaksudkan dengan pekak cik kak oi,” terang Zura lagi bersungguh. “Kau ingat senang ke Yani nak beli tudung? Kena pilih betul-betul,” ujar Raden sekadar menambah kebingungannya lantas kami tertawa. “Itulah yang pelik aku tengok dari tadi. Dah macam nak pilih laki. Yang itu panaslah, yang ini senang nak padanlah. Ish pening pula aku,” ngomel Eliani. “Alah Zura dan Nisha saja nak peningkan kau. Kalau ikut cara aku senang aje Yani. Pilih yang mana berkenan dan pilih warna-warna selamat macam hitam, putih, kelabu, biru gelap dan coklat. Bila dah lama-lama nanti pandailah kau bab tudung ni,” hurai Raden pula.


Bukan Eliani sahaja, kami berlima juga sempat membeli beberapa helai tudung di situ. Namun sesi membeli-belah tidak terhenti di situ sahaja. Kami berehat sebentar untuk makan tengah hari dan solat zohor. Dari satu kedai ke satu kedai, membeli air di jalanan dek kehausan, keluar masuk kedai yang berhawa dingin dan kedai biasa yang hanya berbumbungkan payung kanvas cukup memuaskan hati. Tiba-tiba sahaja Nisha bersuara, “Aku seorang sahaja yang perasan atau kauorang tak perasan eh?” soal Nisha yang baru sahaja melabuhkan punggung di atas kerusi sebuah kafe. Raden selamba sahaja menghirup minuman seolah-olah tidak mahu ambil kisah tentang apa yang cuba dipersoalkan. “Tu ke Sha?” soal Ayu seraya menjeling ke arah sekumpulan gadis muda (mungkin usia mereka dalam lingkungan awal 20-an) yang duduk tidak jauh dari meja kami. Kesemua mereka memakai tudung. Tetapi helaian tudung yang labuh lagi panjang itu sengaja disingkatkan seolah-olah mengikut trend terkini. “Memang trend sekarang tudung balut leher sahaja dan tak tutup dada?” soal sinis Nisha lantas membawa pandangan kami serentak ke arah mereka.

Kredit Foto: Google

“Yani, bab ni kau kena faham, hadam dan simpan dalam okey,” tegas Raden yang mula bersuara. Dia memandang kehairanan sambil riak wajah bertukar serius. “Baca ayat Al-Quran ini betul-betul. Aku sengaja screen shot untuk peringatan diri sendiri dan panduan kawan-kawan semua,” ujar Raden seraya menghulurkan telefon bimbit kepada Eliani. Antara lain maksud potongan ayat ke 59 dari Surah Al-Ahzaab menyebut, “Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anakmu dan ister-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka menghulurkan (melabuhkan) jilbabnya (tudung kepala yang labuh menutupi dada) ke tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenal dan tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang,” ujar Eliani membaca terjemahan maksud ayat itu lalu diperdengarkan kepada semua. Ada yang mengangguk tanda memahami dan ada juga yang terdiam mungkin berasa terpukul mendengarnya. “Baca ini pula,” sambung Raden sambil membuka screen shot seterusnya. “Sesungguhnya wanita adalah aurat. Apabila dia keluar (dari rumahnya), syaitan akan menjadikan dia cantik (pada pandangan lelaki). Dan dia akan jauh daripada kasih sayang Allah Taala melainkan apabila dia berada di dalam rumahnya. Hadis Riwayat Al-Tirmizi dan Ibnu Hibban” tutur Eliani dengan suaranya yang lembut.

Kredit Foto: Google

Semua terpaku. “Aku bukan nak aibkan sesiapa. Sebab aku percaya kalau aku jaga atau lindung aib seseorang, insya-Allah; Allah akan jaga aib aku. Tetapi sebagai peringatan kita bersama. Jangan pula ada yang terasa. Eh… Tapi kalau terasa itu baguslah kan? Hahaha,” tutur Raden sambil tertawa. “Itulah kita kan. Bila anggap tudung itu satu fesyen, perkara yang boleh dibolak-balik. Tak suka buka, bila insaf pakai, bila tak selesa buka semula. Sedangkan yang sebenarnya lebih banyak dan lebih dalam daripada itu. Memanglah tak salah kalau nak berfesyen tapi jangan tudung pun suka hati sahaja nak nampak rantai, nak tayang subang, nak tunjuk itu ini. Ish, sakit pula hati aku. Memanglah stail lilit-belit-selit aku tak ikut trend tapi aku selesa macam ni aje. Asalkan tak jarang, tak nampak leher dan tutup dada. Itu pun dah cukup,” hurai Nisha berjela. Ada benarnya leteran Nisha itu malah sejujurnya Raden sendiri cuba perbaiki kelemahan diri. Jika dahulunya menyarung seluar yang sendat, baju tidak menutup pinggul dan sebagainya namun dalam masa sama Raden akur jangan tunduk kepada nafsu semata-mata. Keinginan untuk kelihatan cantik di mata orang apa kebaikannya? Suka dipuji kecantikan diri, itu dan ini tetapi percayalah itu bukannya kekal lama.

Kredit Foto: Google

Benar Raden akui amanah wanita berhijab ini berat. Banyak perkara yang harus dijaga dan boleh dikatakan serba-serbi dari hujung rambut hingga hujung kaki, tutur kata, tingkah laku, peradaban. Ya semuanya tergalas di bahu kita. Tidak salah jika kita melihat dan merenung kembali ke dalam diri. Lihat semula apa yang dipakai. Tekuni dan amati mengapa Allah perintahkan wanita untuk menutup aurat. Seperti yang termaktub dalam Surah An Nur ayat 31 bermaksud "Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. "