Read
“Dahi Anak Terkoyak, Saya ditahan Wad, Air Ketuban Isteri Pecah! ” — Ini Sebab LAN SOLO Reda Terima Ujian
Oleh: Huda Hussain
DALAM kalangan lima ‘Lelaki untuk dicintai’ ini, Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamaed Yusof (33) adalah yang paling senior. Jika mahu diukur usia pengalamannya berbanding lima selebriti yang lain, Lan terlebih dahulu mengecap dunia glamor dalam skalanya yang tersendiri.
Akuinya jujur, biarpun dahulu mungkin hanya dipandang sepi atau ‘suam-suam kuku’ namun dia tetap percaya pada bakat yang dianugerahkan kepadanya. Terbukti percaturan dan kata putus untuk menyertai Gegar Vaganza musim ke-4 lalu telah membuka banyak mata.
Kejujuran dan keikhlasan selain keberaniannya untuk keluar dari zon selesa sebelum ini telah membawa nama Lan ke satu tingkat lebih tinggi. Bersama InTrend, Lan putar semula memori lalu yang kini digenggam erat sebagai azimat buat bekal pengalamannya untuk terus mendepani dunia hiburan era kini yang serba-serbi mencabar kekuatan nurani, kreativiti dan mentaliti.
Masih belum terlewat InTrend ucapkan tahniah kepada Lan selepas kemenangan meraih tempat ketiga dalam Konsert Gegar Vaganza (GV) 4 lalu. Kini Lan sibuk dengan apa?
Alhamdulillah, terima kasih. Kini saya sibuk dengan kerja sendiri dan memulakan kembali perjalanan karier seni dari bawah. Kerana memandangkan kini saya bergerak secara solo, maka umpamanya semua harus saya lakukan dari langkah pertama.
Inilah kali pertama saya tampil secara solo, kali pertama mahu terbitkan single secara solo. Dan kerana itulah saya melihat perlunya saya mula dari bawah, berdikit-dikit untuk menaiki tangga dan meneruskan perjalanan dalam industri.
Tidak salah untuk saya mulakannya semula kerana pada pandangan saya, tidak semestinya biarpun saya sudah lama dalam industri saya sudah berpengalaman dan berpengetahuan luas. Malah saya akui pengalaman dan perjalanan yang saya tempuhi sebelum ini banyak mengajar dan membantu daripada pelbagai segi.
Boleh Lan kongsikan, apakah perkara yang terlintas dalam kiran Lan untuk menyertai GV4?
Antaranya kerana saya mahu mencuba sesuatu yang baru, mahu mencabar diri sekali gus mahu tunjukkan kepada semua bahawa yang tahu sebelum ini saya hanya membawa genre rock dan hanya melihat diri saya dalam acara-acara ‘sebegitu’ sahaja.
Terdetik dalam hati, saya mahu buktikan yang saya juga boleh pelbagaikan nyanyian dalam genre muzik yang berbeza. Walaupun kelihatan janggal pada pandangan mata mereka (peminat dan masyarakat), tetapi saya tetap mahu mencuba dan berusaha ke arah memvariasikan genre muzik untuk saya bawa.
Bagaimana perasaan Lan jika InTrend katakan antara yang berani berfesyen ketika GV4 dahulu?
Pada saya, ia adalah refleksi kepada apa yang saya cuba tampilkan. Saya inginkan sesuatu yang baru dan kerana itu saya berani dan mahu mencuba apa sahaja kelainan yang disifatkan sesuai agar lebih berani ke hadapan.
Sejujurnya saya tidaklah arif dan pandai berfesyen. Serba-sedikit tahulah juga trend terbaru cuma tidak berani tampil ke arah itu. Alhamdulillah apabila menyertai GV, saya dikelilingi individu dan mereka yang positif untuk turut sama membantu.
Syukur juga kerana saya dapat membentuk satu pasukan yang tugas mereka membantu, memberikan panduan dan nasihat dalam soal penampilan saya sepanjang GV berlangsung.
Misalnya jika saya mahu cuba keluar kotak atau melepasi zon selesa (dalam soal berfesyen) saya perlu mendapatkan bantuan dan khidmat mereka yang berani dan positif untuk stailkan saya. Di situlah detik perkenalan saya dengan Nik Erwan Roseli yang bertanggungjawab menjaga penampilan saya sepanjang GV 4.
Dan Lan sendiri tidak takut untuk mencuba?
Ya, saya tidak takut mencuba kerana syukur ia memberi impak positif sekali gus mengembalikan keyakinan diri. Syukur dan gembira juga kerana ramai yang menyambut baik penampilan baru saya.
Misalnya dalam 100 orang, mungkin lima orang sahaja yang mengecam. Selebihnya memberi reaksi positif sekali gus membuatkan saya lebih berani melangkah ke hadapan.
Setuju atau tidak jika dikatakan, untuk kelihatan berfesyen mahu atau tidak bajet perlu diperuntukkan bagi memenuhi keperluan ini?
Saya setuju kerana bagi saya kedua-duanya saling berkait rapat. Untuk kelihatan lebih bergaya, pada saya perlu ada keberanian untuk mencuba. Dan kemudian barulah timbul soal penyediaan bajet. Saya peruntukkan dalam soal pemakaian ini secara berperingkat mengikut tema setiap minggu.
Malah hingga hari ini, misalnya jika menerima undangan sesi fotografi saya akan maklumkan kepada team saya untuk mengikut tema yang ditetapkan. Dan insya-Allah jika ada rezeki, andainya ada penaja yang sudi menaja pakaian yang sesuai dengan imej baru saya kini, secara tidak langsung saya akan kurangkan sedikit peruntukkan bajet untuk soal ini.
Pada saya ia umpama ‘pelaburan’ yang berbaloi sebagai usaha awal untuk meyakinkan sesiapa dengan penampilan dan imej baru saya. Biarpun kadangkala saya menerima komen dan teguran, saya anggapnya sebagai sesuatu yang membina untuk membantu saya ke tingkat yang lebih baik.
Kehidupan yang dilalui selepas GV4, banyak berubah mungkin?
Sangat banyak kerana impaknya cukup kuat terutamanya daripada segi penerimaan orang ramai yang melihat apa yang saya lakukan. Misalnya jika sebelum ini ramai yang tidak pernah lihat kebolehan dan bakat saya yang sebelumnya, mereka mula menyedarinya.
Banyak juga undangan-undangan yang sebelum ini tidak pernah saya terima namun selepas GV4, syukur semakin memperlihatkan perubahan yang ketara. Perjalanan solo saya juga bergerak dengan lebih baik dan tersusun.
Selain daripada itu yang paling ketara adalah nama saya, jika sebelum ini orang ramai selesa menyebut Lan Kristal tetapi saya kini dikenali dengan Lan Solo. Tidak boleh dinafikan kerana nama itu sudah cukup signifikan dengan saya apatah lagi sudah selesa dengan nama itu selama 18 tahun.
Hanya mereka yang mengikuti GV sahaja maklum dengan branding terbaru saya sekitar pertengahan konsert GV. Dan ia banyak membantu kerana secara tidak langsung orang ramai mula menerima branding terbaru.
Malah saya tidak menafikan platform GV memberi impak dan ia umpamanya jalan pintas kerana saya sama sekali tidak menyangka mahupun merancang untuk tampil secara solo.
Adakah kemenangan tempat ketiga dalam GV4 memberi kepuasan dan dianggap sebagai pencapaian terbesar Lan?
Ya, sama ada ketika bersama band dahulu mahupun secara solo, inilah antara pencapaian terbesar saya. Dahulu pernah masuk bertanding, namun untuk sampai ke peringkat separuh akhir pun tidak pernah.
Dan saya sifatkan pencapaian ini sebagai rezeki yang amat bermakna atas daya usaha, berkat doa ibu bapa dan orang di sekeliling yang mempercayai bakat saya. Jika mahu diimbas kembali, saban minggu yang saya lalui coretannya umpama sebuah drama yang tersusun daripada plot penceritaannya.
Bermula minggu kedua, anak saya sakit akibat dahinya terkoyak dan menerima jahitan. Kemudian ‘drama’ itu berterusan apabila saya direhatkan daripada kumpulan, saya jatuh sakit dan ditahan di wad.
Seterusnya apabila isteri saya yang kini hamil entah mengapa tiba-tiba sahaja air ketubannya bocor. Umpamanya episod ‘drama’ itu masih tidak terhenti di situ sahaja.
Namun saya melihatnya daripada sudut yang berbeza. Ia banyak membantu dan mengajar saya untuk lebih matang, bijak dan reda menempuhinya. Pada saya setiap cabaran dan dugaan itu hadir bersama kejayaan di sebaliknya dan Allah tidak menduga umatnya jika tidak sesuai dengan keupayaan hamba-Nya. Dan alhamdulillah ia menjadikan saya lebih kuat.
Jika Lan berasa ‘down’, apa yang sering dilakukan untuk meredakan tekanan?
Benar saya akui sebagai ketua keluarga mahu atau tidak saya perlu kuat demi isteri dan anak-anak. Jika mahu menangis sekalipun, dalam hati mungkin? Memang tidak berdosa, atau jatuh martabat seorang lelaki untuk menangis tetapi pada saya itu lumrah anak seni.
Apa jua masalah, cabaran atau halangan yang dilalui, ia perlu diketepikan atau disimpan. Kerana tugas kami hanya mahu menghiburkan orang ramai dan peminat. Apa jua yang saya rasai, saya pastikan ada isteri yang menemani kerana dia tahu bila masanya dia diperlukan.
Selama mana mahu bertahan dalam industri seni tanah air?
Selagi orang mahu, saya akan terus bertahan dalam industri ini. Kalau orang tak nak pun saya mahu mencari rezeki dan berkarya di belakang tabir sebab itulah minat dari dahulu.
Setelah 18 tahun bergelumang dalam seni muzik, apa kenangan pahit dan manis yang terpahat dalam memori?
Manisnya dapat berjumpa dengan Dato’ Awie kerana bagi saya dia seorang superstar. Bernaung dan mendapat didikan daripadanya bagi saya satu peluang yang tidak dapat saya lupakan.
Selain itu apabila terpilih sebagai peserta GV4, ia meninggalkan kenangan manis bagi saya kerana kami bekerja sebagai sebuah keluarga besar. Baik daripada hos, juri, rakan-rakan selebriti yang lain, team produksi dan kru, hubungan sesama kami erat.
Semua itu memberi pengalaman yang tidak boleh dibeli. Dan kenangan yang tidak manis atau masalah sebenarnya saya malas nak layan kerana kurang suka memikirkan masalah.
Pernah terbit perasaan menyesal memilih jalan ini sebagai cabang karier?
Kalau menyesal dari dahulu lagi sudah menyesal, hahaha... Pada saya kerjaya ini menyeronokkan dan mungkin jiwa seni sudah tertanam dalam diri maka apa jua kerja saya laluinya dengan fun.
Misalnya ketika awal pembabitan saya dahulu, seronok dan teruja apabila dikenali. Ada jalan pintas baik yang membantu memudahkan kehidupan. Namun saya tidak nafikan ada juga kekurangannya misalnya jika silap sedikit, orang ramai lebih mudah menghukum atau melihat kesilapan kecil itu umpama satu isu yang besar.
Namun apa yang lebih penting adalah, kerja yang saya lakukan itu berasaskan minat. Tambahan pula keluarga turut menyokong dan merestui pilihan kerjaya ini kerana asasnya sudah terpupuk sejak kecil lagi.
Dahulu keluarga saya memiliki kumpulan sendiri dan membuat persembahan di majlis-majlis perkahwinan. Dan apabila datang ke Kuala Lumpur, alhamdulillah rezeki berpihak kepada saya dan perjalanan membina nama dalam bidang seni berada di landasan betul.
Jika ada yang berpendapat untuk membina nama dalam dunia seni, pelbagai ranjau dan liku harus ditempuhi. Bermula dari bawah untuk terus mendaki tangga ke atas, komen Lan?
Setuju kerana saya sering teringatkan frasa, ‘cepat naik cepat jatuh’, banyak teladan yang boleh dipelajari. Namun jika cepat naik, pandai bawa diri dan ada sumber panduan yang betul, momentum itu akan berterusan.
Daripada sudut lain, jika meniti pengalaman secara bersendirian dalam industri, harus melangkah secara berperingkat agar dapat menimba ilmu dan mendepani pelbagai pengalaman. Dan dari situlah ia membuka mata dan minda kita untuk mengenal orang, bagaimana membuat pertimbangan yang wajar dan sebagainya.
Peristiwa dan pengalaman silam yang negatif juga banyak membantu untuk memperbaiki diri agar lebih bijak dan matang dalam membuat keputusan. Itu semua harus dilalui sebagai anak seni.
Sedikit mengenai rumahtangga. Dalam hubungan kalian suami isteri, siapa lebih dominan (membuat keputusan, menguruskan anak-anak dan sebagainya)?
Isteri banyak membantu daripada sudut perancangan, membuat tinjauan dan mengumpulkan segala maklumat dan sebagainya. Tetapi apa-apa pun saya yang akan membuat keputusan.
Apa perkara yang mencabar sifat kelelakian anda, boleh kongsikan?
Jika ada yang menyentuh isu keluarga kerana saya sangat sensitif mengenainya. Tidak kiralah ia meliputi aspek apa sekalipun kerana bagi saya keluarga adalah segalanya. Sementelah sudah punya tiga anak, saya sering memikirkan dan risau tentang mereka.
Kematangan seorang lelaki itu terletak kepada apa?
Segala keputusan yang diambil. Contohnya saya mahu memuat naik sesuatu di media sosial dan menggunakannya sebagai medium untuk menyampaikan sesuatu.
Dan impaknya, sama ada positif atau negatif semua bergantung kepada diri sendiri. Dan kesannya, janganlah muat naik yang bukan-bukan yang boleh menjatuhkan aib seorang lelaki.
Sukar atau tidak bergelar bapa dalam era kini? Mengapa?
Sukar,mencabardandalammasasamaperlulebihberwaspada. Apatah lagi semuanya kini hanya di hujung jari dan sudah menjadi lumrah, anak-anak kita tahu dan maklum dengan kecanggihan teknologi yang ada.
Justeru perlu sentiasa berdamping dengan anak-anak dan dalam masa sama perlu memantau pergerakan mereka. Seimbangkan mana yang wajar. Sejujurnya saya takut apabila memikirkan soal ini.
Dan pendekatan yang saya ambil adalah positifkan pemikiran mereka selain mendidik secara halus dalam bentuk gurauan misalnya. Dan sesuaikan dengan persekitaran dan tahap pemikiran anak-anak. Berkawan dan masuk ke dalam dunia mereka.
Memandangkan isteri bertindak sebagai pengurus dan sumber utama pendapatan keluarga tergalas di bahu Lan, pernah atau tidak terasa terbeban mengemudi segalanya?
Rasa terbeban itu tidak. Pada saya apa jua yang datang saya akan mengambilnya sebagai peluang. Saya melihat seperti ini, jika besar keluarga saya, maka insya-Allah besar jualah hendaknya rezeki buat kami seisi keluarga. Dan untuk itu saya sentiasa komited dan serius bekerja.
Misalnya jika ada tawaran berlakon, menghasilkan lagu, menulis lirik dan sebagainya saya akan lakukannya. Dan di samping itu, saya juga menyediakan back up plan misalnya saya kini memiliki butik sendiri malah apa jua yang mendatangkan hasil saya akan lakukan demi keluarga.
Sumber inspirasi yang menguatkan semangat Lan untuk terus aktif dan mengembangkan karier?
Keluarga kerana merekalah yang memberi suntikan semangat agar saya bekerja keras dalam apa jua bidang. Selagi boleh bekerja, kumpul aset misalnya saya akan terus lakukan demi mereka.
Misalnya beginilah, jika masa kini sekalipun kita sudah rasa struggle, bayangkan pula masa depan anak-anak kita kelak. Bukan niat saya untuk memanjakan mereka.
Contohnya, apabila mereka sudah dewasa sudah punya rumah dan kereta. Tetapi saya hanya mahu membantu mengurangkan bebanan mereka di masa hadapan yang saya sendiri tidak pasti bagaimana sukarnya.
Sepanjang hidup berumahtangga, apa perkara yang dipelajari dan asas untuk mengekalkan hubungan suami dan isteri?
Banyak sebenarnya yang dipelajari sepanjang perkahwinan tetapi pada saya antara yang terpenting adalah tolak ansur, saling menghormati dan jujur. Tangani konflik rumahtangga dengan cara yang lebih matang dan bersederhana dalam apa jua yang dilakukan.
Beza penyanyi dahulu dan sekarang?
Cukup ketara perbezaannya, misalnya dahulu jika mahu rakam sesebuah lagu mengambil masa selama tiga ke empat jam. Tetapi hari ini, dalam lingkungan sejam sahaja sudah memadai.
Namun itulah kelebihan dan kecanggihan teknologi yang ada pada hari ini. Ia memudahkan namun pada saya mereka yang pernah merasai susahnya sesuatu proses itu akan lebih menghargai apa yang dilalui sebelum ini. Dan bagi mereka yang sudah senang, mungkin itu yang sukar bertahan lama.
Saya sempat merasai zaman merakam lagu secara manual. Namun sekarang semuanya serba digital, boleh tambah effect itu ini. Dan tiada istilah auto tune, pendek kata ‘Kau nyanyilah sampai boleh!’
Jika berkemampuan sekalipun, kos untuk memperbetulkan tune itu (satu bahagian) menelan belanja RM1,000. Dan bayangkan pula jika banyak bahagian yang perlu diperbetulkan. Itulah peredaran dan perubahan yang saya lihat.
Pada saya ia berkait rapat dengan apa yang disajikan untuk memenuhi selera pendengar era kini. Berdasarkan pengalaman saya, pengikut di Instagram rata-ratanya muda remaja belaka.
Ada seawal usia lapan tahun, 12 tahun, 13 tahun, 14 tahun malah peringkat ‘pak cik’ pun ada. Dan sebagai penyanyi yang ‘cari makan’ dalam aliran ini secara sepenuh masa, sukar jika saya tidak mampu ‘menarik’ halwa telinga mereka yang sukakan sesuatu yang ringkas dan mereka gemari. Kerana inilah trend masa kini.
Dan kerana itu jugalah saya meremajakan diri dan penampilan untuk mengikut dan menepati selera peminat dan pendengar era kini. Walaupun saya akui, pengkarya masa kini berkarya atas kehendak dan minat pendengar.
Dan berbeza dengan era dahulu, pengkarya menghasilkan karya mereka lahir dari jiwa. Malah saya akui kepuasan itu kurang kalau mahu dibandingkan dengan era kini.
Namun kembali kepada asasnya, itu cara kerja dan pilihan yang ada. Mahu atau tidak perlu turutkan sahaja kerana cara inilah kami mencari rezeki.
Jika punya masa terluang, apa yang sering dilakukan bersama anak-anak?
Bawa mereka keluar, pergi bersiar-siar dan saya ikutkan sahaja ke mana mereka mahu pergi kerana memandangkan masa menjadi kekangan untuk kami berkumpul, maka saya tidak akan lepaskan peluang untuk bersama mereka.
Sehinggakan anak-anak pernah berkata, “Kan best kalau daddy mummy tak kerja, boleh kita keluar sama-sama.” Tetapi saya menerangkan secara baik mengenai keperluan saya keluar untuk bekerja dan semuanya dilakukan demi mereka. Dan pasti ada ‘habuan’ untuk mereka selepas saya bekerja.
Pernah terfikir untuk tukar genre daripada rock kepada sesuatu yang berunsurkan kerohanian mungkin?
Sejujurnya saya memang sudah terapkan unsur kerohanian dalam bentuk lirik lagu. Dan ia disesuaikan bergantung kepada konsep ketika itu. Kerana pada saya, itu cara atau pendekatan lebih mesra dengan peminat dan pengikut.
Harapan dan kata akhir daripada Lan untuk peminat?
Harapan saya agar jalan yang saya pilih untuk bergerak secara solo diterima baik oleh peminat. Saya akan cuba sedaya mungkin memperjuangkan karier seni saya dengan baik dan diterima oleh semua peringkat umur dan akan cuba sehabis baik memuaskan hati semua.
Must-Watch Video