Sudah lebih setahun kita menjalani kehidupan norma baharu sejak-sejak virus Corona ini tersebar di seluruh dunia. Daripada PKP bawa ke PKPB, PKPP dan balik ke PKP dan dipulih semula, kemudia naik balik. Begitulah yang perlu kita lalui selagi kes positif Covid-19 masih mencatatkan angka tinggi.


Rata-rata rakyat Malaysia akur dan patuh dengan garis panduan yang telah diumumkan kerajaan dalam menangani rantaian wabak ini seperti mematuhi kuarantin diri, pemakaian mask, penjarakan sosial, mendaftar di mySejahtera sebelum memasuki premis dan yang paling utama larangan merentas negeri.


Namun, yang menyedihkan apabila ada segelintir orang kita yang dengan sengaja menunjuk kedegilan dengan melanggar arahan SOP tersebut. Dan, lebih menjengkelkan apabila mereka ini terdiri daripada wajah-wajah popular yang pastinya mempunyai pengikut yang ramai. Apatah lagi jika pelanggaran itu dimuatnaik pula di media sosial menjadi tatapan umum.




Kredit Foto: Google



Bangga Dapat Rentas Negeri Dengan Alasan Remeh


Baru-baru ini tular pasangan popular yang baru berkahwin menayangkan aktiviti bulan madu mereka meretas negeri. Apabila ramai mempersoalkan bagaimana mereka boleh mendapat kelepasan untuk merentas negeri, beliau menjawab dengan bangga telah diberi surat oleh polis untuk melakukannya.


Pastinya ramai yang kurang senang dengan sikap tidak sensitif dan bertanggungjawab pasangan ini sedangkan dalam keadaan sekarang ramai yang berkorban untuk kekal patuh dengan arahan kerajaan agar tidak merentas negeri tanpa sebab kukuh.


Ada anak-anak yang ibu bapanya sedang menderita sakit masih resah di rumah kerana tidak dapat surat merentas negeri kerana tiada surat hospital. Ada suami yang risau keadaan isteri dan anak-anak yang tinggal di negeri sebelah kerana tuntutan kerja dan tidak mudah untuk merentas negeri tanpa alasan munasabah.


Manakala, ada yang dengan ‘bodoh’ dan pentingkan diri sengajap bagi orang lain panas hati apabila seronok dapat rentas negeri atas alasan yang langsung tak boleh diterima akal. Tidak boleh juga disalahkan pihak yang mengeluarkan surat itu. Mungkin ada unsur penipuan yang kita sendiri tidak tahu.




Kredit Foto: Gempak.com



Masjid Susah Nak Masuk, Acara Fesyen Siap Langgar SOP


Dan, kecoh juga sejak semalam apabila ada label fesyen tempatan yang menganjurkan ‘fashion show’ sempena memperkenalkan koleksi raya mereka dengan mempelawa barisan tetamu dalam jumlah yang buka sedikit.


Walaupun kerajaan sudah membenarkan majlis umum diadakan, namun ia harus dianjurkan dalam SOP yang ketat. Malangnya, penganjur majlis ini langsung tidak menghiraukan SOP sepanjang majlis berlangsung. Dapat dilihat tetamu yang hadir tidak mengenakan mask ketika menyaksikan fashion show tersebut.


Penjarakan sosial juga tidak diamalkan dengan betul. Lebih menjengkelkan apabila pemilik jenama itu sendiri dengan angkuknya membuat kenyataan, “Hari ni memang SOP tak ada langsung...” Adakah ini sesuatu yang harus kita banggakan dan terus sokong?


Ada netizen yang mempertikaikan adakah ini adil apabila sebelum ini mahu memasuki masjid pun ‘seksa’ seperti memasuki tempat haram gayanya. Malah, kita sanggup jarakkan saf ketika berjemaah demi SOP yang ditetapkan, sedangkan acara seperti itu dibiarkan duduk rapat-rapat. Yang mana lebih utama sebenarnya? Solat berjemaah atau fashion show itu?



Kredit Foto: Google



Ramai Mahu Tindakan Berat Diambil


Kalau rakyat marhain yang terlupa sekejap memakai mask pun sudah didenda ribuan ringgit atau terlewat mendaftar my Sejahtera ketika memasuki premis terus saja diberi surat denda serta-merta, bagaimana dengan mereka ini yang secara terbuka dan sengaja melanggar SOP, malah bukan sekali – berkali-kali!


Rata-rata netizen mahu mereka ini diambil tindakan berat dan jika boleh ditambah lagi satu denda iaitu mempamerkan tindakan melanggar SOP di media sosial dengan sengaja dan berunsur menghasut pengikut untuk meniru perbuatan yang sama, boleh gitu?


Kalau setakat denda yang sama diberikan kepada orang biasa, mungkin tidak adil juga kerana mereka jauh lebih berkemampuan dan kerana itulah mereka tidak kisah untuk menayangkan kesalahakan yang dilakukan. Mungkin jumlah denda itu boleh diputuskan mengikut pendapatan seseorang, amacam?


Berbalik kepada isu utama tadi, ya ini bukan perkara remeh. Ini isu negara melibatkan undang-undang dan keharmonian negara. Jangan diambil mudah. Kebodohan yang dilakukan itu bukan memberi efek kepada diri sendiri tetapi juga masyakarat sekeliling. Berubahlah menjadi manusia bijak dan berotak.


Belajar hidup bermasyarakat dan bertamadun. Jangan pentingkan diri sendiri demi meraih tontonan dan viral semata. Fikirkan pengorbanan orang lain yang mahu membantu kerajaan menurunkan kes positif Covid-19 ini dengan kekal melaksanakan SOP sebaik mungkin.