Kisah hidup Tengku Permaisuri Norashikin bagaikan cerita dongeng dulu kala, apabila seorang rakyat biasa diangkat menjadi Permaisuri bertakhta di istana Raja. Siapa sangka, kalau dululnya wajah baginda sentiasa ditatap di saluran berita setiap malam, kini baginda bersemayam di singgahsana.


Tengku Permaisuri Norashikin berasal dari Shah Alam, Selangor. Baginda menjadi suri hati Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj setelah diijabkabulkan oleh Mufti Kerajaan Negeri Selangor, YBhg. Sahibus Samahah Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid pada 31 Ogos 2016 di Masjid Diraja, Istana Alam Shah, Klang, Selangor.


Majlis pernikahan baginda berdua telah dibuat secara sederhana dan ringkas atas titah baginda sendiri. Pernikahan tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Selangor, YBhg. Dr. Anhar Opir; Imam Paduka Tuan, Mohd Rasid Mahful; mantan Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Selangor, YBhg. Datuk Abdul Majid Omar; ahli Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin, dan keluarga baginda.


Datin Paduka Seri Norashikin telah dilantik oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Tengku Permaisuri Selangor pada 8 September 2016, iaitu kira-kira seminggu selepas baginda berdua bernikah dengan gelaran Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor.


Sebelum ini, baginda yang juga bekas pembaca berita Radio Televisyen Malaysia dan pramugari Malaysia Airlines itu pernah berkahwin dengan Kapten Mustapha Kamal Halim dan mempunyai dua cahaya mata, Nur Amanda dan Adam Salleh hasil perkahwinan tersebut.


Kisah permulaan hidup Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Tengku Permaisuri Selangor diabadikan menerusi garapan penulisan yang cukup indah dalam buku bertajuk, My first year journey, from TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor: An Anecdotal Experience.


Buku mewah setebal 133 muka surat itu adalah nukilan kakak baginda sendiri, Datin Dr Norely Abdul Rahman dan dijual pada harga RM160 senaskah yang sebahagian hasil pembelian itu akan disalurkan kepada kempen Stray Free Selangor bagi membantu haiwan jalanan.



Tengku Permaisuri Norashikin adalah Penaung Diraja bagi kempen berkenaan yang dianjurkan oleh Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor sejak 2017. Tengku Permaisuri Norashikin bertitah bahawa penerbitan buku tersebut adalah bagi berkongsi pengalaman baginda menempuh perkara baharu buat pertama kali sebagai Tengku Permaisuri Selangor, khususnya membabitkan protokol istana dan adat istiadat dalam Balairung Seri.


“Tujuan saya adalah untuk turut membawa pembaca merasai pengalaman yang saya lalui dan memperoleh pengetahuan baharu mengenai adat istiadat, bahasa istana dan susur galur sejarah Kesultanan Selangor. “Saya berasa amat berbesar hati dan teruja dengan penerbitan buku ini walaupun pada masa sama, perasaan saya bercampur baur dan kadangkala berbelah bahagi. Apatah lagi, saya seorang yang tidak gemar untuk berkongsi kisah kehidupan dan peribadi sejak dahulu,” titah baginda.


Ketika menyandang jawatan sebagai pembaca berita di RTM, baginda pernah memenangi anugerah Penyampai Berita TV Terbaik pada tahun 2005 di Anugerah Seri Angkasa.


Dan, pada usia 50 tahun, baginda kelihatan masih anggun, awet muda dan setiap penampilannya ketika mencemar duli sangat mempesona. Baginda dilihat selesa dengan stail yang sederhana minimalis dan solekan ringan. Namun, setiap langkahnya sentiasa diiringi aura luar biasa sebagai Permaisuri Selangor yang bertakhta di hati rakyat.


Semoga Allah lanjutkan usian Tuanku dalam rahmat dan keberkatan Nya.
Ayuh, lihat koleksi penampilan dan kejelitaaan Tuanku.




































Sumber Gambar: Google