Dua figura yang sangat besar namanya dalam industri seni tempatan. Dato’ Awie yang gah sebagai penyanyi rock Malaysia dari era 80 an lagi. Dan, Dato’ Hans Isaac sebagai susuk berpengaruh di arena perfileman negara, baik sebagai pelakon juga produser dan pengarah. Dua sahabat baik ini disatukan Astro Warna untuk sesi luahan rasa secara santai di program Rumah No.107.


Lucunya, apabila dengan selamba Tok K, Roppie dan Joey bertanyakan perihal mereka yang pernah menjalin cinta dengan wanita yang sama iaitu Erra Fazira, kedua-dua mereka secara tenang menjawabnya. “Kami tak campur urusan masing-masing ketika itu. Kami ada waktu-waktu kami. Ia tidak mendatangkan masalah pun dalam persahabatan kami,” jawab Hans.


Awie juga mengakui semua itu cerita lama dan sempat berkongsi bagaimana dia mula mengenali Erra di sebuah kelab ketika Erra mula-mula memenangi Miss Malaysia dulu. “Erra tiba-tiba lalu di depan saya, menegur saya dan memberikan kadnya. Dan ya, sayalah yang memperkenalkan Erra kepadaYusuf Haslam untuk filem Sembilu,” cerita Awie tanpa selindung.



Kredit Foto: Astro Warna


Masih Membujang Atas Kesilapan Sendiri


Hans juga ditanya perihal status bujangnya sehingga ke hari ini. “Kesilapan saya adalah kerana saya selalu memikirkan hal orang lain. Saya ni sejenis yang suka bantu orang dan selalu memikirkan masalah orang. Cuma, setahun dua ini barulah saya belajar untuk memikirkan tentang diri sendiri.”


Beliau juga mahu bakal isterinya mampu menerima dirinya sebagai Hans dan bukan menukarnya sebagai orang lain. “Saya tidak mahu wanita itu menentukan hidup saya kerana saya tidak mahu apabila berlaku sesuatu nanti saya menyalahkan dia yang ia jadi begitu kerana dia menghalang saya berbuat begitu.”


Apabila ditanya adakah kini sudah punya teman istimewa? Hans tidak mengiya atau menidakkan. Katanya, hanya berkawan-kawan.



Kredit Foto: Astro Warna


Awie Pernah Bosan Dengan Industri


Apabila bercakap soal kejatuhan dalam hidupnya, Awie secara jujur memberitahu kehidupannya bertukar menjadi begitu sukar selepas keluar dari kumpulan Wings. Walau dikecam saat meninggalkan kumpulan yang pernah mengangkat namanya, namun Awie tidak kesal kerana tahu keputusannya itu adalah paling tepat apabila masing-masing hilang kepercayaan.


“Saya pernah kesempitan sampai berniaga minyak wangi. Saya menyewa di sebuah apartment kosong dan tidak pulang langsung ke rumah Mak. Sampai satu tahap saya sudah bosan dengan industri ini apabila kerap ditipu!”


Seketika, Hans menyampuk, “Maaf saya cakap, industri ini, sejak 25 tahun yang dulu lagi dah menyaksikan ramainya artis jatuh kerana sikap pengurus sendiri yang menipu duit artis mereka. Ini realitinya. Mereka menjadi gelap mata apabila melihat bayaran yang diterima oleh artis mereka. Itulah manusia apabila mula digoda dengan duit. ”


Tambah Awie, “Betul. Bayangkan pada tahun 1988, akaun kumpulan Wings pernah mencecah setengah juta dan ia hilang begitu sahaja sedikit demi sedikit dan apabila saya persoalkan, saya pula dirasakan salah,” kongsi Awie dengan riak muka jelas kecewa.



Kredit Foto: Astro Warna



Berkongsi Kesedihan Kehilangan Bonda Tersayang


Dalam riak wajah yang selalu serius itu, kedua sahabat ini sebenarnya berkongsi kedukaan paling dalam sepanjang hidup mereka. Permergian ibu tercinta adalah detik hitam yang memberi kesan amat perit dalam hidup Awie dan Hans Isaac.


“Kadang-kadang kita terlalu berasakan yang ibu bapa kita akan sentiasa ada dengan kita. Itu yang membuatkan kita tidak mampu terima apabila tiba-tiba mereka tinggalkan kita...” Ungkap Hans membuatkan seisi studio rawan dengan linangan air mata dua hero yang selama ini kelihatan garang dan seperti tidak berperasaan kala di hadapan peminat. Semoga kalian kekal tabah dan kuat menjalani ranjau bergelar anak seni.




Kredit Foto: Astro Warna