Dalam perjalanan hidup yang panjang ini, kita sebenarnya berjalan tanpa diketahui apa yang menanti di depan sana. Berserah. Just go with the flow. Betapa uniknya penciptaan manusia yang hanya diberi akal dan iman dalam menentukan corak perjalanan sehingga sampai ke destinasi yang dinamakan kematian.


Sepanjang jalan itu kita mungkin menempuh fasa menggembirakan, terkadang menyedihkan, ada pula berliku sehingga buat kita terjatuh berkali-kali. Persoalannya, adakah kita akan bangun atau mahu selamanya tersungkur di situ kemudian menyalahlan takdir semata?


Kisah pemuda bernama Mohd Hairi Tajuddin, 40 berasal dari Parit, Perak ini juga sangat menarik untuk dijadikan inspirasi. Bukan tentang berapa banyak kekayaan yang dimiliki atau harta yang bercetak namanya, tetapi bagaimana dia melalui ujian demi ujian hidupnya sebelum memutuskan apa yang terbaik untuk pengakhiran hidupnya kelak?


Hairi, awalnya belajar di Politeknik Ungku Omar. Kemudian, menyambung pengajiannya dalam bidang kejuruteraan di Universiti Teknologi Mara, Seri Iskandar, Perak. Setelah tamat belajar, dia memulakan kerjaya sebagai kakitangan kerajaan di Jabatan Kerja Raya (JKR) di Kuala Lumpur.






Bagaimana dari bidang kejuruteraan boleh cenderung ke lapangan fesyen dan perkahwinan?

Ketika bekerja di JKR, saya ada juga dapat tawaran berlakon. Ketika belajar di UiTM, saya duduk di hostel yang sama dengan ramai budak fesyen seperti Hazwani Osman, Hatta Dolmat, Rizman Ruzaini dan lain-lainnya. Jadi, saya selalulah tengok mereka menjahit dan tolong apa yang patut. Dari situ, saya adalah serba sikit ilmu dalam fesyen.



Bagaimana bermula dalam bidang fesyen itu?

Kalau nak diceritakan kisah saya dulu, memang panjang. Ketika berkhidmat di JKR, saya kenal dengan Tan Sri Norian Mai dan beliau bagi kepercayaan kepada saya untuk buka ladang kambing di Perak. Sejak itu, saya berulang-alik dari KL ke Perak. Lama-kelamaan, saya minta tukar ke Perak terus. Tapi, tiada rezeki saya di situ, perusahaan kambing itu tak menjadi.

Sekitar tahun 2008-2009, kebetulan, Hazwani nak mulakan perniagaan butiknya tapi tak cukup modal. Jadi, saya tawarkan diri untuk jadi share partner. Saya pun jual kandang kambing tersebut dan hasil duit itu saya laburkan untuk buka butik bersamanya di Saya nampak bidang ni ada peluang cerah, cuma waktu itu Hazwani hanya buat baju.

Apabila ada pengantin datang nak tempah baju, mereka mesti tanya tentang pelamin? Jadi, saya terfikir untuk menawarkan pakej perkahwinan. Saya bergelar wedding planner dengan membuka butik tambahan di Alam Damai. Alhamdulillah, saya diberi kepakaran untuk buat pelamin dan gubahan.



Bagaimana membahagikan masa antara kerja di JKR dan buat perniagaan pada waktu yang sama?

Itulah... Perniagaan waktu itu memang meletup-letup. Permintaan datang buat saya tak menang tangan. Akhirnya, saya buat keputusan untuk letak jawatan dan tumpukan sepenuh masa dalam perniagaan butik kahwin saya itu. Dipendekkan cerita, kita hanya merancang, segalanya ketentuan Allah.

Tak tahu di mana silapnya, selepas berhenti kerja, perniagaan saya pula jatuh merundum. Customer makin kurang. Kos meningkat, job tak ada. Saya terfikir, mungkin masa saya kerja dulu, saya ada gaji yang boleh menampung kos sara hidup saya. Entahlah... ujian ini buat saya terduduk juga. Mak telefon suruh balik kampung tolong dia berniaga kuih kerana dia dapat kontrak. Tapi, tak menjadi juga...







Mencuba nasib di KL – Perak, Perak – KL, akhirnya apa yang terjadi?

Selepas itu, Mak pula nak cuba nasib jual nasi lemak di KL. Saya pun bantulah Mak. Ingat lagi hari pertama jual nasi lemak, jualan kami hanya RM9. Hari ke dua, saya tambah bahan jualan dengan buat lebih banyak lauk-pauk, siap pasang payung. Ditakdirkan Tuhan, hujan pula. Habis masuk air semua lauk-lauk tu. Kami cuba lagi esok dan esoknya. Alhamdulillah, lama-lama tu dapatlah juga RM200 ke RM250 sehari.



Tapi, berniaga nasi lemak semata-mata di Kuala Lumpur pastinya tidak cukup lagi, kan?

Entahlah, waktu itu saya pun masih tercari-cari apa yang saya mahu dalam hidup saya? Setelah beberapa lama jual nasi lemak di KL, saya kata dengan Mak, rasanya tak boleh selamanya macam ni. Akhirnya, saya buat keputusan untuk balik ke kampung halaman kami di Parit, Perak pada tahun 2017. Mungkin sudah takdirnya saya perlu kembali ke akar umbi.



Maka, apa pula yang Hairi rancang waktu tekad pulang ke kampung memulakan hidup baru?

Saya gunakan apa saja kelebihan yang Allah beri kepada saya untuk dijadikan ‘modal’. Saya mula buat jualan kuih-muih, sehari dapatlah buat 100 ke 200 biji. Dalam sehari saya dapat simpan RM10, hahaha. Kemudian, ada orang offer sebuah kedai jahit di sekitar kawasan rumah saya. Saya pun apply di Majlis Daerah.

Alhamdulillah, dapatlah sewa kedai tu RM100 sebulan. Saya ambil tempahan basic saja. Berbezalah dengan tempahan menjahit di KL dulu. Orang kampung, apa sangat design yang mereka nak buat pun. Hehehe... Walaupun sekadar ambil tempahan biasa, tapi saya dapat juga menyimpan RM8000 dalam setahun tu. Kemudian, saya beli rumah kampung kecil berharga RM9000, saya duduk di situ dengan Mak.







Bagaimana situasi ketika pandemik?

Rezeki Allah itu pelbagai. Walaupun ketika PKP 1 dulu kita langsung tidak dibenarkan bekerja atau buka kedai tapi saya menerima begitu banyak tempahan kain kapan. Boleh dikatakan hari-hari ada orang meninggal. Dah, jadi punca pendapatan tetap waktu itu. Sampaikan pernah polis datang ke kedai saya arah tutup kedai tapi saya kata ini keperluan penting, saya jahit kain kapan orang meninggal. Terus dia beredar.



Bagaimana boleh terlibat dalam perniagaan bercucuk-tanam pula?

Kebetulan rumah yang saya beli tu di tepinya ada tanah yang agak luas. Jadi, waktu pandemik tu, saya isi masa lapang dengan bercucuk-tanam. Saya mulakan dengan tanam kelapa dan serai. Sebanyak 360 pokok saya tanam. Sayangnya, saya tak pagarkan tanah tu, jadi habis semua pokok kena sondol dengan babi.

Saya fokus balik menjahit. Ada duit, saya buat pagar. Kemudian, baru saya tanam bendi, terung dan labu pula. Cuma, renyahnya, tanaman ni kena disiram hari-hari dan dijaga betul-betul. Hari-hari saya update di Facebook perkembangan tanaman saya. Kebetulan, usaha saya itu dipandang oleh YB Cikgu Din yang datang beri sedikit sumbangan.

Saya juga beranika diri WhatsApp Pengarah Pertanian Negeri Perak, Puan Yeenti Othman untuk mohon bantuan buat saliran air yang dapat mudahkan saya menyiram tanaman itu. Alhamdulillah, ada saja orang yang baik-baik bantu mudahkan urusan kerja saya. Terima kasih juga kepada Ketua Pemuda, Ahamd Shamil.







Bagaimana dengan pendapatan sekarang?

Alhamdulillah, saya percaya rezeki Allah itu pasti ada selagi kita usaha. Tak kira di mana pun kita bekerja dan apa pun pekerjaannya. Pendapatan bergantung pada jenis tanaman. Sebulan boleh dapat RM3000. Kalau tanaman terung, untuk satu musim (empat ke lima bulan) boleh cecah RM40,000 hasil jualan. Dicampur dengan duit jualan kuih, menjahit, lebih dari cukup.



Bagaimana Hairi melihat kehidupan Hairi sekarang ini berbanding dulu?

Walaupun tak lagi terlibat dalam dunia glamor tapi saya tenang di sini. Kalau dulu jam 12 malam masih di atas jalan raya, tidur tak menentu. Otak serabut fikir fiil pelanggan. Sekarang, saya boleh susun jadual saya dengan teratur, saya ada masa rehat, beribadat dan banyak masa untuk bantu orang kampung yang memerlukan.

Saya tak menyesal dengan apa yang saya lalui sebelum ini. Saya fikir begini saja, apa yang Allah uji dulu tu adalah teguran lembut Allah untuk saya muhasabah diri. Mungkin dulu ada perkara yang saya lalai, mungkin saya sombong dengan apa yang saya ada. Dulu, masa saya pandu Honda CRV, boleh katakan kerap kereta saya bawa masalah, kena pecah dan sebagainya. Walapun saya berduit dan ada rumah kereta semua tapi, hati serabut. Kalau di sini, sambil berkebun, saya berzikir. Hidup atas tawakal kepada Allah.




Kita semua tahu rezeki itu datangnya daripada Allah swt, tapi tak semua kita mampu yakininya sepenuh hati. Pendapat Hairi?

Saya dulu pun begitu sehinggalah saya terdengar satu ceramah daripada Ustazah Norhafizah Musa. Katanya, kita selalu disarankan untuk membaca doa Nabi Yunus jika dalam kesusahan atau ditimpa musibah tapi adakah kita faham maksud sebenar doa itu. Lama, saya dalami maksud doa itu dan akhirnya saya dapat jawapan yang telus.

Doanya berbunyi, "Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim." Kenapa di hujung ayat itu ada perkataan ‘aku termasuk dalam orang yang zalim?’ Maksudnya, kehancuran yang berlaku ke atas diri kita sebenarnya atas perbuatan kita sendiri kerana kita suka melakukan sesuatu itu ikut kata hati sendiri tanpa bertanya kepada Allah terlebih dulu.

Maka, itulah balasannya atas kezaliman yang kita sendiri buat pada diri sendiri. Ketika di KL dulu pun, saya selalu amalkan doa ini tapi kenapa masih tak ada keajaiban yang berlaku? Sekarang baru saya terfikir sebab dulu apa pun saya buat, saya ikut rasa hati sendiri. Saya tak pernah nak minta petunjuk dari Allah.







Apa nasihat Hairi kepada mereka yang sedanng diuji dengan kehidupan yang penuh pancaroba ini?

Untuk bangun dari kejatuhan, kita perlu ubah cara berfikir kita. Seorang kawan dari Australia pernah hantar satu link suruh saya tonton tentang ceraham Prof Muhaya bagaimana nak ‘reset’ minda orang yang diuji. Dari situ saya tersentak. Selalunya, apabila kita diuji dan jatuh susah kita suka salahkan orang lain, kita fikir negatif saja. Sebenarnya, tiada siapa berhak mengubah atau menentukan hidup kita melainkan diri kita sendiri.

Usah fikir kita jatuh kerana orang dengkilah, orang buatlah. Fikir secara positif, ujian ini kerana Allah sayang, Allah nak jentik hati kita, Allah nak kita kembali mengadu kepadanya. Bersangka baik dengan ketetapan Allah. Hidup kita bergantung dengan bagaimana cara kita berfikir?

Banyakkan sedekah. Ini juga yang saya amalkan sejak pulang ke kampung dan bekerja sendiri. Untuk hasil tanaman labu saya ni misalnya, saya cuma sasarkan jualan hingga 60% sahaja, baki 40% saya infakkan untuk sedekah. Kalau ada orang kampung datang nak beli sebiji, dua, saya bagi saja. Percayalah, keuntungan dan kecukupan rezeki tetap ada walau sebanyak banyak sedekah yang kita beri. Kongsilah apa saja yang kita ada seperti ilmu.

Insya Allah, selagi kita usaha, Allah akan bagi. Sekali pun Allah tak bagi, bersangkalah bahawa ujian itu untuk menghapuskan dosa lampau kita. Saya doakan semua kita yang sedang diuji, diberi jalan keluar dan menjadikan diri ini lebih baik dari sebelumnya.