Read
Dari Malaysia, Singapura & London MIMPIKITA Terus Mencipta Nama — Kenali 3 WANITA di Balik Label Gah Ini
Oleh: Huda Husain
Kredit foto: @mimpi_kita
NURUL Zulkifli menjadi wakilan jenama MIMPIKITA untuk menyempurnakan sesi fotografi ini. Menyebut jenama pereka nan satu ini, pada kami tiada lagi yang berkisarkan anganan atau mimpi kerana MIMPIKITA sudah tersedia gah dalam kelas tersendiri.
Perincian dan ‘embellishment’ adalah sebahagian daripada nilai eksklusiviti hasil garapan idea dan cetusan inspirasi tiga adik-beradik ini. Dan InTrend teruja mahu melihat olahan segar mereka dalam menterjemahkan bintang Aries pada rekaan mereka yang bakal menghangatkan lagi pentas Anugerah Gala InTrend 2017 tidak lama lagi.
Sejarah kemunculan MIMPIKITA, kongsikan?
Terdiri daripada adik-beradik Nurul, Mira dan Syahirah Zulkifli. Kami tubuhkan jenama MIMPIKITA pada 2008 atas dasar minat dalam bidang fesyen walaupun tiada dalam kalangan kami yang berpengalaman dalam bidang ini.
MIMPIKITA bermula secara kecil-kecilan dengan menyertai bazar pada hujung minggu kemudian mula berjinak dalam rekaan batik hingga hari ini. MIMPIKITA mempunyai butik ‘flagship’ di Bangsar dan di Isetan KLCC serta di butik multi label di Singapura dan London.
Selain mereka busana, apa lagi bakat terpendam yang anda miliki?
Saya gemar memasak.
‘Signature’ rekaan yang masih dikekalkan dalam setiap rekaan dan koleksi?
Potongan MIMPIKITA mempunyai ‘signature’ tersendiri selain melalui rekaan cetakan eksklusif yang berbeza bagi setiap koleksi.
Jika bukan pereka fesyen, apakah pekerjaan anda kini?
Terlibat dalam bidang perniagaan makanan.
Di mana MIMPIKITA 10 tahun akan datang?
Tahun hadapan kami akan menjangkau 10 tahun. Sejujurnya berusia 10 tahun mengajar kami untuk menjadi lebih baik daripada pelbagai segi. Dan untuk 10 tahun akan datang kami berharap jenama MIMPIKITA menjadi jenama yang terkemuka di mata dunia dan mempunyai beberapa butik tersendiri di dalam dan luar negara.
Antara kota fesyen yang menjadi kegemaran kalian dan mengapa?
Semestinya Paris! Daripada pemakaian masyarakat ‘Parisian’, seni reka bentuk arkitek di mana setiap sudut menyumbang kepada inspirasi sebagai seorang pereka.
Perkara pertama yang dilakukan selepas bangun tidur?
Periksa telefon bimbit dan kembar saya!
‘Item’ yang membuatkan anda tidak boleh hidup tanpanya?
Telefon bimbit dan internet!
Jika boleh digambarkan perasaan anda ketika ini?
Berbesar hati kerana terpilih menjadi salah satu jenama untuk bekerjasama menyambut ulang tahun InTrend.
Jika diberi kuasa luar biasa yang mampu mengubah sesuatu, apa yang akan anda lakukan?
Kebolehan untuk melakukan pelbagai perkara dalam satu masa!
Bayangan terhadap zodiak yang diberi, bagaimana refleksinya dalam rekaan MIMPIKITA?
Aries - Menggambarkan wanita yang kuat daripada personalitinya. Kami memilih warna-warna terang melambangkan keberanian wanita Aries.
Sepanjang 12 tahun InTrend, apakah perubahan yang kalian dapat lihat?
InTrend bersama kami sejak awal penglibatan kami dalam industri fesyen. Seiring perkembangan industri fesyen tempatan, InTrend terbukti masih relevan melalui versi media cetak, kandungan digital mahupun media sosial. Tahniah InTrend!
Must-Watch Video