Jujurnya penulis masih belum mampu untuk ‘move on’ daripada terus menukilkan tinta tentang apa yang sedang melanda negara kita ketika ini. Sehingga artikel ini ditulis, sejumlah 31,000 mangsa banjir yang terjejas melibatkan enam negeri berada di pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Pahang, Selangor, Kelantan, Terengganu, Melaka dan Negeri Sembilan.

Sayu, sebak, simpati yang tidak berbelah bagi selain menjentik rasa keinsafan melihatkan setiap muat naik yang dikongsi mangsa banjir cukup meruntun emosi. Sana sini masih ramai lagi yang terperangkap menunggu bantuan tiba untuk membawa keluar mangsa dari rumah yang didiami.

Warga emas, OKU, ibu hamil, ibu berpantang, bayi, kanak-kanak dan ramai lagi yang terkandas dek banjir yang melanda. Ada yang duduk di atas bumbung menanti bantuan tiba, tidak kurang juga yang terperangkap dalam kenderaan di atas jalan raya dan banyak lagi momen yang penulis maklum ramai sudah melihatnya di media sosial.


Kredit Foto: Facebook Muhsin Zaidi


Sungguhpun begitu, seperkara yang harus dipuji dalam kalangan kita adalah kepantasan untuk bertindak menghulurkan dan berkongsi maklumat untuk menyalurkan bantuan. Sebut saja apa cara yang tidak digunakan. Berbekalkan ‘kuasa’ tular- dan pantasnya ia dikongsi menggerakkan banyak pihak untuk tampil membantu mengikut kemampuan masing-masing.

Sungguh, ada yang merungut bantuan lewat tiba di lokasi. Namun dek kerana bencana ini, banyak perkara tidak dapat dielakkan. Dan seperkara yang menarik minat penulis untuk berkongsi muat naik berikut adalah tentang keprihatinan setiap rakyat kita yang tampil membantu. Sumbangan makanan dan minuman, barang keperluan, pakaian, kutipan derma dan tabung bencana digerakkan – Segala kudrat dicurahkan atas nama kemanusiaan.


Kredit Foto: Facebook Muhsin Zaidi


Umpamanya cubit paha kiri, paha kanan pun terasa. Lantaran itu lihatlah perkongsian berikut. Semuanya dizahirkan atas makna penyatuan dan tingginya sifat mengambil berat sesama kita. Walaupun jauh nun dari Melaka, Pulau Pinang misalnya; mereka tetap gagahkan diri dan usaha sedaya yang mampu.

Kredit Foto: Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ni


Satu usaha murni yang sememangnya wajar diteruskan pada masa akan datang. Dan inilah antara hikmah musibah. DIA uji untuk semua agar ada yang dapat merasai manisnya apabila berkongsi, eratnya rasa kasih dan sayang atas nama kemanusiaan. Betapa rakyat kita masih saling bantu-membantu kala ditimpa ujian sekali gus bersatu hulurkan bantuan.


Kredit Foto: Facebook Hafis Hussain


Malah lebih mengharukan apabila saudara kita dari Gaza turut sama menitipkan doa dan menunaikan solat sunat demi mendoakan kesejahteraan mereka yang terjejas dek banjir besar ini. Allahu… Didoakan dari tempat yang mulia tinggi darjatnya. Moga asbab doa-doa kita yang ditimpa musibah ini akan bisa menyatukan hati-hati kita agar lebih mensyukuri akan kurniaan nikmat-Nya. Betapa kerdilnya kita apabila diuji sedemikian rupa.

Ia dikongsi oleh Nadir Al Nuri salah seorang sukarelawan dan NGO yang berpusat di Gaza. Tulisnya menerusi Telegram; Mereka sangat menghargainya bila kalian menyumbang dan mendoakan mereka tatkala mereka diperangi dan dizalimi.

Kredit Foto: Telegram Nadir Al-Nuri


Sebab itu mereka mendoakan kalian apabila mendengar bahawa kalian pula sedang diuji. Jemaah Masjid Baghdad di Kem Pelarian As-Syati', Gaza mengadakan solat sunat khusus mendoakan mangsa banjir di Malaysia dan mengharapkan ujian ke atas rakyat kita diringankan, usai solat Zuhur berjemaah sekejap tadi.

Solat hajat dan doa diimamkan oleh Syeikh Saqr Zaim, imam masjid. Semoga doa mereka di bumi berkat ini meringankan beban kalian. Pihak CGM juga sedang mengutip sumbangan derma kilat untuk mangsa banjir. Klik https://ezy.la/bantubanjir untuk menyumbang apa yang termampu. Ujian mereka, ruang untuk kita mengetuk pintu syurga.

Kredit Foto: Telegram Nadir Al-Nuri


Betapa hebatnya kuasa Sang Pencipta saat berkata Kun Faya Kun, maka jadilah ia. Terlalu banyak yang perlu kita insafi, pelajari dan perbaiki daripada teguran kecil ini. Moga masih ada ruang dan kesempatan masa untuk kita benar-benar berubah dan memohon keampunan atas segala kekhilafan yang kita lakukan. Walau diuji hanya daripada air tetapi kesannya cukup mendalam dan berbekas dihati. Hujan yang sama, ujiannya berbeza. Moga dengan sinaran dan teriknya kemunculan mentari beberapa hari lagi tidak akan membuatkan kita lupa, leka dan alpa untuk terus menginsafi diri.