Personaliti

"Dengan Siapapun Orang Nak Lagakan Saya. Baca Tajuk Sebegini, Mulalah Orang Berkata” – Linda Onn

gempak
Huda Hussain
05/05/2021
07:19 MYT
Sponsor Banner
"Dengan Siapapun Orang Nak Lagakan Saya. Baca Tajuk Sebegini, Mulalah Orang Berkata” – Linda Onn
Suara emasnya pernah melatari arena penyiaran radio dahulu. Hinggakan radio dan dirinya disifatkan cukup sinonim dan dekat dihati. Bukan sahaja dirinya tetapi juga peminat dan pendengar setia di semua stesen radio yang pernah mendapatkan khidmatnya. Itulah Linda Onn, seorang usahawan juga pernah berlakon suatu ketika dahulu. Dan gandingan Radin selaku hos yang juga penyampai radio Era, bagaikan menyatukan detik pertemuan antara senior dan junior dalam dunia penyiaran radio. Walaupun suaranya tidak lagi kedengaran di mana-mana corong radio, Linda kini lebih selesa menguruskan perniagaan selain memfokuskan kepada keluarga.
Menjadi subjek utama rancangan Media Hiburan Throwback untuk mengimbas kembali momen suka duka, pahit manis selebriti jemputan saban minggu yang pernah menghiasi paparan majalah hiburan terkenal ini. Dan belum sempat Radin menunjukkan artikel pertama, “Oh no, oh no. Terus berpeluh ni” tutur Linda singkat seakan berdebar bercampur teruja mahu lihat apa agaknya koleksi fotonya yang pernah diterbitkan Media Hiburan mengenai dirinya.
‘Linda Onn & Halim Pilih Warna Millenium’ “Photoshoot raya agaknya ni?” agak Raden seraya menguji memori Linda yang masih berteka-teki mungkin itulah sesi fotografi yang menggandingkannya dengan penyampai radio Halim Othman. “Kalau dengan Halim must be somewhere early 2000,” ujarnya sambil melihat fotonya yang menggayakan kebaya rona sedondon dengan Halim Othman. “Linda join radio waktu umut 21 tahun kan? Sekitar 1998. Dan siapa yang buka radio Era waktu tu memang kenal oh inilah suara dia. Dulu kerap juga wajah Linda dan Halim digandingkan bersama. Sebab apa agaknya ya?” soal Raden pula. “Di Era dulu, Halim dan Linda bujang. Dia buat pagi. Lepas dia punya show, is my show. Jadi orang macam nak ‘kenen-kenen’kan begitulah. Tapi antara kami memang tiada apa-apa. Saya anggap dia macam abang sendiri. I love him so much, tapi memang macam my big brother yang selalu beri nasihat” jelas Linda.
‘Linda Senang Hati Bila Bebelnya Berfaedah’ Mendengarkan Radin membaca tajuk artikel seterusnya, melegakan hati Linda seketika. “Nasib baik, ingatkan pasal gosip tadi,” kata Linda sambil sesekali tertawa kecil. Foto yang diambil dalam keluaran artikel ini pula adalah ketika Linda bertugas di radio Era. Celah Radin pula, “Posisi Linda ni dulu dan sekarang saya pula duduk. Sejujurnya dulu sampai sekarang saya buka radio Era saya rasa macam eh dulu aku dengar Linda Onn dengan Halim Othman yang kerja. Sekarang ni Alhamdulillah rezeki aku pula kerja sini,” kongsi Radin seraya bersyukur kerana berpeluang merasai apa yang perah dilakukan senior nya dahulu. “Masa tu awak umur berapa tahun?” soal Linda. “Tahun 1998 darjah dua,” jawab Radin ringkas. “Okey, rasa tua la hai” ujar Linda pula seraya tertawa keduanya.
Berbicara lanjut mengenai petikan artikel ini, bagi Linda penceburannya dalam penyiaran radio bukanlah mahu mengejar populariti, dikenali, hingga ditemubual wartawan, terpalit dengan gosip dan sebagainya. Niatnya ikhlas dan jujur mahu menjadi penyampai radio. “Tapi dari masa ke masa ada wartawan datang minta untuk interview. Macam apa yang kita buat sekarang nilah.” hurainya terperinci. Bagi Radin pula, tidak keterlaluan dikatakan dengan kemunculan Halim Othman dan Linda Onn, ia sama sekali telah mengubah dimensi pendengar mengenai penyampai radio. Penyampai radio telah mula dikenali sebagai pelakon, pengacara dan lain-lain lagi. “Sejak dari itu, bos kita waktu itu Kudsia Kahar tidak lagi gelarkan penyampai radio tetapi personaliti Era.” jelasnya lanjut.
‘Gosip Buat Linda Onn Tertekan’ Tempias glamor selebriti turut dirasai Linda sepanjang kariernya sebagai penyampai radio. Bakat yang ada diluaskan ke lapangan lain. Dia pernah muncul sebagai pelakon antaranya dalam filem Soal Hati, Soalnya Siapa dan banyak lagi. Dan rentetan itu, terpalit jua kontroversi dan gosip mengenai penyampai radio bertubuh langsing dan tinggi lampai ini.
Mengimbas kembali tajuk artikel ini yang menampilkan Linda dalam busana rona fuhscia pink, ia diambil ketika pelancaran produk. “Waktu ni wartawan datang cover story produk sikit aje. Selebihnya gosip, hahaha” ujarnya memulakan cerita. Menyifatkan gosip percintaan cukup membuatkan dirinya tertekan, dia mengakui semua itu bukanlah apa yang dimahukannya. Sebaliknya, title public figure dan bergelar personaliti radio membuatkan dirinya turut menjadi buruan media yang mahu ketengahkan gosip mengenai dirinya.
‘Kualiti Lebih Penting Daripada Populariti’ “Dakwaan Nana lebih menonjol… Aiyo….” ujar Linda singkat sambil Radin mencelah ketika itu Nana Mahazan baru saja keluar daripada Akademi Fantasia (AF) dan kemudian menyertai radio sebagai penyampai. “Persaingan yang berlaku dalam radio Era waktu itu,” ulas Radin. “Susah nak cakap. Dengan siapapun orang nak lagakan saya. Dengan tajuk sebegini, mulalah orang berkata Linda tak puas hatilah, Linda tak sukalah. Sedangkan I dengan dia okey saja,” ceritanya lagi.
Dan apabila ditanya mengenai penerimaan Linda mengenai orang yang bukan penyampai radio masuk dalam dunia radio. Contohnya seperti sekarang, pelawak dan ada penyanyi yang sudah menceburi bidang radio. “Linda tak ada masalah tentang soal ini. Bahkan waktu pelawak mula ‘masuk’ radio, saya berada disitu, merasai dan melihatnya. Saya ingat lagi waktu itu saya interview Apek dan dalam masa sama perlu baca info trafik. Jadi saya minta Apek tolong bacakan info trafik itu. Dan Apek pun baca dengan gayanya yang kelakar. Daripada situ bos saya pun berkenan maka bermulalah pelawak menjadi penyampai radio." kongsi Linda.
Mengimbau semula zaman kegemilangannya bergelar penyampai radio, seakan tiada apa yang menjadi kekangan atau kesukaran. Bahkan dari konti radio, dia mula berjinak-jinak dengan bidang pengacaraan juga lakonan. “Kalau dulu mereka kata Linda weekend ni on air? Memang tiada masalah, Linda on aje. Yalah Linda Onn kan. Hinggalah selepas selesaikan kerja-kerja di radio kemudian ke televisyen; bos saya Kudsia ingatkan saya bahawa radio tetap nombor satu. Dan menjadi tanggungjawab saya untuk maklumkan kepada pengurusan kalau ada terima tawaran berlakon, mengacara dan sebagainya. Memang kena clear card. Radio tetap menjadi keutamaan bagi saya,” terangnya mengimbas kenangan lalu.
‘Linda Onn Ready Ke Mahkamah’ “Alamak, apa ni?” soal Linda tatkala Radin membacakan tajuk rrtikel yang diterbitkan pada 2010. “Sebenarnya sepanjang karier Linda ada beberapa orang yang cuba membawa, memanjangkan kes ke mahkamah. Tapi bagi Linda ini semua asam garam tapi disebabkan kita ni personaliti dan tempias selebriti tu membuatkan Linda tak senang duduk. Apatah lagi orang bercerita tentang diri kita. Tetapi beberapa perkara itu lenyap begitu saja walaupun ada juga kes yang sememangnya berkaitan dengan radio dibawa ke mahkamah. Alhamdulillah semua berakhir dengan baik,” terang Linda bersungguh.
‘Setakat Popular Dan Gedik Semua Orang Boleh Buat’ “Kalau kenyataan macam ni sampai sekarang pun saya masih bercakap benda yang sama. Nak pula anak-anak zaman sekarang ni, ada media sosial yang boleh mereka bersosial dan menonjolkan ‘gedik’ mereka itu. Semua orang boleh buat. Jadi adakah mereka boleh beri manfaat kepada yang menonton, menyampaikan sesuatu yang baik, soalnya ada ke tidak? Tapi tak dinafikan, ada yang ‘gedik’ tapi dalam masa sama berisi, ada ilmu, mesej yang baik untuk disampaikan,” ulasnya lagi sambil membaca beberapa potongan ayat daripada kenyataan yang pernah dikeluarkannya dalam artikel ini. Betapa dia mengalu-alukan kedatangan penyampai radio baru, generasi selepasnya seperti Fara Fauzana, Nana Mahazan, Nila Kurnia dan ramai lagi. Tentang kelainan yang ada pada masing-masing menambah variasi dan ia diraikan dengan cara tersendiri.
‘Keluarga Halang Linda Hijrah Ke Kuala Lumpur’ Mengimbas semula penghijrahannya dari Johor ke ibu kota, pada awalnya ia tidak direstui keluarga. “Saya ingat lagi waktu tu di tangga, emak saya macam dalam drama. Dia menangis sambil berkata Linda kenapa nak tinggalkan ibu, tinggalkan rumah, itu dan ini. Memang macam dalam drama. Tapi cita-cita Linda dari kecil lagi memang nak jadi deejay radio. Kalau orang lain cita-cita nak jadi doktor dan lain-lain tapi saya memang nak jadi penyampai radio sejak dari umur 10 tahun lagi. Memang dah tulis itulah cita-citanya. Waktu dulu orang dengar radio dan kalau nak dengar semula lagu akan rakam guna tape kan? Tapi Linda rakam suara deejay. Benda ni saya buat sejak darjah lima. Dan berulang kali saya buat, praktis sampai lepas SPM. Hinggalah lepas SPM saya terus jadi deejay radio sebab dah berlatih lama waktu tu.” ceritanya mengimbas kenangan lalu. Bagi Linda Media Hiburan banyak membantunya dalam kerjaya. Positif dan terbuka mengenai kehendak dan keperluan media ini yang turut menulis perihalnya, gosip dan kontroversi, Linda cukup profesional tentang soal ini sekali gus merakamkan penghargaan dan terima kasih diatas sokongan yang diberi.
Ikuti lebih banyak momen throwback Linda Onn bersama barisan selebriti jemputan setiap minggu dalam Media Hiburan Throwback yang bersiaran di Astro Prima, Rabu jam 9.00 malam.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live