gaya hidup

Di Hujung Usia 30 – Mula Muhasabah, Tak Suka Bergaduh, Jaga Kesihatan. Bagus, Tanda Kamu di Landasan Tepat.

gempak
Afiza Kamarulzaman
19/03/2021
15:44 MYT
Sponsor Banner
Di Hujung Usia 30 – Mula Muhasabah, Tak Suka Bergaduh, Jaga Kesihatan. Bagus, Tanda Kamu di Landasan Tepat.
Kalau dulu, ikut darah muda, hati ini sentiasa membara. Pantang dicuit sikit, pasti nak berdebat, bercakaran dengan sesiapa saja yang melukakan hati. Hidup masih terumbang-ambing mencari hala tuju. Bersosial sana sini, tanpa ingat waktu. Tidur tak ikut masa. Kesihatan pun tidak dipeduli.
Maka rugilah bagi kamu yang meneruskan kehidupan sebegitu walau usia semakin lama, semakin meningkat. Melewati 20 an, kemudian menjengah ke 30 tahun, seterusnya berada pada penghujung 30 an. Jika waktu ini, kamu masih leka dengan duniawi yang tak pernah mampu memuaskan hati, maka rugilah pengakhirannya nanti.
Ada yang kata pada usia itu umur masih muda, maka enjoy dan raikan hidup ini selagi ada nyawa. Aduhai. Tahukah kamu bila waktu detik nafasmu akan berhenti? Ada ramai kenalan, sudara-mara yang dipanggil kembali ke pangkuan Illahi pada usia yang sangat muda. Ada yang belum sempat berumah tangga atau beranak-pinak.
Kredit Foto: Google
Persiapan Pada Hujung Usia 30 Tahun
  1. Dekati agama – itu yang sebaiknya. Dan sebenarnya, mendekati agama itu wajib dilakukan seawal usia lagi dan bukan sudah di sisa waktu yang dipinjamkan Allah. Namun, jika baru tersedar pada usia yang sudah matang, maka kamu belum terlewat. Tiada istilah lambat untuk kembali sujud kepada yang satu dan membanyakkan amalan untuk bekalan akhirat.
  1. Elakkan permusuhan – walau dengan pasangan, darah daging atau kawan-kawan, jiran tetangga misalnya, sudah-sudahlah bertengkar, bermasam muka atau bermusuhan. Eratkan kembali silaturahim yang renggang, suburkan hubungan yang layu dan bersangka baik dengan semua orang.
  1. Usah kejar dunia – dunia ini makin dikejar, makin jauh perginya. Tidak salah untuk berimpian atau bercita-cita tinggi pada apa jua peringkat usia. Namun, ukurlah pada kemampuan dan jangan sampai impian itu memadamkan ingatan kita pada alam yang kekal di sana.
  1. Tinggalkan perkara lagha – capai matlamat yang jelas dalam hidup, tinggalkan keseronokan berjimba atau berlibur dengan nikmat dunia yang sementara. Bukan tidak boleh berseronok dengan nikmat Tuhan, tetapi berpada dan jangan sampai buat kamu leka atau membazir duit, masa, tenaga dan umur untuk hanya mengadap keseronokan, aktiviti sosial juga media sosial!
  1. Bangun dan tidur awal – kurangkan masa tidur dengan banyakkan beribadat pada sepertiga malam. Untuk itu, awalkan masa masuk tidur. Inilah yang dianjurkan Nabi agar memanfaatkan masa malam untuk berehat dan bukan lagi berada di luar rumah dengan perkara-perkara lagha.
  1. Utamakan kesihatan – jaga kesihatan sebaik mungkin. Banyak penyakit mula menjengah kita pada usia 40 tahun. Awasi pemakanan, banyakkan senaman dan jalani gaya hidup sihat.
  1. Banyakkan sedekah – banyak hikmah daripada amalan bersedekah. Selain dimurahkan rezeki, amalan sedekah dapat membersihkan harta, hati dan umur kita menjadi lebih berkat dan menghapuskan penyakit dalam badan.
  1. Jagalah kata-kata – buruk benar rupanya kalau orang yang sudah meningkat usia masih berbual lagak budak-budak, bertempik atau berbahasa kesat. Maka, hormatilah usia sendiri dengan berkata yang baik-baik.
  1. Berbelanja seadanya – dan banyakkan menyimpan untuk masa depan. Bukan bermakna kita tidak percaya pada takdir, namun sumber kewangan juga perlu stabil apabila usia semakin lanjut supaya kita tidak perlu masih mengejar duit pada usia yang suntuk.
  1. Positifkan minda – minda yang positif mencerna kesihatan total yang baik. Maka, lapangkan fikiran dan sentiasalah bersangka baik dengan setiap yang berlaku di sekeliling kita. Usaha layan tekanan dan stres. Setiap kali rasa tertekan, kembali kepada-Nya, dan ingatlah tentang kematian yang pasti.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live