Nampak gayanya isu buli melibatkan pelajar masih belum reda di mana-mana. Selepas pelaksanaan hukuman yang masih ramai anggap tidak setimpal dalam kes arwah Zulfarhan, kita dikejutkan pula dengan insiden melibatkan pelajar Tingkatan Satu MRSM Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar.

Memang meluap-luap rasa marah selepas melihat video yang tular membabitkan kes buli pelajar tersebut.
Pelbagai perasaan seolah merasuk jiwa apabila isu buli tidak habis-habis lagi bangkit dalam kalangan pelajar khususnya yang tinggal di sekolah berasrama penuh. Lepas satu-satu, ada sahaja yang timbul dan kemudiannya tular hingga mencetus kemarahan setiap lapisan masyarakat.

Tidak pasti mengapa isu ini masih wujud. Walau sudah ada kes buli yang berakhir dengan kematian seperti apa yang berlaku kepada Muhammad Farid Ibrahim, Shahrizal Shaffie, Naim Mustaqim dan Jackson Nuing Awe (sekadar menamakan beberapa mangsa kes buli) namun isu ini masih lagi berleluasa.


Kredit Foto: Google


Atas sebab apa sekalipun, sama ada membudayakan norma senior ragging junior, amalan buli sememangnya tidak wajar dibiarkan. Percaya atau tidak, selepas kes ini tular pasti tidak lama lagi akan berlaku lagi isu sama. Yang berbeza hanya punca dan jalan cerita sahaja.

Sungguh, isu ini melibatkan peranan banyak pihak. Ibu bapa yang mendidik dan mengasuh anak sejak kecil, para guru dan warden yang menggalas tanggungjawab melindungi keselamatan pelajar khususnya yang tinggal di asrama, masyarakat sekeliling dan ramai lagi.

Memetik perkongsian ringkas Dr Hana Hadzrami meneruis muat naiknya berhubung isu ini, ada baiknya kita jadikan penguatkuasaan undang-undang dan pelaksanaan hukuman oleh kerajaan Perancis sebagai rujukan.

Kredit Foto: Google


Mereka sedang menggubal undang-undang bagi hukuman kes buli di sekolah. Maksimum penjara 3 tahun dan denda €45k bagi kes buli biasa. Maksimum penjara 10 tahun dan denda €150k jika mangsa bunuh diri.

‘Pembuli ni kita kena cantas dari awal lagi. Kalau dibiar perangai buruk tu hingga dewasa, mereka bakal pijak semua mangsa. Kalau dibiar sampai mereka pegang jawatan besar dan ada kuasa; tak tau nak cakaplah.’ Tulisnya di laman Facebook yang mendapat pelbagai reaksi.

Pada hemat penulis, mungkin dengan penggantungan sekolah atau dibuang sekolah tidak mencukupi untuk menyedarkan si pelaku. Perlu ada rang undang-undang lebih tegas bagi membanteras isu buli daripada terus berlaku dalam kalangan pelajar kita. Baik di peringkat sekolah rendah, menengah, universiti semua perlu sepakat mencari solusi untuk membendung isu ini.

Kerana isu ini bukan baru dan bermusim maka dengan itu satu mekanisme melibatkan penglibatan pihak sekolah, Kementerian Pendidikan bahkan pihak berkuasa perlu dicapai. Kita tidak mahu lagi membaca atau mendengar kes buli yang berakhir dengan kematian. Impaknya cukup besar bagi keluarga mangsa khususnya juga orang sekeliling. Hentikan buli daripada menjadi satu normalisasi dan budaya dalam kalangan pelajar.

Bacaan lanjut: https://www.vice.com/.../school-bullies-could-get-10...