gaya hidup

Di Sebalik Keluh Resah, PdPR – Anggaplah Ini JIHAD Kita Untuk Bantu Anak-Anak Terus Mencari Ilmu.

gempak
Penulis Jemputan
21/01/2021
02:00 MYT
Sponsor Banner
Di Sebalik Keluh Resah, PdPR – Anggaplah Ini JIHAD Kita Untuk Bantu Anak-Anak Terus Mencari Ilmu.
Tanggal 20 Januari menjadi satu memori dan norma baharu dalam kehidupan insan bernama ibu-bapa, guru dan pelajar sekolah.
Sebelum ini, saat anak ‘naik sekolah’ , ibu bapa antara golongan yang sibuk untuk urusan pendaftaran, pembayaran yuran dan melihat gelagat serta ragam anak-anak ketika berada di sekolah.
Saat ini, perkongsian dan fokus media massa sama ada di media cetak mahupun online, bukan lagi pada mimik-mimik wajah anak kecil menangis tidak mahu bersekolah, merakam detik anak beratur di perhimpunan atau gelagat lucu si ayah mengintai anak di dalam kelas, tetapi diwarnai dengan rakaman lensa anak belajar di rumah dengan bimbingan ibu-bapa manakala guru menjalankan rakaman video mahupun pemantauan secara berjadual.
Bagi sesi pagi, seawal jam 7.30 pagi ada ibu bapa yang tetap memakaikan anak mereka baju uniform sekolah, mungkin untuk menyerap aura positif untuk mewujudkan sesi persekolahan di minda anak terutama yang masih baharu melangkah ke alam persekolahan.
Penulis sendiri sedikit sebak kerana terkilan tidak dapat menghantar dan merasai pengalaman menghantar anak bongsu yang masuk ke sekolah untuk tahun satu kali ini memandangkan kita semua masih berperang dengan virus Covid-19.
Namun di sebalik semua ini, dapat dilihat terlalu banyak penambahbaikan dilakukan Kementerian Pendidikan Malaysia dan institusi sekolah itu sendiri dalam mewarnai alam persekolahan pelajar selain menawarkan teknik pembelajaran lebih berkesan dan kreatif.
Pelbagai inovasi pembelajaran dapat dilihat seperti rakaman video watak kartun kesayangan ramai , Upin Ipin yang disunting dengan berkesan dan diadun dengan ilmu pengenalan pembelajaran.
Umpama sudah berada di universiti susunan video yang memaparkan tajuk pembelajaran mula memaparkan kesungguhan guru dalam mendidik anak muridnya secara sempurna.
Semua Pihak Kena Positif
Justeru, saat kes penularan Covid-19 yang semakin tinggi, semua pihak perlu positif dan memberikan kerjasama terhadap pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi sesi persekolahan bermula 20 Januari ini yang dilihat sebagai kaedah terbaik ketika penularan Covid-19 masih belum mahu reda.
Walaupun masih ramai pihak ramai yang mengkritik PdPR kerana membandingkan kesan proses pembelajaran kaedah itu dengan kaedah pembelajaran secara bersemuka di sekolah, kita tidak boleh terus merungut dan mengkritik.
Berlakulah adil kepada guru yang masih bertatih kepada kaedah ilmu baharu ini manakala ibu-bapa juga jangan terlalu dibebankan dengan tugasan bertalu-talu daripada pihak sekolah.
Jangan fikirkan kuantiti yang kita dapat tetapi perhalusi juga kualiti ilmu yang dapat singgah di minda pelajar.
Bukan saja ibu-bapa, rata-rata guru juga mengimpikan untuk mengajar pembelajaran dan pendidikan secara bersemuka tetapi ia tidak dapat dilaksanakan saat ini.
Ada seorang teman rapat yang juga seorang guru berkata, seperti ibu-bapa yang lain. Beliau masih berharap dapat bersemuka dengan pelajarnya tidak lama lagi.
“Puas hati dapat tengok reaksi pelajar apabila mengajar mereka di hadapan mata. Semoga ada sinar ini tidak lama lagi. Sekarang masa untuk kita kawal penularan terlebuh dulu,” katanya.
Anggaplah Ini Jihad Kita Menimba Ilmu Anak
Justeru, marilah kita bersama–sama mencapai muafakat dan lalui PdPR ini dengan penuh keredaan dan pada masa sama tukarkan rasa stres kepada satu titik jihad kepada dapatan ilmu.
Tukarkan ia sebagai norma baharu yang lebih kreatif sebagai sokongan kepada sistem pendidikan negara.
Jangan bimbing kerana guru-guru sudah pun dipersiapkan dengan ilmu Panduan Manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah mengenai PdPR yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan sebagai ibu bapa, kita boleh realisasikan kecemerlangan anak dalam pendidikan dengan mengembleng tenaga untuk sama-sama melihat anak berupaya melapasi situasi getir ini.
Walaupun kita akui,faktor capaian internet dan pemilikan gajet dilihat menjadi antara punca utama proses PdPR kurang berkesan lantas menjadikan ibu-bapa tertekan terutama yang masih perlu bekerja di pejabat dan turut merumitkan keadaan golongan berpendapatan rendah untuk memilik peranti dan gajet untuk tujuan PdPR, kembalilah kepada pepatah alah bias, tegal biasa.
Pada masa sama, diharapkan lebih banyak tumpuan dan perhatian pihak terbabit bagi mengatasi perkara ini secara berhemah dan penuh ketelitian.
Di sebalik masalah ini, ada hikmahnya di mana guru menjadi lebih kreatif dan berdaya saing, ibu bapa pula lebih bijak menyusun jadual selain merapatkan hubungan kekeluargaan dan anak-anak belajar menjadi individu yang celik teknologi.
Jom kita menelusuri pandangan daripada ibu-bapa berkenaan isu PdPR. Semoga segala usaha memberi impak kepada pembelajaran anak.
Foto: Pengamal Media- Saadiah Ismail
Anak Dapat Tengok Video Secara Berulang Sampai Faham Pengamal Media- Saadiah Ismail
“Saya berpendapat ada pro dan kontra dengan norma pengajaran dan pembelajaran baharu ini.
“Kebaikannya,, anak saya, Adden Thaqif's, bukan saja melalui kaedah baharu iaitu pembelajaran di rumah tetapi pada masa meluaskan pengetahuan am anak-anak apa kesan Covid-19 dan risiko jika kita tidak membantu mengawal penularannya.
“ Dari sudut pembelajaran pula, anak dapat mempraktikkan teknologi seperti paparan video. Video yang direkod guru ini juga boleh diulang lihat beberapa kali berbanding secara dalam talian.
Kadangkala mutu rangkaian tidak jelas dan terputus. Anak akan jadi bosan dan hilang fokus. Namun, disebalik ini, agak terkilan sebab anak tidak melalui sesi persekolahan sebenar.
Foto: Rozieta Khamsi
Cabaran Baharu Untuk Ibu-bapa Tangani Pendidikan Bersama- Rozieta Khamsi
“ PdPR adalah satu cabaran baru dalam membesarkan anak-anak. Ia norma baharu untuk semua ibu-bapa. Ini kerana kami perlu memantau anak-anak dan telefon pada setiap masa, bimbang terlepas sebarang arahan dan kerja sekolah.
“ Namun, menyedihkan kerana tidak semua orang memiliki kemudahan internet yang mencukupi. Malah, ada ibu-bapa yang tiada langsung kemudahan data internet ini.
“ Antara yang agak menyukarkan adalah cabaran mengawal tahap fokus anak kerana pembelajaran di rumah dan sekolah amatlah berbeza.
Pemantauan guru lebih berkesan berbanding ibu-bapa ketika belajar. Saya terfikir juga bagaimana mereka yang memiliki anak ramai, tentu ia menyukarkan.
Proses daripada menyiapkan kerja sekolah sehingga kepada pemahaman tajuk,” katanya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live