“Ada beza tau kahwin mat salleh dengan ‘warga asing’!” Itu yang berkali-kali ditegaskan Lana Nordin saat hadir di program bual bicara, Borak Kelamin episod 5 malam ini. Kerana ada penonton yang berkongsi bagaimana suami warga asing yang menikahi orang kita atas tujuan mahu kahwin lebih satu atau ambil kesempatan untuk mengikis harta isteri.


“Berbeza dengan lelaki mat salleh, mereka lebih setia kepada yang satu dan kebanyakan mereka berkemampuan, tak perlu mengikis harta isteri,” ujar Lana jujur.


Daud McKienzie mencelah, bahawa dia memadai dengan hanya satu isteri saat ditanya Awal Ashaari adakah mahu menambah lagi kuota isteri sementelah Islam membenarkan? Tambah Daud lagi, dia tidak faham bagaimana seorang suami mampu menumpukan perhatian kepada lebih daripada sebuah keluarga, sedangkan dia sendiri struggle untuk menyempurnakan keluarganya yang satu itu?

Kredit Foto: Astro Ria



Perkahwinan Mengubah Siapa Lana Nordin


Lana dulunya seorang yang hangat dengan kontroversi, malah mengakui kalau dulu dirinya langsung tidak tahu memasak. Yang dia tahu hanyalah bersiap cantik, pasang badan dan tidak reti nak ke dapur, apa lagi membuat kerja rumah. Namun, ternyata manusia itu kalau Tuhan berkehendakkan dia berubah, dia mampu menjadi sisi yang lain.


Perkahwinan mengubah personaliti dan cara hidup Lana. Walaupun berkahwin dengan suami separuh mat salleh dan separuh Asia (kacukan Filipina sebelah Mak), Lana nampaknya kini menjadi lebih berjiwa keibuan dan hidupnya tertumpu sepenuhnya pada rumah tangga sehingga ada kala diri sendiri tidak sempat berdandan.


“Orang mungkin nampak saya ni lebih control suami sebab suami jenis pendiam. Hakikatnya, saya rasa yang banyak berkorban tau. Rumah, anak-anak semua saya uruskan sendiri, memang dah tak ada masa untuk diri sendiri. Saya pula jenis yang cerewet dan semua nak buat sendiri, jadi saya takut kalau ada maid nanti, asyik kena marah je maid tu. Hahaha...”


Lana turut berkongsi detik awal dirinya mahu dilamar sebagai isteri. Lana meminta suaminya agar menghalaf surah Al-Fatihah. Dan, Daud benar-benar dapat menghafalnya. Lebih mengharukan, ketika menerima cincin kahwinnya, Daud memberitahu Lana, ada sesuatu di belakang cincin itu.


Saat Lana membelek cincin yang ditempah oleh kakak iparnya itu, ternyata ada sepotong ayat pertama surah Al-Fatihah di belakang cincin tersebut. Nampakkan, betapa Daud sangat menghargai usahanya dalam memeluk Islam dan memenangi hati isterinya itu.



Kredit Foto: Astro Ria



Suami Bangsa Asing Sweet Talker, Lebih Terbuka


Menurut Peguam Sivil dan Syariah, Puan Asyikin Rahim, memang ramai orang kita sekarang menikahi lelaki bangsa asing. Selain jodoh, antara sebab lelaki bangsa asing menjadi pilihan wanita Melayu kerana mereka ini lebih romantik dan bermulut manis. Kita yang melihat pun seronok lihat.


Celah Lana, lelaki mat salleh lebih matang dalam soal hubungan. Mereka jenis open minded dan lebih suka berterus-terang berbanding orang kita yang lebih suka memendam rasa. “Orang Melayu kan memang suka simpan apa dirasa, propa je lebih. Hahaha” usiknya lagi.


Kongsi Puan Asyikin lagi, wujud juga segelintir lelaki bangsa asing yang berkahwin dengan orang Melayu atas niat lain seperti mahu ambil kesempatan dari segi menambah harta. Ada sesetengahnya mencari isteri bekerja kerajaan agar mereka mudah membuat pinjaman. Ada kes yang isteri menanggung hutang suami sehingga ratusan ribu ringgit.


Namun, daripada segi kesetiaan, mereka lebih setia dengan isteri yang satu kerana kebanyakan mereka dibesarkan dalam budaya yang bersikap terbuka dalam hubungan. Mereka bebas untuk mempunyai skandal atau perempuan simpanan, maka untuk apa mereka bernikah lebih?



Kahwin Campur Banyak Cerai Atau Kekal?


Saat ditanya adakah perkahwinan campur ini banyak mengundang penceraian? Jawab Puan Asyikin, “Undang-undang perkahwinan Islam berbeza mengikut negeri di Malaysia dan statistik juga pasti berbeza. Tapi, secara umunya yang bercerai tak sampai separuh pun. Mengikut statistik yang pernah dibuat, penceraian berlaku sekitar 25% saja.”


Tambah beliau, antara punca utama penceraian disebabkan pertembungan budaya. gaya hidup dan nilai kehidupan. “Itu biasa apabila kita duduk serumah dengan individu yang dibesarkan dengan budaya, negara dan agama yang sangat berbeza. Kita yang kahwin lain negeri utara selatan pun ada pertembungan budaya, inikan pula negara dan agama.”


Kongsi Lana, jika mahu berkahwin campur, harus bersedia dan bersikap terbuka dengan perbezaan yang wujud. Dulu pun diakui, dia selalu juga berselisih pendapat dengan suami terutamanya daripada segi membesarkan anak-anak. Namun, lama-lama mereka dapat capai titik persefahaman menerusi toleransi dan saling menerima perbezaan itu.


Kredit Foto: Astro Ria



Hal Anak, Apa Perlu Dibuat Jika Berlaku Masalah?


Nasihat Puan Asyikin, tiga perkara perlu lekas diambil tindakan jika berlaku pergolakan dalam rumah tangga:
  1. Terus buat permohonan hak penjagaan anak di mahkamah apabila berlaku masalah dalam rumah tangga, tidak perlu tunggu sehingga berlaku penceraian.
  2. Dapatkan perintah larangan membawa anak keluar dari Malaysia. Pihak kastam berhak untuk menahan pasport anak jika didapati suami cuba membawa lari anak ke luar negara.
  3. Jika suami mahu mendapatkan hak penjagaan bersama anak di Malaysia, pastikan ada ahli keluarganya sebagai penjaga ke dua bersama sepanjang anak berada di bawah penjagaan suami.