Highlights

Dicurangi? Relakslah. “Kita Kena Pertahankan Martabat Kaum Wanita” – Bak Kata Cik Rohani Dalam Madu Tiga.

gempak
Afiza Kamarulzaman
20/06/2020
10:00 MYT
Sponsor Banner
Dicurangi? Relakslah. “Kita Kena Pertahankan Martabat Kaum Wanita” – Bak Kata Cik Rohani Dalam Madu Tiga.
Tidaklah semua lelaki begitu. Untung nasib dan suratan takdir, kita dianugerahkan pasangan yang baik, setia, jujur dan sentiasa ada saat susah dan senang. Namun, ada kala ujian seseorang itu diketemukan pula dengan lelaki yang curang, main kayu tiga dan kuat benar pembohongannya. Kata mereka, “tipu sunat”. Sunat bagi mereka, tenat untuk kita kaum wanita. Siapa suka dikhianati saat cinta diberi sepenuh hati. Betul, kan?
Kata orang bertepuk sebelah tangan tak berbunyi. Kalau perempuan di sana tak sama ‘mengenyam’ tidak akan terjadi hubungan sulit itu. Maka, ada yang tidak mahu menyalahkan teman lelaki, sebaliknya menuduh perempuan itu yang bikin onar. Adakah ini yang dikatakan cuba menegakkan benang yang basah. Dek, rasa cinta yang maha kuat terhadap teman lelaki itu, kamu sanggup menuduh hanya perempuan itu menjadi punca segala-galanya.
Ditambah pula kalau dapat sang lelaki yang pandai bermain kata-kata, suka menagih simpati dan bijak mencipta pelbagai kronologi cerita rekaan semata-mata mahu memenangi hati kamu kembali. Ada yang sanggup menabur fitnah kerana skandalnya itu, menuduh yang dia digoda dan dipermainkan. Maka, dek butanya cinta kamu yang menebal, kamu telan semua kata-kata si dia itu, walaupun jauh di sudut hatimu tahu permainan dia.
Kredit Foto: Google
Lelaki ‘Sedap’, Dua Perempuan Bertelagah
Sepupu penulis ada menceritakan kisah kawan sepejabatnya yang kemaruk cinta dengan lelaki satu ofis tetapi berlainan bahagian. Satu pejabat tahu hubungan cinta mereka yang intim dan akan mengikat tali pertunangan tidak lama lagi. Perempuan ini berjawatan lebih tinggi dan lelaki itu hanya kerani biasa. Dan, pastilah gaji perempuan itu lebih tinggi berbanding kekasihnya itu.
Banyak duit perempuan ini melabur kepada lelaki tersebut dek cinta maut yang tersemat di hati. Maka, apa sahaja kemahuan teman lelaki itu dituruti asalkan lelaki iu sentiasa bersamanya. Kata sepupu penulis, lelaki itu memang ‘hot’, ramai juga yang terpesona dengan kekacakannya. Justeru, kawannya ini rasa besar hati sangat apabila antara ramai-ramai itu, dia yang menjadi pilihan lelaki tersebut.
Dipendekkan cerita, baru-baru ini tersebar cerita yang lelaki tersebut sedang cuba mengayat seorang budak pelatih di pejabatnya. Budak perempuan ini memang lawa, persis Mira Filzah. Namun, khabarnya budak pelatih itu tidak layan pun, cuma lelaki ini sahaja yang mencuba nasib. Apabila gosip itu sampai ke telinga kawannya itu, meletuplah dia. Tanpa usul periksa, kawannya ini terus pergi menyerang budak pelatih itu. Kecoh jadinya!
Sehingga kini, tidak nampak sudah budak pelatih itu. Tidak tahulah apa kisa selanjutnya, sama ada dia dicutikan seketika atau ditukar tempat latihan. Kasihan. Walaupun ramai yang sudah tahu cerita yang lelaki itu yang melebih-lebih, namun bagi kawan sepupu penulis itu, teman lelakinya tetap setia dan budak perempuan itu yang cuba menggodanya. Ada yang berbisik, yang nampak depan mata memang dah jelas, yang di belakang tak tahulah.
Kredit Foto: Google
Kenapa Perlu Mencalar Maruah Diri?
Andai teman lelaki kamu curang dan ada perempuan lain, kenapa perlu kamu meroyan dengan menyerang perempuan lagi satu itu? Kalau sekali pun benar perempuan itu yang memulakan, kenapa lelaki itu tidak menggunakan kekuatanya untuk mempertahankan cinta kalian? Benda boleh bincang, kenapa mesti bergaduh? Kenapa perlu terpekik terlolong di depan khalayak ramai semata-mata untuk lelaki ‘jongos’ seperti itu?
Sebaiknya, soal-siasat teman lelakimu sendiri, dan bukannya terus membuat serang hendap kepada orang lain. Kisah ini adalah kisah kamu dan dia. Tidak perlu melibatkan orang lain. Kalau dia benar-benar sayang dan serius dengan hubungannya bersama kamu, dia akan hadapi apa sahaja godaan yang mendatang. Ya, tidak mudah tetapi inilah ujian yang kadang-kadang datang tanpa alasan dan untuk seketika menguji kesetian seseorang.
Kredit Foto: Google
Beralah dan Pasrah, Jangan Ikut Amarah
Kalau harus memilih, tinggalkan sahaja lelaki seperti itu. Ia bukan soal siapa menang atau kalah, tetapi ia tentang maruah dan masa depan kamu dan dia. Melainkan kamu mahu memberikan peluang ke dua dan kamu yakin? Silakan. Tetapi, jika ia berulang sehingga menjadi ‘habit’ si dia, adakah kamu yakin untuk hidup lebih lama dengan orang seperti itu? Berapa lama kamu mampu makan hati, berulam jantung?
Maka, serahkan sahaja dia kepada skandalnya itu. Dan, kamu berlalu pergilah membawa langkah. Kamu tidak kalah, sebaliknya kamu menang mengawal amarah dan bijak mencatur masa depan yang lebih cerah. Yakinlah, bersama dengan si dia yang berperangai sebegitu tidak akan membawa kamu ke mana, jadi biarkan sahaja dia dengan pilihan ke duanya itu. Kamu layak untuk mendapat seseorang yang lebih baik daripada itu.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live