Punya pengikut seramai 109k di Instagram, dia boleh digelarkan sebagai antara jurusolek profesional yang popular.
Kalau diikutkan temuramah ini tidak cukup untuk menempiaskan segara rasa dan isi hatinya, namun cukuplah sekadar menjadi tinta asas buat pengikut dan bakal jurusolek menjadikannya inspirasi juga pedoman dalam berkarya.
Tiar dilahirkan di Parit, Perak tetapi membesar di antara dua buah negeri, Perak dan Kuala Lumpur kerana banyak menghabiskan masa bersama nenek yang tinggal dengan ibu saudara dan sepupu di Kuala Lumpur.
Demo solekan yang sentiasa dinantikan muridnya
Kredit foto: Tiar Zainal
Apabila ditanya bagaimana beliau mula mencintai alat solek? Tiar Zainal membuka rahsia, “Sebenarnya, saya sudah mula bermain dengan mekap pada usia tiga ke empat tahun lagi. Naluri ini hadir dari kecil lagi.
Saya seorang yang sukakan pada warna. Saya suka tengok bunga-bunga. Bukan setakat tengok, saya juga suka tanam bunga. Alhamdulillah, agaknya saya jenis tangan sejuk, semua bunga yang ditanam menjadi pula.”
Daripada minat dan pelelitian terhadap warna dan bunga, ia dizahirkan pula pada kanvas wajah menerusi lakaran alat solek. Yang selalu menjadi mangsa tentulah adiknya sehinggakan dia pernah mencukur bulu kening adiknya yang masih bersekolah.
Mak ayah marah usah dicakap kerana disebabkan karyanya itu adiknya dimarahi cikgu!
Bunga Cinta Lestari antara yang sering mendapat khidmat Tiar
Kredit foto: Tiar Zainal Apabila datang menziarahi ibu saudara di Kuala Lumpur (mengikut nenek), Tiar akan duduk di sebelah mereka kala mereka sedang bersiap untuk ke pejabat. Tiar akan perhati dari awal hingga habis mekap mereka hasilkan.
Dan, apabila ibu saudara sudah pergi kerja, siaplah dia pula mengambil-alih kerusi itu! Habislah dimainnya segala koleksi ibu saudaranya itu.
Tambahan pula zaman itu era 80-an, era di mana trend solekan sangat bold dan berani. Memang seronok bermain dengan warna-warna yang pekat, terang dan kontra!
BTS penggambaran iklan Downy
Kredit foto: Tiar Zainal
Mula Kenal Krayolan, Dermacost, Max Factor...
Pada tahun 90-an, Tiar bersekolah di Kuala Lumpur yang memberinya peluang untuk mendekati dunia seni dengan lebih mudah. Sambil mencari duit sampingan, Tiar menjadi penari. Ramai yang tidak tahu tentang ini kerana dia sendiri segan untuk mencanang.
Pada hujung minggu, Tiar menjadi pembantu studio. Waktu itu, abang ipar kepada kawannya yang juga pemilik studio berkenaan seorang jurusolek bernama, Azman Razali turut mengadakan kelas solekan di studio itu.
Dari situlah, Tiar mengintai kelas pengajaran itu. Bermula di situ jugalah dia kenal jenama alat-alat solek seperti Krayolan, Dermacost, Max Factor dan pelbagai lagi jenama mekap yang klasik dan menjadi alat solek kegemaran ramai jurusolek otai satu masa dulu.
Scha Alyahya antara selebriti yang sering disolek Tiar
Kredit foto: Tiar Zainal
Apabila sudah pandai sikit-sikit ‘menconteng muka’, Tiar mula diberi kepercayaan saudara-mara untuk menyolekkan mereka. Disebabkan masih belum punya alat solek lengkap, ada kala orang yang memanggilnya untuk mekap, perlu menyediakan alat solek sendiri. Tiar hanya datang bawa badan sahaja. Begitulah awal-awal Tiar mula berjinak dalam dunia solekan ini.
Berkenalan Dengan Dunia Majalah
Orang kata, kalau mahu terkenal dan hasil kerja diiktiraf, kena ada pengalaman kerja di majalah. Apabila nama sudah dikreditkan di majalah, maka seseorang itu barulah layak digelar jurusolek profesional.
Majalah adalah platform terbaik untuk mengasah bakat dan kreativiti seseorang jurusolek itu. Kerana dari situlah, kita belajar tentang penggambaran, pencahayaan, trend dan sebagainya.
Antara lima jurusolek mega pilihan InTrend
Kredit foto: InTrend Malaysia
Kebetulan, mengenali rapat Emma Mustafa, seorang lagi jurusolek terkemuka negara (yang juga orang kampungnya), Tiar mendapat peluang mengikut Emma ke studio penggambaran majalah.
Dulu-dulu, bukan senang seseorang jurusolek itu mampu menembusi sidang editorial majalah. Dan, Tiar hanya tunggu masa yang sesuai untuk namanya dipahatkan.
Kalau tidak silap, majalah pertama yang dikunjunginya ialah Her World Malaysia. Dari situlah, Tiar mula mengintai cara orang majalah bekerja. Bagaimana solekan, pencahayaan, konsep dan model disatukan?
Rezekinya sudah tertulis cantik. Emma Mustafa yang memang sudah popular di kalangan orang majalah, mula memperkenalkan nama Tiar kepada para Editor. Daripada situ, dia dihubungi oleh seorang Editor ini tanpa memberitahu awal-awal apa tugasannya nanti.
Di belakang tabir fashion show Rizalman Ibrahim untuk Zalora
Kredit foto: Tiar Zainal
Menariknya pula, solekan yang diminta oleh Editor majalah tersebut bukan biasa-biasa, bukan mekap cantik yang biasa dilakukannya. Tiba sahaja di studio, Editor tersebut terus memberikan task art makeup untuk beauty shot.
“Saya kerah idea waktu itu juga. Saya terfikirkan untuk mengadunkan campuran warna pink dan merah pada kelopak mata. Alhamdulillah, hasil seni pertama kali itu berjaya diterima oleh Editor berkenaan. Dan, selepas itu satu demi satu tawaran daripada editorial majalah saya terima.”
London, 2011
Kredit foto: Tiar Zainal
Aktif di Penggambaran Drama
Tiar tidak menyangka, kerjaya awalnya juga bermula sebagai jurusolek drama. Kebetulan, inilah aturan Allah yang tidak mampu kita tepis. “Agaknya, saya ni sentiasa diberi tuah yang tidak disangka-sangka, selalu dikurniakan rezeki daripada orang lain.
Saya bukanlah jurusolek yang sepatutnya. Kebetulan arwah Ismie yang ketika itu aktif dalam persolekan drama memanggilnya untuk menggantikan beliau dalam drama Mak Uda Cun.”
Walaupun pada mulanya agak gementar, namun memikirkan teman baik sendiri meminta tolong, Tiar beranikan diri. Dalam pemikirannya sebelum ini, selalu berasakan sukarnya untuk bekerja dengan artis terutamanya ketika shooting drama.
Antara momen BTS bersama InTrend
Kredit foto: Tiar Zainal
Namun, sangkaannya meleset apabila kehadirannya dalam team itu diterima baik. “Oh, not bad! Siapa kata susah untuk bekerjasama. Malah, seluruh krew juga profesional.
Dari sini jugalah, saya belajar tentang lighting, bagaimana memahami konti, wardrobe, solekan bagaimana yang bounce back pada visual dan banyak lagi ilmu baru yang saya belajar. Bagi saya, jika seseorang jurusolek itu mahu cuba karier ini, sebaiknya bermulalah di sini. Ia akan membantu kamu menjadi jurusolek yang baik dan kreatif.”
Paling utama, sebagai jurusolek drama, Tiar belajar tengang bagamina mencipta sesuatu karekter itu bagi menjayakan keseluruhan jalan cerita. Solekan juga memberi peranan penting dalam menghidupkan sesuatu watak.
Kongsi Tiar, selebriti pertama yang disolekkannya waktu itu ialah dramatis, Kasmadiana selain anak buahnya sendiri, Asmidar.
Dan, kini kalau diminta disebutkan satu-persatu nama selebriti yang pernah disentuhnya, tak terbilang dek jari! Silalah ke Instagramnya kalau mahu tahu.
Pengantin Brunei yang ditatariasnya
Kredit foto: Tiar Zainal Kini, Temui Cinta Sejati
Tiar Zainal bukan jurusolek tanpa ilmu. Beliau pernah ditawarkan melanjutkan pelajaran dalam bidang IT, namun disebabkan kekangan kewangan, hasrat itu terpaksa dipendam saja.
“Saya bukan orang senang, dulu pun bukan ada pinjaman kewangan untuk melanjutkan pengajian. Jadi, saya terpaksa lupakan saja hajat untuk teruskan pelajaran. Lagi pula, saya sudah temui sesuatu yang lebih dekat di hati saya; dunia solekan! Ya, inilah kerjaya yang saya yakin untuk tembusi.”
Daripada satu tawaran ke satu tawaran diterimanya. Dari namanya dikenali di Malaysia, ia merebak langsung ke Brunei dan kini Indonesia. Tiar juga sering diundang ke Brunei untuk menatarias mempelai di-Raja di sana.
Terbaru, khabarnya nama Tiar Zainal semakin hangat di Jakarta. Ia bermula apabila Tiar mula memegang wajah Bunga Cinta Lestari. Ramai yang menyenangi hasil solekan Tiar yang punya identitinya sendiri.
Beauty Spread, InTrend
Kredit foto: Tiar Zainal
Bersuara Untuk Kebaikan
Kalau yang dekat dengan industri solekan tempatan, pasti tahu yang Tiar Zainal kerap dilabelkan sebagai jurusolek ‘bermulut puaka’. Apa komen Tiar? “Saya tidak kisah apa pun orang nak kata. Saya bersuara mewakili suara yang senyap dalam menegakkan kebaikan untuk industri ini. Saya tidak cakap sesuatu yang tidak masuk akal. Semuanya bersebab.”
Menurut Tiar lagi, dia sedar ada sesetengah orang tidak senang dengan karekternya itu, namun siapalah dia untuk memuaskan hati semua orang? “Ada yang berkata itu dan ini tentang saya, bagi saya lagi mereka mengata, lagi saya berada di depan mereka sebagai nombor satu! Hahaha...”
Jurusolek Malaysia pertama berkolaborasi dengan Sephora Malaysia untuk koleksi Raya.
Kredit foto: Tiar Zainal
MUA Tidak Kaya, Tapi Sumbangannya Besar
“Sehingga kini saya masih berasakan orang Malaysia masih tak mampu menghargai dan menilai hasil karya anak seni tempatan. Kalau di luar negara, orang seperti kami sudah kaya-raya tetapi bukan di Malaysia,” begitu luahan Tiar sebagai wakil jurusolek senior negara.
Namun, kata Tiar apabila kaki sudah melangkah ke dunia ini, janganlah menoleh ke belakang lagi. Teruskan tetapi mestilah dengan ilmu yang betul. Carilah Guru untuk belajar. Dan, pastikan setiap jurusolek punya identiti sendiri untuk dikenali.
“Hasil kerja kamu itu harus ‘mahal’. Bukan pada harga tapi pada impaknya. Kamu boleh saja ke luar negara menimba ilmu, carilah sebanyak mana sijil tetapi apabila pulang ke sini, harus ingat tidak semua yang dipelajari dengan cikgu mat salleh itu boleh diaplikasikan di sini. Maka, gunakan kebijaksanaan sendiri untuk mengolah apa yang dipelajari di luar negara itu serasi dengan kanvas orang kita.”