Sebaik diri ‘dinaiktaraf’ sebagai suami, pastinya kita mahu kehidupan yang lebih teratur dan sempurna. Pastinya kita mahu sentiasa bersama suri hati kita itu setiap hari. Ingin kita habiskan masa muda dan tua lanjut ke jannah. Begitu banyak kenangan ingin kita cipta bersamanya juga anak-anak nanti.


Barulah misi pasangan sejoli susah dan senang itu sama-sama kita kemudi bersama. Namun, jika seorang di utara dan seorang ke selatan, bagaimana harus semua kenangan pahit dan manis itu kita cipta bersama? Bagaimana suami dan isteri masing-masing mampu menggalas tanggungjawab dengan sempurna?


Ada yang kata inilah pengorbanan? Tetapi sampai bila? Jangan kata kedua-dua akan sama-sama berkorban secara adil kerana pasti salah seorang akan terpaksa menggalas lebih tanggungjawab yang terpaksa ditinggalkan pasangan. Dan, selalu berlaku tanggungjawab itu akan lebih berat ditanggung oleh sang isteri sementelah suami katanya pergi mencari nafkah.


Suami, nafkah itu tidak hanya kepada mencari wang dan menyuapkan makan dan minum kepada keluarga semata-mata. Bagaimana dengan tanggungjawab lainnya? Mungkin ya, kebanyakan isteri akan kata; “Tidak mengapa, biar Minah buat semuanya...” Kemudian Minah sakit dan stres sendiri kerana kesanggupan yang suami anggap Minah mampu buat tanpanya di sisi.









Tapi ini tidak bermakna penulis menyalahkan suami yang memang terpaksa kerja jauh kerana tiada pilihan lain. Lain orang, lain masalahnya. Lebih baik bekerja jauh daripada duduk dekat tetapi tidak mampu menyara keluarga. Cuma, ada sesetengah kes, suami sengaja memilih untuk kerja jauh meninggalkan anak bini beratus batu demi sebuah ‘kebebasan’ dan kepuasan hati sendiri.


Ada suami yang kata, kalau duduk serumah nanti, banyaklah masalahnya. Ada sahaja yang isteri mahu dibantu. Katanya lagi, isteri tu, kalau tinggal sorang-sorang boleh pula berdikari. Jadi, suami (tidak semua, segelintir cuma) mengambil ‘langkah bijak’ dengan sengaja memilih untuk kerja di luar kawasan agar isteri sendiri menjalankan tanggungjawab di rumah itu.


Mari dengarkan sedikit coretan kisah Nazhirin Harun, seorang suami yang beberapa kali juga berpisah dengan isteri kerana mengejar kerjaya berlainan negeri dan akhirnya membuat keputusan nekad untuk kembali duduk sebumbung dengan isteri, demi sebuah ikatan yang lebih utuh.










Bila mula berkahwin dan bagaimana permulaan kehidupan kalian sebagai suami isteri?

Saya dan isteri, Amirah Kamaruddin berkenalan ketika sama-sama belajar di UniKL dulu. Kemudian, mengambil keputusan untuk bernikah pada 14 Februari 2015. Empat tahun usia perkahwinan kami, masih baru dan sentiasa dalam proses belajar menjadi yang lebih baik untuk saling melengkapi. Cuma, kami belum lagi dikurnikan zuriat, mungkin selepas ini ada peluang ‘melekat’ apabila sudah duduk dekat. Hahaha...


Pada awal perkahwinan, memang saya selalu kena bekerja luar untuk tugasan saya sebagai Sale Engineer (alat perubatan), walaupun tempat tinggal utama masih di Kuala Lumpur. Kekerapan bekerja luar usah dikira. Boleh dikatakan dalam sebulan, hanya seminggu saya punya masa bersama isteri. Kalau bernasib baik, pada hujung minggu bolehlah kami berjumpa. Jika tidak ‘bergayut’ di telefon sajalah.



Apa perasaan isteri ketika itu?

Pada awal perkahwinan, kami berasakan ini mungkin untuk permualaan saja. Sementelah, isteri pun masih tinggal dengan orang tuanya. Jadi, tidaklah terasa sangat sunyi apabila saya kembali bekerja. Lagi pula, masih baru berkahwin, jadi tidak tahu lagi rentak dalam perkahwinan yang sebenar itu macam mana? Kita redah sajalah.









Kemudian, anda mendapat tawaran bekerja posisi baru sebagai jurutera, yang mana tidak memerlukan anda banyak kerja ke luar daerah. Malangnya di Ipoh pula, bagaimana perbincangan anda dan isteri waktu itu?

Ya, lepas bekerja di Kuala Lumpur selama tiga tahun, saya mendapat tawaran untuk balik bekerja di negeri kelahiran saya sendiri, Ipoh sebagai Biomedical Engineer. I was so excited! Waktu itu terfikir, mungkin inilah peluang untuk saya memulakan hidup di kampung halaman sendiri dan bolehlah dibawa isteri ke situ. Lebih menyokong keputusan saya itu ialah apabila memikirkan tentang Mak yang tinggal seorang di rumah. Mungkin inilah peluang terbaik untuk saya menjaga dan menemani Mak.



Jadi, apa berlaku selepas dua tahun anda bekerja di Ipoh?

Perjalanan kerja alhamdulillah lancar. Memang gembira dapat kerja yang stabil dan pada masa yang sama menemani Mak di kampung. Perancangan asal kami, isteri akan mencari kerja di Ipoh untuk bersama saya. Namun, selepas dua tahun nampaknya belum ada rezeki isteri untuk mendapat kerja di situ. Isteri pun tidak berani untuk berpindah terus ke Ipoh tanpa sebarang kerja lagi. Maklumlah, perempuan tidak seperti lelaki yang akalnya lebih ligat. Kita lelaki, campak di mana-mana pun boleh hidup. Jadi, nampak gayanya macam sayalah yang kena berkorban.







Berkorban yang macam mana?

Lama juga berfikir waktu itu. Sampai bila kami hendak ulang-alik, Ipoh-Kuala Lumpur untuk bertemu sekali-sekala? Setiap kali berpisah, isteri pula asyik ‘drama air mata’, hahaha... Waktu itu saya sudah tidak fikirkan tentang kerja lagi kerana bagi saya rezeki Allah itu luas. Selagi kita mahu berusaha, pasti ada jalannya. Yang buat saya tersepit kala itu antara mahu dekat dengan isteri atau terus menemani Mak. Saya ada berbincang dengan Mak, Mak tak kisah pun katanya kerana ada anak-anak lain yang duduk berhampiran.


Dalam pada berkira-kira itu, tiba-tiba Allah takdirkan Mak bertemu jodohnya. Siapa sangka, kan? Inilah aturan Allah yang telah tertulis di Luh Mahfuz. Mungkin inilah ‘alamat’ yang ingin disampaikan oleh di atas sana. Jadi, saya membuat keputusan untuk meletak jawatan di Ipoh dan kembali menetap di Kuala Lumpur.



Jadi, apa yang anda lakukan setelah kembali ke Kuala Lumpur?

Saya sudah banyak pengalaman bekerja dan bergaji tetap setiap bulan. Hidup ini tiada istilah ‘sudah terlewat’ untuk mencuba sesuatu yang baru yang lebih mencabar. Jadi, saya buat keputusan untuk bekerja sendiri. Saya kini menjadi life planner atau Perunding Takafur. Kalau orang kita kata, jual insurans. Lain kepuasan pekerjaan sekarang berbanding dulu.


Saya membantu orang ramai untuk merancang portfolio kewangan yang seimbang dari segi pelindungan hingga ke pelaburan. Menerusi kerja sekarang ini membuka mata saya tentang kesedaran orang ramai terhadap kepentingan pelindungan dan pelaburan, kebanyakannya masih tidak sedar tentang kepentingannya dan mengambil sikap ‘pasrah’ sajalah. Inilah tanggungjawab saya untuk menyebarkan ilmu dan pada masa yang sama membantu mereka memulakan rancangan kewangan masa depan walaupun dengan bajet yang minima.








Kenapa ini yang anda pilih?

Bagi saya, keluarga adalah segalanya terutama ibu dan isteri. Masa muda dulu memanglah kita sibuk mengejar kerjaya hebat dan duit yang tak pernah cukup-cukup. Namun, semakin meningkat usia, kita semakin sedar tentang masa yang berkualiti untuk orang yang kita sayang. Untuk apa wang melilmpah-ruah sedangkan ia dibina dengan air mata dan perasaan terluka pasangan kita sendiri. Saya bercakap menerusi pendapat peribadi saya. Orang lain mungkin ada pemikiran mereka sendiri.


Bagi saya, ibu dan isterilah insan yang sentiasa berada di belakang saya saat susah dan senang. Kita tidak tahu berapa banyak masa yang kita ada untuk bersama mereka. Kalau hanya seminggu dalam sebulan saja masa yang boleh saya habiskan untuk mereka, apa sangat yang boleh saya berikan kepada mereka. Ya, mungkin duit belanja tidak putus setiap bulan saya beri, bagaimana dengan tanggungjawab yang lain? Ajal tidak menunggu kita. Kalau tidak dia, mungkin saya. Mana mungkin kita kata kepada Tuhan,; “Oh saya belum ready?”


Amal ibadat itu pastilah kena dicukupkan dan kenangan bersama mereka? Puaskah nanti mereka menikmati saat-saat indah bersama kita? Berapa banyak memori boleh kita catatkan bersama? Apatah lagi jika ditakdirkan kami punya anak nanti. Pastinya saya sendiri mahu membesarkan dan mendidik anak-anak saya. Melihat mereka membesar di depan mata dan membetulkan kesilapan mereka daripada tunjuk-ajar saya sendiri sebagai seorang bapa. Semoga Allah permudahkan semuanya. Insya-Allah.