Bukan mudah bersuamikan lelaki orang seni, walaupun isteri sendiri seorang pelakon. Begitu yang terjadi dalam rumah tangga Fizz Fairuz dan Almy Nadia serta Fauzi Nawawi dan Lisdawati apabila kerap dihambat ujian dan kontroversi.


Namun, syukurlah berkat kesabaran dan timbang rasa keduanya, rumah tangga mereka kekal bahagia hingga ke hari ini dengan dikelilingi anak-anak yang semakin membesar. Rezeki pun bertambah baik.


Dalam program Rumah No 107 siaran Astro Warna setiap Jumaat jam 9 malam itu, Fizz Fairuz, Fauzi Nawawi dan Zul Huzaimy diundang sebagai tetamu untuk episod ke dua. Ketiga-tiga mereka ini dikenali sebagai sahabat baik dan berbakat besar dalam arena lakonan.








Fizz ‘Salute’ Kesabaran Isteri Walau Dilayan Buruk


Fizz dan Fauzi sangat dikenali sebagai ‘Hero Malaya’ rebutan ramai dek kontroversi dan skandal yang selalu menerjah diri mereka hingga membabitkan rumah tangga yang dibina. Satu ketika dulu, Fizz pernah dikatkan dengan isu seorang wanita yang mendedahkan perbualan WhatsApp antara mereka yang kononnya berbaur ‘cinta gelap’.


Jawab Fizz, “Itu semua hanya salah faham. Segala butir perbincangan berkait tentang pekerjaan antara kami. Saya juga pelik apabila dia hanya screen shot bahagian bawah perbualan, kenapa tak disiarkan bahagian awal sekali? Sedangkan dia pun saya tak pernah jumpa.”


Tidak cukup di situ, nama Fizz sekali lagi dikaitkan dengan isu tangkap khalwat ketika dia menjalani penggambaran di Pulau Perhentian. “Cerita yang sebenarnya, ketika saya berada di pulau itu, kebetulan ada kes seorang ‘Datuk’ ditangkap khalwat. Ada pula seorang blogger ni buat risikan sendiri mengaitkan saya yang kebetulan di situ. Saya memang mahu menyamannya tapi dia buat permohonan maaf kononnya isu itu salah cakap saja. Ini soal maruah,” ulas Fizz.


Bagaimana kalau anda isteri kepada Fizz Fairuz? Tidakkah remuk hati apabila acapkali dihambat ujian sebegitu? Ketika diminta memberi komen tentang ketabahan isterinya itu? Balas Fizz, dia amat kagum dengan isterinya itu. Ada kala, Fizz lihat isterinya itu duduk di kerusi dan dia tertanya “apalah salah dia kat aku sampai begitu buruk layanan aku kepada dia?”


Pernah sekali, ketika Hari Ibu, Fizz membawa ibunya ke sebuah acara. Kebetulan pula, isteri menelefonnya dan memberitahu yang dia sangat sakit perut diserang appendix dan merayu agar dibawanya ke hospital. Namun, yang dilakukan Fizz hanya suruh isteri bertahan.


“Bayangkan berapa jam dia menahan sakit yang amat sakit dan saya hanya pulang selepas majlis selesai.”


Dalam nada amat sebag, Fizz meluahkan isi hatinya, “kepada isteri saya, saya ingin ucapkan terima kasih kerana banyak bersabar dengan saya selama ini. Banyak yang dah kita lalui bersama. Hanya Allah membalas pengorbanan awak...”








Fauzi Pernah Bercerai Dek Keperitan Hidup


Sebelum menikahi Lisdawati, Fauzi sudah pun mempunyai empat orang anak dengan isteri pertamanya. Sekitar tahun 1998 – 1999, adalah tahun paling sukar dalam hidup Fauzi apabila ekonominya jatuh merundum, dia kehilangan punca pendapatan sehingga menghancurkan rumah tangganya.


“Saya ada empat orang anak. Saya sampai menumpang rumah mak mertua kerana tak mampu bayar sewa rumah. Selepas bercerai, saya berusaha mencari kerja dan tinggalkan anak-anak dengan mak mertua.


Saya ingat lagi waktu itu isteri kepada penerbit, arwah Amir Khan pernah menawarkan untuk ‘beli’ anak perempuan saya untuk dijadikan anak angkat kerana simpati melihat kesusahan saya. Tapi, saya tolak, saya sayangkan anak saya,” cerita Fauzi.


Ketika merantau sendirian mencari rezeki, dia bercatu duit dan makan kerana sebilangan besar gajinya dihantar ke kampung untuk belanja anak-anak dan dia juga membela ibunya sendiri. Mi segera dan air paip menjadi juadahnya setiap hari demi untuk berjimat.


Dan, kini dia bersyukur dengan rezeki yang dimiliki bersama isteri yang sangat baik dan sentiasa memahaminya. “Saya respect dengan kesabarannya. Bagi saya, dalam perkahwinan kita tidak boleh lihat kebaikannya saja tapi kena terima juga keburukan pasangan.


Kena sabar kerana percayalah akan sampai satu masa, suami pasti akan hargai isterinya. Ada sebab Tuhan jadikan dia sebagai pasangan kita kerana mungkin dialah yang akan menarik kita ke jalan yang lebih baik,” luah Fauzi panjang-lebar.