Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Hari Wanita Sedunia – Kejayaan 10 Tokoh Wanita Ini Jadi Sumber Inspirasi, Cetus Aspirasi. Siapakah Mereka?

Huda Hussain
08/03/2021 04:00 MYT
Selamat Hari Wanita Sedunia buat semua pembaca dan pengikut setia InTrend Malaysia! Mendepani pelbagai cabaran, menempuh bermacam kesukaran, walau bagaimana sibuk; jatuh terduduk diuji dengan 1001 dugaan kita sebagai wanita yang diciptakan Allah masih mampu mengharunginya. Sungguh, bukan calang-calang hebat ujian wanita era kini. Baik dalam soal kerjaya, rumahtangga, soal peribadi dan sebagainya kaum Hawa hari ini perlu terus berani dan bangkit serta maju ke hadapan tanpa mengenepikan nilai-nilai ketimuran, sopan santun yang seharusnya menjadi entiti diri.

Sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut setiap tanggal 8 Mac, InTrend ingin mengimbas semula pencapaian terbaik sekali gus menobatkan barisan wanita ini sebagai ikon pilihan dalam kelas tersendiri. Kejayaan mereka selain liku-liku yang ditempuhi untuk membina nama lantas memahat aras tertinggi dalam apa yang diceburi sewajarnya dijadikan inspirasi. Jika mereka boleh, kita juga pasti boleh melakukannya mengikut kapasiti dan kemampuan diri masing-masing.
Kredit Foto: Google
  1. Neelofa
Tidak perlu dihuraikan panjang lebar mengenai senarai pencapaiannya yang terus-terusan mencuri tumpuan semua yang mengenali insan bernama Noor Neelofa Mohd Nor. Tatkala harum membina nama dalam empayar perniagaan, fesyen dan kecantikan; dia memilih untuk meninggalkan dunia glamor itu dengan penghijrahannya yang cukup mengujakan semua. Menyembunyikan kecantikan anugerah Allah dengan berniqab, dia kini selesa mendekatkan diri, mencari cinta Ilahi dengan cara tersendiri.

Kredit Foto: Google
  1. The Helmis
Heliza Helmi dan Hazwani Helmi, pasangan adik-beradik yang cukup dikenali dengan kerja-kerja amal, misi kemanusiaan di dalam dan di luar negara sewajarnya jadi contoh tauladan buat semua. Bagaikan menjiwai semangat srikandi wanita sejati, mereka turun ke lapangan, kawasan pertempuran peperangan untuk menghulurkan bantuan. Syria dan Gaza adalah antara negara yang disantuni penduduknya yang terlibat dalam peperangan.

Kredit Foto: Google
  1. Dr Amalina Che Bakri
Kesungguhannya membawa bayi berusia sembilan bulan Ainul Mardhiah pada 2019 yang lalu menjalani pembedahan membuang tumor seberat 200 gram di bahagian mulut di Hospital Kanak-Kanak London, pastinya menjadi sejarah yang takkan dilupakan rakyat Malaysia. Berkat ikhtiar, inisiatif serta keizinan-Nya, pembedahan tersebut berjaya dilakukan dan syukur kini Ainul Mardhiah kembali sihat dan ceria menjalani zaman kanak-kanaknya.

Kredit Foto: Google
  1. Dato’ Siti Nurhaliza
Apabila namanya disenaraikan Forbes Asia sebagai antara 100 selebriti paling berpengaruh di media sosial peringkat Asia Pasifik yang diukur berdasarkan peranannya membantu masyarakat ketika pandemik Covid-19, pastinya ia menambah satu lagi siri kejayaan dalam profil empunya nama Dato Siti Nurhaliza. Baik dalam perniagaan mahupun karier nyanyian, satu persatu kejayaan demi kejayaan diraih hasil usaha dan kerja keras serta sokongan peminat yang tiada henti dibelakangnya.

Kredit Foto: Google
  1. Dato Nicol David
Dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia, nama Dato Nicol David sekali lagi menjadi sebutan rakyat Malaysia. Meraih undian sebanyak 318,943 oleh The Worlds Games Februari lalu, pastinya kejayaan Dato Nicol David dijadikan aspirasi buat semua atlit juga anak muda yang berkecimpung dalam arena sukan. Ratu skuasy negara itu pernah memenangi gelaran Terbuka British pada tahun 2005, 2006 dan 2008 serta gelaran Terbuka Dunia pada tahun 2005,2006, 2008, 2009 dan 2010.

Kredit Foto: Google
  1. Yuna
Bukan calang-calang penyanyi bisa mempromosikan albumnya pada billboard di luar negara apatah lagi di tengah-tengah kesibukan Times Square New York, Amerika Syarikat. Itulah antara himpunan momen manis Yuna setelah bertahun menempa nama sebagai penyanyi di negara orang. Pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian di Universiti Teknologi MARA Kampus Shah Alam ini pernah dinobatkan sebagai pemenang 2012 kerana pencapaian luar biasa dalam karier seninya. Moga pencapaian berterusan Yuna jadi pembakar semangat barisan penyanyi muda untuk mencipta pelbagai kejayaan sepertinya.

Kredit Foto: Google
  1. Dr Soo Wincci
Pernah mencipta dua rekod dalam Malaysia Book of Record sebagai pengiktirafan Most Number of Academic Degrees Obtained by A Beauty Queen dan Most Number of Academic Degrees Obtained by a Recording Artist. Dan kini beliau dalam proses menamatkan pengajian PhD kedua dalam jurusan Philosophy di Sepanyol. Kejayaannya membuktikan betapa pendidikan dan belajar tiada garis sempadan usia mahupun latar belakang seseorang. Selagi punya semangat yang jitu, minat dan kesungguhan pastinya bisa melakar kejayaan.

Kredit Foto: Google
  1. Dr Wan Wardatul Amani Wan Salim
Dia adalah rakyat Malaysia pertama yang melancarkan satelit pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) ke angkasa lepas. Mesra dengan panggilan Dr. Amani ujarnya menerusi salah sebuah portal akhbar online, pengalaman bekerja di NASA bukan sesuatu yang mudah malah memerlukan disiplin, fokus, keyakinan dan kekuatan dalaman yang tinggi.
Kredit Foto: Google
  1. Heidy Quah
Pengasas bersama bagi Refuge for The Refugees (RFTR), sebuah NGO yang bermatlamat meningkatkan taraf hidup kanak-kanak pelarian yang berada di Malaysia ini melakar kejayaannya tersendiri. Melibatkan diri dalam aktiviti pengumpulan dana untuk sekolah kanak-kanak pelarian, dalam tempoh hanya lima tahun, RFTR telah berkembang menjadi sebuah NGO yang membantu menyokong 35 buah sekolah di Malaysia dan juga Myanmar. Dia juga adalah penerima tunggal anugerah Queen’s Young Leaders Award yang disampaikan sendiri oleh Queen Elizabeth kepadanya. Semoga bakat kepimpinan dan mentransformasikan kehidupan individu lain menjadi inspirasi kepada generasi hari ini.
Kredit Foto: Google
  1. Tan Hooi Ling
Selalu gunakan perkhidmatan Grab? Dan tahukah anda siapa pencetus disebaliknya? Tan Hooi Ling, wanita bergeliga lagi bernas ideanya yang mengembangkan perkhidmatan “e-hailing” ini di Asia Tenggara. Sebagai salah seorang pengasas Grab bersama dengan Anthony Tan, Grab kini beroperasi di 60 bandar dalam tujuh negara.

#Selebriti #personaliti #Hari Wanita Sedunia
;