Sahabat sejati sukar dicari apatah lagi diganti. Mungkin itu pengertian betapa akrabnya hubungan persahabatan antara pengasas produk kecantikan kulit Ainaa Beauty, Hafiz Mahamad dengan sahabatnya yang hanya dikenali dengan nama Loh. Sejak dari semalam tular mengenai muat naik IGTV yang dikongsikannya untuk tontonan umum.

A post shared by Hafiz Mahamad (@hafizmahamad)

Kredit Foto: IG Hafiz Mahamad

30 September, Terbang Ke Kelantan Demi Bawa Sahabat Ke Hospital
Terdahulu bagi mereka yang mengikuti Instagram Hafiz pasti maklum mengenai apa yang berlaku terhadap sahabatnya, Loh yang telah kembali ke negeri abadi Subuh semalam. Dan meninjau beberapa muat naik sebelum ini, menurut Hafiz arwah Loh sebelum ini menderita sakit strok akibat terlalu kuat bekerja. Dan keadaan sahabatnya mula menampakkan perubahan yang kian ketara. Pernah mencadangkan agar Loh bekerja dengannya tetapi keadaan kesihatan tidak mengizinkan. Tubuh semakin kurus dan tidak lagi mampu bergerak seperti biasa. Tulisnya dalam salah satu muat naik tersebut, “Siapa antara kita yg senang, kita tlg antara kita yg susah” & Alhamdulilah Allah bg saya rezeki, kemampuan untuk bantu sahabat ni. Loh, aku pastikan kau sihat balik. Kau kerja dengan aku & kita berjuang sama-sama terus sihat Loh!

A post shared by Hafiz Mahamad (@hafizmahamad)

Kredit Foto: IG Hafiz Mahamad

Sempat Hadiahkan Kerusi Roda Elektrik
Tanggal 1 November lalu, Hafiz pulang semula ke kampungnya. Walaupun terikat dalam tempoh PKPB, diusahakannya juga untuk membantu dan memberi kobar semangat buat sahabat yang sakit. Sahabat senang dan susah bersama, itu antara coretan Hafiz mengimbas semula ketika mereka membesar bersama. Tidak kekok membersihkan sekujur tubuh Loh yang semakin kurus, bagi Hafiz tiada yang lebih bermakna apabila dapat menggembirakan hati sahabatnya yang satu ini. Riak wajah Loh jelas gembira apabila berkesempatan menaiki kerusi roda elektronik yang dihadiahkan Hafiz. Menerusi kapsyen ‘Sahabat, aku akan ada sampai penghujungnya dengan mu & tak akan aku lupa janji waktu kita kecil dulu sahabat’ memang benar dikotakan Hafiz.

A post shared by Hafiz Mahamad (@hafizmahamad)

Kredit Foto: IG Hafiz Mahamad


29 November 2020, Keadaannya Semakin Tenat Dan Kritikal
Tidak pulang seorang diri, kali ini Hafiz mengajak bersama dua orang lagi sahabat baiknya. Tidak betah apabila menerima perkhabaran keadaan Loh yang kian tenat malah bergantung kepada alat bantuan pernafasan selain ditebuk leher, Hafiz tidak menunggu lama. Dia tidak mahu menyesal di kemudian hari atau meratapi jika ditakdirkan Ilahi Loh dijemput pergi. Muat naik Hafiz antara lain ada menyebut, “Andai kata masa dia tiba, izinkan suara aku, suara yg terakhir yg akan bisikkan kalimah Allah ditelingamu. Aku nak kau tau, aku selalu ada dengan mu “sahabat”

A post shared by Hafiz Mahamad (@hafizmahamad)

Kredit Foto: IG Hafiz Mahamad


22 Disember 2020, Allah Lebih Menyayangi Loh. Tenanglah Di Sana Sahabat
Saat menerima perkhabaran Loh sudah menghembuskan nafas terakhir, mata Hafiz berkaca dan terkejut dengan apa yang didengarinya. Sahabat yang membesar bersama sudah tiada lagi dihadapan mata. Tidak lagi kedengaran suaranya untuk mengadu sakit dan segala. Dan sepanjang perjalanan pulang ke Kelantan, hatinya bagai disiat-siat lantas terimbau setiap detik yang pernah dilalui bersama.


Namun, dalam pada dirundung kesedihan Hafiz tetap menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai sahabat. Mengumpul sisa-sisa kekuatan atas nama persahabatan untuk membantu melengkapkan perjalanan akhir arwah Loh yang akan sentiasa terpahat di ingatan. Membawa jenazah dari hospital ke masjid menaiki van yang diinfakannya untuk kegunaan warga kampung benar-benar menjeruk rasa. Allahu… Jika sebelum ini Hafiz sempat membawa Loh ke hospital tetapi hari ini, dia membawa jenazah Loh untuk disemadikan.

Kredit Foto: IG Hafiz Mahamad

Bukan itu sahaja, Hafiz turut berbakti kepada Loh dengan caranya yang tersendiri. Menjadi imam solat jenazah sahabatnya disifatkan sebagai satu penghormatan yang amat bererti dalam riwayat hidup mereka. Menahan sebak, diselimuti perasaan yang sedih dan sebak; Hafiz menyudahkan tugas dan tanggungjawabnya untuk kali yang terakhir.

Hinggalah ke liang lahad, tangannya juga yang menyambut sekujur tubuh kaku jenazah arwah Loh. Disertai dengan gerimis, suasana bagaikan memahami apa yang terbuku di hati mereka ketika itu. Selesai sudah perjalanan Loh di dunia ini. Doa dititipkan agar ia jadi bekalan dan peringatan kepada kita semua yang juga akan menyusuli mereka yang terlebih dahulu dijemput-Nya.

Kredit Foto: IG Hafiz Mahamad

‘Loh, aku dh laksanakan janji aku dkt mu sebagai sahabat. Dari mu sakit sampai ke penamat, aku ada dgn mu. Sebab apa? Sebab aku tahu mu nampak aku & aku nak mu tahu aku betul betul nak jadi sahabat mu dunia akhirat. Tiba waktu aku nanti Loh. Selepas mu tarik keluarga ke syurga, tarik lah aku ke syurga wahai sahabat. Tenanglah mu kt sana. Aku disini akan terus berjuang untuk keluarga, team, orang memerlukan & sahabat sahabat kita yg lain Loh. Ini semua “Kejayaan Demi Kebahagiaan”. Jumpa mu nanti disana nanti.’

Kredit Foto: IG Hafiz Mahamad

Nilai Sahabat Sejati Tiada Tolok Bandingnya
Terlalu banyak yang boleh kita pelajari daripada ukhuwah persahabatan yang terjalin antara Hafiz dan arwah Loh. Betapa mulianya pengorbanan seorang sahabat yang tanpa jemu dan lelah membantu. Sentiasa ada di saat suka dan duka, sakit dan pahit getir ditempuh bersama. Semoga Allah terus melimpahkan rahmat dan rezeki buat Hafiz atas apa yang dikongsikannya untuk pengajaran dan panduan kita semua. Benar-benar menjentik hati dan memberi inspirasi betapa nilai persahabatan sejati itu sukar dibandingkan dengan apapun. Juga moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh arwah Loh dan ditempatkan bersama golongan yang beriman. Al-Fatihah.

Kredit Foto: IG Hafiz Mahamad