Penulis sempat merasai hidup membujang beberapa tahun usai tamat belajar juga setelah mendapat pekerjaan tetap. Menginap di rumah pangsa yang dihuni enam orang cukup meriah rasanya. Masing-masing punya gelagat dan fiil tersendiri. Ada yang berasal dari Utara, Pantai Timur, Selatan tanah air juga Lembah Klang. Baik yang muda mahupun senior, semua memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing. Apatah lagi bergelar anak dara. Kerja-kerja membersih dan mengemas rumah dilakukan secara gotong-royong. Suka duka, tangis dan tawa dikongsi bersama hinggakan hubungan tanpa pertalian darah daging itu membuatkan sesama kami akrab bagaikan adik-beradik.
Kredit Foto: Google
Itulah antara momen indah apabila hidup bujang bersama rakan-rakan. Tetapi tidak kurang juga ada yang lebih selesa tinggal seorang diri. Soal harga sewa rumah tidak menjadi ukuran kerana aspek privasi yang menjadi prioriti. Ya, cita rasa dan pilihan masing-masing sememangnya berbeza. Berikut disenaraikan beberapa faktor pro dan kontra dalam pemilihan cara hidup ini:
Kelebihan Tinggal Seorang Tanpa Rakan Serumah - Tak Perlu Pening Kepala Fikir Banyak Perkara
Dek kerana hanya anda seorang sahaja yang tinggal dirumah tersebut, maka semuanya boleh dilakukan sesuka hati. Sama ada mahu rumah dalam keadaan kemas dan teratur, bersih atau sebaliknya anda sendiri yang tentukan. Mungkin juga kerana anda ‘berat’ untuk berkongsi ruang dan tempat yang disifatkan amat peribadi, maka lebih selesa tinggal seorang diri. Dalam masa sama, tak perlu pening kepala mahu kutip duit sewa daripada rakan serumah. Atau bil-bil utiliti lain, barang dapur yang dikongsi bersama dan lain-lain.
Kredit Foto: Google
- Keluarga Boleh Datang Bertandang
Memandangkan keseluruhan rumah itu menjadi milik anda seorang, secara tidak langsung ia memberi kemudahan dan keselesaan jika keluarga dari kampung mahu bertandang. Tak perlulah mencari ‘home stay’, air bnb atau menginap di hotel yang sudah pasti harganya agak mahal bahkan boleh mencecah jumlah sewaan rumah anda. Bila-bila masa sahaja keluarga mahu datang, ia tidak menjadi hal. Berbeza dengan mereka yang tinggal beramai-ramai. Mungkin kekangannya apabila ada keluarga salah seorang daripada rakan serumah mahu bermalam. Hinggakan ada yang perlu bermalam di rumah saudara-mara atau rakan lain kerana mahu memberi peluang dan ruang buat keluarga rakan serumah. Walau apapun, ia pasti boleh ditangani jika sesama rakan maklumkan lebih awal tentang perihal ini. Atau mungkin juga ada keluarga yang maklum mengenai batas-batas dan kondisi penting seperti soal aurat, bukan muhrim dan sebagainya.
Kredit Foto: Google
- Bebas Menghias Rumah
Sama ada rumah sewa ataupun rumah sendiri, tak banyak sedikit pasti kita mahu menghias dengan cara tersendiri. Daripada susun atur perabot, perhiasan dinding, aksesori, kemasan peralatan dapur, perkakas di bilik mandi dan sebagainya pasti mahu disusun rapi dan cantik mengikut cita rasa. Tetapi kekangan mungkin berlaku apabila tinggal bersama rakan serumah yang lain. Dia mahu hias dengan caranya, kita pula tak mahu kalah kerana lebih arif dalam soal hiasan dalaman. Sudahnya, ada yang bermasam muka, tak bertegur sapa hanya kerana ‘tak berkenan’ dengan cara rakan serumah.
Kelebihan Tinggal Bersama Rakan Serumah - Luaskan Pergaulan Dan Komunikasi
Sememangnya meriah tinggal beramai-ramai. Lebih-lebih lagi kalau semuanya ‘satu kepala’ atau ‘masuk air’. Semua perkara boleh dibincang dan diselesaikan dengan baik. Dalam masa sama, kita juga boleh mempelajari serba sedikit bagaimana perlunya hidup bermasyarakat. Rakan serumah hanya mewakili peratusan kecil fiil yang ada dalam masyarakat kita. Benar, masing-masing punya kekurangan dan kelebihan. Jadi, dari sini kita boleh mempelajari banyak perkara antaranya bagaimana cara berkomunikasi dan bergaul dengan mereka. Takkanlah duduk serumah tapi tak bertegur sapa atau mengambil tahu serba sedikit latar belakang dan asal usul masing-masing kan? Tak perlu menyibuk perihal peribadi, cukup untuk mengetahui perkara asas pun sudah memadai.
Kredit Foto: Google
- Mengenal Budaya Dan Gaya Hidup Masing-Masing
Jika ada rakan serumah yang berasal dari Utara, Pantai Timur atau Selatan tanah air misalnya pasti secara tak langsung kita tertarik untuk mengetahui bagaimana cara hidup dan budaya orang sana dalam banyak perkara. Bukan sahaja unik dari segi dialek dan loghat, makanannya, budaya masyarakatnya pasti tak kurang menarik juga. Ini antara kelebihannya andai kita tinggal bersama rakan serumah yang lain. Lebih seronok apabila ada rakan yang baru balik dari kampung, pasti dibawa pulang ole-ole untuk rakan serumah. Sama ada masakan air tangan ibu ataupun juadah yang hanya terdapat di kampung mereka sahaja. Dan lebih menyeronokkan lagi apabila kita juga berpeluang berkunjung ke kampung mereka jika punya masa terluang. Secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan sesama kita dan keluarga rakan serumah.
- Kalau Berlaku Kecemasan, Rakan Serumah Boleh Bantu
Bukan sekadar kawan membawang tetapi sekiranya berlaku kecemasan atau mungkin anda jatuh sakit, ada rakan serumah yang boleh menghulurkan bantuan. Membawa ke klinik umpamanya, memasak menu yang mungkin anda teringin nak makan apabila tidak sihat, atau jika kereta rosak, ada yang boleh tumpangkan ke tempat kerja dan banyak lagi perihal positif yang boleh mereka bantu.
Kredit Foto: Google
- Kenal Ragam Manusia
Rambut sama hitam, hati lain-lain. Secara tidak langsung apabila tinggal beramai-ramai, kita dapat belajar dan mengenali karakter dan ragam masing-masing. Ada yang pendiam orangnya dan hanya berbual apabila perlu, ada yang relaks dalam melalui apa jua perkara, ada yang berkira soal penggunaan barang di dalam rumah, ada yang mandi berjam lamanya, ada yang ceria dan
happy go lucky hinggakan kalau dia tiada di rumah sunyi dan sepi sahaja, ada yang cerewet dan OCD serta banyak lagi ragam manusia dapat kita lihat sesama rakan serumah. Kita boleh menganalisa dan mengambil input yang baik untuk diterapkan dalam kehidupan seharian. Apa yang baik bolehlah diikut dan kalau sebaliknya, diamkan saja.
Apa yang penting jika anda memilih untuk tinggal dengan rakan, perkara berikut perlu dijadikan panduan:
- Hormati Sensitiviti Rakan Serumah
Mungkin ada segelintir daripada mereka yang tinggal dengan rakan serumah mempunyai peraturan atau undang-undang tertentu yang perlu diikuti. Misalnya tidak dibenarkan membawa masuk teman lelaki, mempunyai jadual bertugas membersih dan mengemas rumah dan lain-lain. Secara tidak langsung kita dapat mempelajari cara hidup yang bersistem selain menghormati hak dan privasi rakan serumah yang lain.
Kredit Foto: Google
- Sikap ‘Tak Kisah’ Dan Ambil Mudah
Tugas membersih dan mengemas sebenarnya menjadi tanggungjawab semua yang menghuni rumah tersebut. Bukanlah asyik muka yang sama basuh bilik air, menyapu dan membuang sampah, mengemop lantai dan lain-lain. Jangan sesekali mengharapkan ada tangan lain yang akan melakukan bagi pihak anda. Sematkan dalam fikiran dan jadikan peringatan ia adalah tanggungjawab bersama. Kalau difikirkan penat, rakan yang lain juga bekerja dan pasti juga kepenatan. Maka, jangan bersikap tak kisah atau ambil mudah dalam hal ini okey!
- Jangan Berkira Dan Kedekut
Kalau masak tu, ingatlah orang lain. Apalah salahnya kalau masak lebih sedikit daripada porsi anda seorang. Ataupun tanya rakan serumah yang lain jika ada yang belum makan atau sudah makan. Saat mereka tiba dirumah dan terlihat ada makanan diatas meja pasti hati melonjak gembira. Jika anda bantu mudahkan urusan orang lain, insya-Allah urusan anda juga akan dipermudahkan-Nya. Dan anda pula, kalau rakan sudah tolong masak; luangkan masa untuk mengemas di dapur sebagai tanda penghargaan atas
effort mereka. Perlu ada tolak ansur dan saling memahami antara satu sama lain dalam soal ini.
Kredit Foto: Google
- Elak Pentingkan Diri Sendiri
Kalau nak mandi tu, janganlah buat macam bilik air itu milik anda seorang saja. Sudah namanya rakan serumah, pastilah perlu berkongsi keperluan, perkakas dan peralatan di dalam rumah. Kalau pun mahu menikmati me time di bilik mandi, pastikan anda bangun lebih awal daripada yang lain sekali gus tidak membuatkan mereka tertunggu-tunggu. Tak
bestlah kalau asyik ditanya, “Ina, lama lagi ke?” Tak gitu?
Jika semua perkara diatas tak mampu anda hadam atau rela berkorban, maka tinggal seorang diri adalah pilihan terbaik. Anda sendiri yang bertanggungjawab ke atas semua perkara. Daripada sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya tergalas dibahu anda. Tepuk dada, tanya selera. Apapun bagi penulis, melewati waktu sebagai orang bujang dahulu cukup menyeronokkan apabila ia dilalui bersama rakan-rakan serumah yang rapat bagaikan adik-beradik. Apa khabarlah agaknya penghuni unit 101, Blok 28, Seksyen 7, Shah Alam; batch 2008 hingga Mac 2012? Moga semuanya berada dalam keadaan sihat dan gembira bersama keluarga masing-masing. Rindu kalian!
Kredit Foto: Google