Personaliti

HUTANG Mak Ayah Juga Wajib Dibayar. Kalau Mak Ayah Meninggal Dulu, Hutang Menjadi Harta FARAID

gempak
Penulis Jemputan
26/01/2021
02:00 MYT
Sponsor Banner
HUTANG Mak Ayah Juga Wajib Dibayar. Kalau Mak Ayah Meninggal Dulu, Hutang Menjadi Harta FARAID
Teks: Nor Hatina Shuib
Ibu dan ayah mana tidak sayangkan anak. Sejak daripada lahir sehingga menginjak usia dewasa dan sehingga sudah berkahwin, kebanyakan ibu bapa masih tidak ‘melepaskan’ anak terutama dari segi mengatur kehidupan supaya lebih harmoni.
Pengorbanan ibu bapa membesarkan, menyekolahkan sehingga kepada menjadikan anak insan berguna amatlah sukar untuk dibalas.
Apabila sudah berumahtangga, setiap masalah anak adalah masalah bersama ibu-bapa.
Walaupun tidak semua orang bertuah memiliki ibu-bapa yang sentiasa menghulurkan tangan membantu apa yang perlu, sebagai anak yang diberi peluang memiliki ibu-bapa yang tak lokek menawarkan bantuan kewangan, elakkan mengambil kesempatan kepada ibu-bapa sendiri.
Tidak dinafikan, antara bantuan yang selalu diberikan ibu-bapa kepada anak adalah membantu daripada segi tenaga dan kewangan tanpa sebarang faedah dan ia satu bonus kepada seorang anak berbanding meminjam di institusi perbankan.
Pernah terdengar rintihan seorang ibu berkenaan sikap anak-anak. Kongsi beliau, setiap bulan anak tidak culas memberi wang perbelanjaan tetapi jika mereka beri RM300, cukup bulan pinjam pula RM500 daripada ibu-bapa.
Kredit foto: Google
Nampaknya sampai bila-bila pun hutang tidak selesai. Mahu menagih, rasa bersalah pula kerana si peminjam adalah anak sendiri.
Pendam sajalah dalam hati…Semoga terbuka untuk anak-anak membayar kembali.
Sebagai anak, mungkin anda boleh pinjam di mana-mana institusi kewangan atau berusaha dengan apa cara sekalipun terlebih dulu sebelum menggunakan wang ibu-bapa sebagai jalan pintas untuk menyempurnakan hajat atau melangsaikan masalah anda.
Namun, jika mampu membayar semula dan ibu bapa pula berkemampuan dan ikhlas untuk memberi, tidak ada salahnya. Dalam Islam juga diharuskan.
Ini kerana walaupun kebanyakan ibu-bapa rela hati menawarkan bahu mereka untuk disandar, sebagai anak yang sudah matang, berfikirlah secara rasional bagaimana menyusun pembayaran semula kepada ibu-bapa jika berhutang kepada mereka.
Bagaimanapun, penulis menghormati sikap anak-anak yang meminjam daripada ibu-bapa tetapi pada masa sama komited melunaskan balik setiap baki hutang yang ada.
Ada seorang teman yang berjaya melangsaikan hutang ibu bapanya dalam masa yang singkat.
Malah, setiap bulan, beliau konsisten membayar hutang ibu bapanya dan menjadikan ia satu komitmen bulanan, sama seperti beliau membayar pembiayaan kereta dan rumah.
Kerja keras beliau dan suami membayar kesemua hutang dipermudahkan dan selesai dalam tempoh cukup singkat berkat doa daripada si ibu.
Justeru, sebagai anak, berusahalah selagi mampu. Jika terdesak tidak ada salahnya untuk meminjam daripada ibu bapa, tetapi pada masa sama, janganlah diremehkan urusan pembayaran hutang meskipun mereka ikhlas membantu.
Kredit foto: Nasuha Badrul Huzaini
Bagi yang mendapat wang seperti I – Sinar daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), manfaatkan wang yang ada dan janganlah pula lupa untuk asingkan bahagian pembayaran hutang ibu-bapa anda.
Hukumnya tetap berdosa, sama seperti kita meminjam daripada rakan tetapi tidak bayar dan selagi mereka tidak halalkan hutang yang tertunggak.
Diam mereka tidak semestinya tidak kisah untuk mendapatkan kembali wang yang dipinjam. Jadi, gunakan kewarasan kita untuk menguruskan hutang dengan baik.
Ada satu kisah pada zaman Rasulullah SAW yang mana baginda enggan menyempurnakan solat jenazah bagi orang yang tidak melunaskan hutangnya.
Anas bin Malik berkata: “Kami pernah bersama Rasulullah SAW, lalu baginda mendatangi seseorang yang sedang disolatkan.
Baginda pun bertanya, "Apakah sahabat kalian ada memiliki hutang?" Mereka menjawab, "Ya."
Lalu baginda bersabda: "Lalu apa manfaatnya bagi kalian jika aku mensolatkan orang yang rohnya pun tidak naik ke langit?
Jika ada orang yang menjamin hutangnya, aku akan mengerjakan solat untuknya kerana sesungguhnya solatku akan bermanfaat baginya.” (Riwayat at-Tabarani)
Berdasarkan hadis itu, perkara berkaitan hutang tidak boleh dibuat 'main'. Hutang tetap perlu dijelaskan meskipun ketika itu kita sudah tiada lagi di pentas dunia yang penuh cabaran ini.
Kredit foto: Nasuha Badrul Huzaini
Apa Pendapat Pengamal Media, Nasuha Badrul Huzaini? “ Saya ada meminjam sejumlah wang daripada ibu. Setiap bulan saya akan pastikan ia termasuk dalam senarai komitmen saya dan suami. Alhamdulillah, walaupun hutang pada ibu agak banyak, saya berjaya selesaikan dalam tempoh singkat.
“ Walaupun dia ibu saya, saya rasa tidak senang duduk jika tidak membayarnya. Ibu memang tidak pernah meminta-minta hutangnya sebaliknya mendoakan saya dipermudahkan urusan tetapi saya sendiri faham, mungkin dia ada benda lain untuk gunakan kelak.
Jadi saya mudahkan urusan ibu seperti mana ibu membantu memudahkan urusan saya”
“ Saya juga lihat apabila kita ada niat dan mahu membayar hutang, segala urusan Allah mudahkan. Ada saja rezeki buat saya dan suami untuk kami melunaskan hutang ibu.
Saya rekodkan setiap hutang kami supaya memudahkan urusan. Terima kasih ibu…,” katanya
Dengaekan Pula Kata Pendakwah Agama, Ustaz Abdul Razak Abdul Talib
1. Apakah pengertian hutang dari segi islam?
Hak atau tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh seseorang yang menanggung beban pada masa hadapan.
Majoriti ulamak berpendapat secara khususnya hutang ini termasuk sebarang kewajipan dalam bentuk kewangan ke atas seseorang yang terjadi kesan daripada pertukaran transaksi seperti pinjaman atau jual beli bayaran secara tangguh, kerosakan harta benda, kecederaan, ataupun melunaskan hak-hak Allah seperti zakat.
Islam sangat menitik beratkan berkenaan hutang. Ayat terpanjang di dalam al-Quran adalah berkisar tentang hutang dan pengurusan hutang.
Rujuk surah al-Baqarah ayat 282. Intipati penting adalah merekodkan hutang serta berusaha untuk melunaskannya.
Islam juga menggalakkan kepada umatnya yang senang atau berkemampuan untuk membantu orang yang memerlukan antaranya dengan memberikan hutang.
Nabi SAW bersabda, "Sesiapa yang meringankan kesusahan seorang Mukmin di dunia, Allah akan meringankan kesusahannya pada hari kiamat.
Sesiapa yang memudahkan urusan seseorang dalam keadaan sulit, Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat.
Sesiapa yang menutup aib seseorang, Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan sentiasa membantu hambaNya, selagi hamva tersebut menolong saudaranya. (Riwayat Muslim)
Islam juga menganjurkan umatnya antara perkara wajib disegerakan di atas dunia adalah membayar hutang.
Kredit foto: Nasuha Badrul Huzaini
2. Adakah hutang wajib dibayar ?
Islam melarang sekeras-kerasnya orang yang berhutang kemudian tidak berniat untuk membayarnya. Dalam hadis dinyatakan "Sesiapa yang berhutang lalu berniat tidak mahu membayarnya,maka dia bertemu Allah sebagai pencuri. (Riwayat Ibnu Majah)
2. Jika seseorang itu hutang duit kepada ibu bapa, tetapi ibu bapanya tidak kisah dia bayar atau tidak, dan si peminjam juga tiada niat mahu membayar, adakah dikira berdosa juga ustaz?
Secara asasnya kesemua hutang wajib dibayar kepada pemberi hutang termasuklah hutang kepada ibu bapa. Si peminjam sepatutnya bertanggungjawab dengan hutang tersebut kerana ia merupakan tanggungjawab atau bebanan yg dipikul olehnya sehinggalah terlunas kesemuanya.
Sekiranya ibubapanya tidak kisah sama ada dia membayar ataupun tidak, adalah lebih baik si peminjam meminta dihalalkan kesemua hutang tersebut agar bebanan itu terlepas daripada si peminjam.
Jika tidak dihalalkan, sekiranya ibu bapa telah meninggal dunia, hutang tersebut perlu dibayar semula dan dimasukkan dalam harta peninggalan yang difaraidkan.
Jika tidak dibayar, bahagian si peminjam tersebut akan dipotong mengikut jumlah hutang yang tidak dilunaskan.
Ahli waris yang lain berhak menuntut bahagian mereka daripada hutang tersebut.Jika dihalalkan oleh waris yang lain maka, bebanan hutang tersebut terlunas.
Kredit foto: Google
3. Apakah dalam islam ada akad berhutang walaupun dengan ibu bapa ?
Diharuskan ibubapa memberi pinjaman atau hutang kepada anak-anak sekiranya mereka berada dalam keadaan memerlukan.
Anak-anak disini adalah mereka yang sudah mampu berdikari sendiri bukan yang masih kecil.
Manakala tanggungjawab anak pula sekiranya meminjam, maka wajiblah mereka melunaskan kembali hak tersebut kepada ibubapa terutamanya jika ibubapa menuntutnya atau dalam keadaan yang memerlukan kewangan.
Namun jika ibubapa ketika membantu anak-anak mereka menyatakan tidak perlu membayar atau menggantikan semula, maka ia sebagai pemberian dan tidak dianggap sebagai hutang.
Kredit foto: Google
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live